Beliau pernah menyatakan pada penggal 2021 sebagai yang terakhir, namun impian melihat sepak takraw dipertandingkan di Sukan Olimpik mendorong Abdul Halim Kader untuk terus menerajui Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

“Perjuangan kita belum selesai. Impian saya adalah melihat sepak takraw dipertandingkan di pentas Olimpik. Kita mesti terus bersatu, bekerja lebih keras dan memastikan sukan ini berkembang secara profesional, berwibawa serta memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya.

Abdul Halim disahkan kekal sebagai Presiden Astaf hingga 2030 tanpa bertanding selepas hanya satu pencalonan diterima bagi jawatan itu menjelang Mesyuarat Agung Pemilihan badan induk berkenaan pada 9 Disember di Bangkok, Thailand.

Ini juga bermakna beliau memegang jawatan sebagai Presiden Astaf sejak 2016, di samping terus mengekalkan peranannya sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Sepak takraw Antarabangsa (Istaf) sejak 2002.

Dua calon bagi jawatan Timbalan Presiden, iaitu Presiden Persatuan Sepak takraw Malaysia (PSM), Mohd Sumali Reduan, dan Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Thailand, Srihassak Arrirachakaran, turut menang tanpa bertanding.

Kemenangan tanpa cabaran ketiga-tiga tokoh utama ini membentuk kepimpinan mantap yang menyatukan Singapura, Thailand dan Malaysia.

Kehadiran Sumali membawa signifikan tersendiri memandangkan beliau merupakan tokoh penting yang memulihkan krisis pentadbiran sukan itu di Malaysia, dengan beliau berjaya membawa PSM kembali diterima sebagai anggota gabungan Astaf secara rasmi pada Jun 2023 selepas disingkirkan pada Mei 2021 atas krisis tadbir urus dan tatatertib.

Namun, pemilihan bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Eksekutif masih akan berlangsung berikutan jumlah pencalonan melebihi kerusi yang ditawarkan.

Abdul Halim berkata keputusan menerima pencalonan semula dibuat susulan dorongan dan sokongan berterusan negara anggota yang mahu memastikan kesinambungan agenda pembangunan sepak takraw di peringkat antarabangsa.

Menurutnya juga, antara keutamaan kepimpinan baharu adalah memperkukuh hubungan strategik dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Istaf.

Usaha itu penting bagi mempercepat proses memenuhi keperluan pengiktirafan antarabangsa, sekali gus membuka laluan kepada sepak takraw untuk disenaraikan sebagai sukan Olimpik.

Sepak takraw masih belum dipertandingkan di Sukan Olimpik kerana belum memenuhi syarat ketat IOC, terutamanya keperluan penyertaan meluas di 75 negara merentasi empat benua.

Selain itu, penguasaan sukan itu yang masih tertumpu di Asia serta kekurangan penaja dan siaran televisyen global mengehadkan daya tarikannya di peringkat dunia.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, gandingan Abdul Halim dan Sumali pula dijangka memperkukuh kepimpinan Astaf, khususnya dalam mempererat kerjasama antara negara anggota di Asia dan Asean.

Pengalaman, jaringan serta komitmen kedua-duanya diharap dapat memperluas pembangunan atlet dan meningkatkan martabat sepak takraw di persada antarabangsa.

Astaf turut menyatakan mereka yakin kesinambungan kepimpinan itu turut membantu memperkukuh tadbir urus, pembangunan generasi muda dan mutu pertandingan antarabangsa.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti