MANCHESTER: Pep Guardiola berkata beliau tidak pernah meragui keupayaan Manchester City bangkit daripada kekecewaan Liga Juara-Juara Eropah, selepas menewaskan Newcastle 5-0 dalam saingan Liga Perdana England (EPL).
City kendalian Guardiola mengukuhkan kedudukan di puncak liga hasil dua gol jaringan Raheem Sterling, Aymeric Laporte, Rodri dan Phil Foden.
Mereka kini mendahului tiga mata di depan Liverpool dengan berbaki tiga permainan sebelum akhir musim, serta mempunyai kelebihan empat gol ke atas seteru terdekatnya itu.
"Jika ada yang meragui kami, mereka tidak mengenali pasukan ini. Ia salah satu kumpulan terbaik pernah saya bimbing sepanjang kerjaya saya.
"Sebelum permulaan perlawanan saya rasa penyokong kecewa tetapi tidak bersedih atau marah terhadap kami sebagai pasukan dan apa yang kami lakukan sepanjang lima tahun lalu," kata Guardiola.
Kejuaraan EPL merupakan satu-satunya trofi yang tinggal untuk City rebut musim ini selepas melepaskan peluang mara ke final Liga Juara-Juara buat kali kedua berturut-turut, ketika menentang Real Madrid Rabu lalu.
Gergasi Sepanyol itu bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk memenangi separuh akhir dengan agregat 6-5 dan akan bertemu Liverpool pada final di Paris.
"Apa saja boleh berlaku, jika ia berlaku dalam tempoh 56 saat (menentang Madrid), ia boleh berlaku dalam tiga perlawanan. Jadi bertenang dan bersedia untuk bertemu Wolves Rabu ini," katanya.
Sementara itu, dalam perlawanan lain, Arsenal mengukuhkan lagi peluang ke Liga Juara-Juara musim depan selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Leeds United yang beraksi dengan 10 pemain di Stadium Emirates.
Ia adalah kemenangan keempat berturut- turut The Gunners sekali gus memiliki kelebihan bagi perebutan empat pasukan teratas menjelang aksi tetangga London menentang Tottenham. - Agensi berita.