LONDON: Pemain midfield Manchester City, Bernardo Silva, berkata pasukannya "masih berada di kedudukan yang lebih baik berbanding Liverpool" walaupun selepas pendahulu Liga Perdana England (EPL) itu disekat Crystal Palace 0-0 kelmarin.
City kini empat mata di depan musuh terdekat, Liverpool, selepas gagal merebut peluang jaringan di Selhurst Park yang menyaksikan perlawanan berakhir seri tanpa gol.
Keputusan itu bermakna Liverpool dapat merapatkan jurang mereka dengan City kepada hanya satu mata sekiranya mereka berjaya menewaskan Arsenal di padang lawan pagi esok (waktu Singapura).
"Kami gagal menjaringkan gol... kami sepatutnya dapat memanfaatkan beberapa peluang jaringan yang tersaji," kata Silva kepada Sky Sports.
"Baki sembilan perlawanan yang tinggal, tapi ia masih lebih baik untuk berada dalam kedudukan kami berbanding Liverpool dan mereka masih perlu bertandang ke stadium kami. Jadi, saingan akan menjadi menarik."
City telah bermain lebih satu perlawanan berbanding Liverpool dan kedua-dua pasukan akan berentap di Stadium Etihad bulan depan.
Silva menambah: "Ia tidak pernah mudah untuk bermain mana-mana pasukan di laman mereka dalam Liga Perdana. Ia sentiasa lebih baik untuk menang berbanding seri dan kami mahu mempunyai kelebihan enam mata daripada Liverpool."
Silva gagal meledakkan gol pembukaan di hujung perlawanan, selepas percubaannya daripada hantaran Jack Grealish di depan gawang lawan tersasar sedikit pada malam yang dianggap kurang menyerlah bagi penyerang City itu.
Namun bos City, Pep Guardiola, tetap memuji persembahan pasukannya di akhir wisel penamat.
"Nasib tidak wujud dalam bola sepak. Kami perlu menjaringkan gol dan kami tidak melakukannya," katanya kepada BBC Match of the Day.
"Kami bermain untuk menang dan merintis beberapa peluang jaringan, namun kami terkial-kial sedikit.
"Pasukan yang berada di padang hari ini berada di padang sebelum ini dan akan berada di padang pada perlawanan seterusnya. Saya gembira dengan persembahan dan cara kami bermain."
Lapan minggu lalu, City mendahului takhta liga dengan kelebihan 13 mata - walaupun Liverpool berada di tempat ketiga ketika itu dan mempunyai dua perlawanan dalam tangan.
Keputusan seri dengan Palace bermakna jurang itu kini hanya empat mata.
"Kami tidak pernah anggap memiliki kelebihan 13 mata di hadapan kerana Liverpool mempunyai dua perlawanan dalam tangan," tambah Silva kepada BBC Radio 5 Live.
"Sekarang, ia empat mata dan mereka mempunyai kelebihan satu perlawanan. Kami mempunyai perlawanan yang sukar... menentang Tottenham, Manchester United, Everton, Southampton, Crystal Palace.
"Yang jelas, kami akan terus mengharungi segala cabaran yang sukar itu... kami juga kini masih berada di (tangga) atas." - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg