LONDON: Penyerang berbisa Manchester City, Erling Haaland, telah memecahkan rekod gol terbanyak dalam satu musim Liga Perdana England (EPL).
Pemain asal Norway itu menjaringkan gol liganya yang ke-35 musim ini - melebihi rekod jaringan 34 gol Alan Shearer dan Andrew Cole - apabila City menundukkan West Ham 3-0 di padang sendiri pada Rabu.
Haaland telah pun mencatat rekod jaringan terbanyak bagi musim yang mempunyai 38 perlawanan, mengatasi rekod 32 gol oleh Mohamed Salah buat Liverpool semasa musim 2017-2018.
"Ia satu malam yang sangat istimewa dan satu detik istimewa. Saya berasa amat gembira dan bangga," kata Haaland kepada media.
Pemain berusia 22 tahun itu mempunyai baki lima perlawanan liga untuk menambah jumlah jaringannya musim ini.
"Ternyata ia terasa hebat dan saya amat gembira dan saya juga gembira kerana pasukan kami dapat tiga mata," katanya lagi.
"Yang penting ialah keputusan yang diraih, dan saya amat gembira. Memang sejauh ini semuanya bergerak dengan lancar dan sekarang sudah sampai masanya saya tumpukan pada setiap permainan.
"Saya telah katakan buat sekian lama dan itulah yang telah dilakukan pasukan kami.
Pasukan ini memang hebat dan saya gembira."
Gol rekod ke-35 Haaland dicapai pada minit ke-70, iaitu gol kedua City.
Gol pertama dijaringkan oleh Nathan Ake padad minit ke-49, sementara Phil Foden melengkapkan kemenangan bergaya City dengan jaringannya pada minit ke-85.
Sejurus wisel penamat ditiupkan, Haaland menerima pengiktirafan daripada rakan-rakan sepasukannya, pengurus Pep Guardiola dan kakitangan belakang tabir.
"Saya belum pernah menyaksikan penghargaan sebegini. Memang rasa menarik setiap kali dapat menjaringkan gol.
"Tapi sakit apabila setiap seorang daripada mereka menepuk belakang saya," kata Haaland berseloroh.
Jaringan 34 gol Cole dibuat semasa beliau bersama Newcastle pada musim 1993-1994.
Shearer pula membantu Blackburn menjuarai EPL dengan 34 gol pada musim seterusnya.
Namun, 22 pasukan bermain dalam EPL pada kededua musim itu, iaitu tambahan empat perlawanan berbanding sekarang.
Shearer bermain dalam kesemua 42 perlawanan semasa mencatat rekod jaringan itu, manakala Cole terlepas dua perlawanan.
Haaland, yang baru memulakan musimnya dalam EPL, mencapai rekod jaringan hanya selepas 31 perlawanan. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg