Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SUKAN OLIMPIK TOKYO 2020: TEAM SINGAPORE

Harapan besar atlet SG tunjuk yang terbaik di sebalik cabaran Covid-19

Jul 22, 2021 | 05:30 AM



MASA itu adalah emas.



Maka, tidak hairan, apabila penantian masa dianggap satu penyeksaan.



Ini lebih-lebih lagi bagi individu bergelar atlet, yang mana tempoh kerjaya mereka lazimnya singkat.



Akibat pandemik Covid-19, persiapan ke Sukan Olimpik yang biasanya mengambil masa empat tahun menjadi lima.



Tambahan setahun bermakna para atlet diberi lebih masa untuk mempersiapkan diri, tetapi ia juga datang dengan ketidakpastian dan kegelisahan yang bertambah di tengah-tengah keadaan koronavirus di serata dunia yang tidak menentu.



Namun, menjadi antara yang terbaik di dunia, tiada halangan sebesar mana yang boleh mematahkan semangat para atlet ini daripada bersaing di pentas terbesar sukan.



Bahkan, mereka sudah dipersiap untuk beraksi di pentas besar.



Dan setelah setahun ditunda, medan persaingan yang dinanti-nantikan, Sukan Olimpik Tokyo 2020, akhirnya dibuka esok.



Di Tokyo 2020, Team Singapore akan menampilkan kontinjen paling pelbagainya, dengan 23 wakil daripada 12 cabang sukan, iaitu satu kemajuan yang membanggakan dalam perjalanan Sukan Olimpik negara sejak London 1948.



Singapura akan menyertai kempen kali ini dengan seorang juara Sukan Olimpik.



Di Rio 2016, perenang Joseph Schooling bukan hanya menjuarai final kupu-kupu 100 meter, sekali gus mencatat rekod nasional, Asia, Komanwel dan Sukan Olimpik dalam 50.39 saat, malah berjaya menyatukan negara dalam detik yang penuh bersejarah.



Tokyo 2020 juga akan menyaksikan sebilangan besar kontinjen negara membuat penampilan sulung mereka di pentas terbesar sukan itu.



Jonathan Chan dan Freida Lim akan melakukan terjunan pertama di temasya itu buat sukan terjun Singapura, sementara Amita Berthier dan Kiria Tikanah Abdul Rahman adalah atlet pelawan pedang pertama negara untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik.



Caroline Chew, bersama kudanya, Tribiani, akan masuk ke padang sebagai ekuestrian Sukan Olimpik pertama negara.



Seperti 74 peratus atlet yang bertanding di Sukan Olimpik Musim Panas itu, ia akan menjadi peluang sekali dalam seumur hidup bagi ramai.



Pemegang slot kuota universaliti atletik Shanti Pereira akan menikmati setiap saat dalam perlumbaan lari pecut 200 meter beliau, sementara perenang maraton Chantal Liew, yang akan bersara selepas Tokyo 2020 untuk melanjutkan pengajian sarjana dalam interaksi manusia-komputer, akan menghargai tempoh dua jam lebih bertanding dalam perlumbaan 10 kilometernya.



Namun, dalam merebut peluang keemasan itu, para atlet mengharungi pelbagai cabaran unik - yang mungkin belum pernah berlaku dalam persiapan Sukan Olimpik sebelum ini.



Jika sebelumnya mereka perlu risau tentang mencapai tahap prestasi yang tertentu, jadual kem latihan, peralatan atau sama ada mereka terkena keracunan makanan, kali ini mereka dilanda kebimbangan yang berbeza.



Pemain tenis meja Feng Tianwei, yang berpangkalan di Osaka sejak setahun lalu, tidak tidur lena memikirkan sama ada beliau akan dapat divaksinasi.



Sebagai pendatang asing, beliau hanya berjaya menerima dos vaksin Covid-19 di Jepun pada hujung bulan lalu.



Atlet berusia 34 tahun itu adalah atlet Sukan Olimpik negara yang paling banyak meraih pingat - satu pingat perak dan dua pingat gangsa - tetapi beliau terus gigih berlatih, melawan usia dan kecederaan.



Beliau tidak hanya mahu menyamakan rekod nasional empat penampilan Sukan Olimpik bersama Joscelin Yeo dan Li Jiawei, malah sasar meraih satu lagi pingat dalam apa yang mungkin penampilan terakhirnya.



Pendayung Joan Poh harus melanjutkan cuti tanpa gajinya sebagai seorang jururawat di Hospital Tan Tock Seng untuk memburu kelayakan Sukan Olimpik, yang beliau kecapi kurang 100 hari sebelum majlis pembukaan temasya esok.



Peluncur angin Amanda Ng pula akan bertanding dengan kecederaan setelah ligamen kolateral medial di lutut kirinya koyak pada gred 2 sebelum menjamin kelayakan April lalu.



Ia terlalu lewat untuk beliau menjalani pembedahan dan kembali beraksi, lantas akan mengharapkan keajaiban ketika mengharungi angin dan ombak kelak.



Ini merupakan antara cabaran dan pengorbanan yang para atlet Singapura sanggup melalui.



Bagaimanapun, seperti yang dikatakan Kiria, 21 tahun, kepada Berita Harian baru-baru ini:



"Bertanding di Sukan Olimpik adalah satu peluang yang datang sekali dalam seumur hidup. Bertanding di Sukan Olimpik semasa pandemik adalah peluang kedua dalam seumur hidup... Saya tidak mahu mensia-siakan peluang ini."



Dalam usaha membendung penularan Covid-19, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) melarang peserta masuk ke Kampung Sukan lima hari sebelum acara pertama mereka.



Mereka akan perlu mengikuti jadual yang ketat dan meninggalkan Jepun dalam tempoh dua hari selepas pertandingan terakhir mereka, antara sekatan ketat lain yang ditetapkan.



Semalam, sukan sofbal menjadi acara sukan pertama memulakan persaingan di Tokyo 2020, dengan pasukan tuan rumah mengalahkan Australia 8-1 di stadium di Fukushima yang kosong tanpa kehadiran penonton.



Penonton dari luar negara mahupun tempatan dilarang menonton acara temasya secara fizikal sedang jumlah kes Covid-19 melonjak di Jepun, termasuk 71 kes yang dikesan berkaitan Tokyo 2020 sehingga kelmarin.



Berikutan kenaikan kes, ketua jawatankuasa penganjur Tokyo 2020 Toshiro Muto kelmarin berkata ia tidak menepis kemungkinan untuk membatalkan temasya itu, sementara beberapa jam kemudian, presiden IOC Thomas Bach menegaskan bahawa "pembatalan tidak pernah menjadi pilihan untuk kami".



Dengan sehari sebelum Tokyo 2020, para atlet terus dicabar.



Namun, ia dianggap hanya halangan kecil yang harus mereka tempuhi demi bertanding dalam kalangan pesaing hebat.



Bak pepatah Inggeris, 'no pain, no gain' yang membawa maksud tiada kejayaan tanpa pengorbanan.



Masa mereka semakin suntuk dan pentas pun sudah tersedia. Setelah lama menunggu, kini tiba masanya untuk Team Singapore bersinar.




Sekilas angka menarik pasukan Olimpik S'pura



2



Lloyd Valberg (lompat tinggi) adalah atlet Sukan Olimpik pertama Team Singapore di London 1948, tetapi pemain bola sepak Chua Boon Lay dan atlet angkat berat Wong Seah Kee dianggap dua atlet kelahiran Singapura pertama di temasya sukan itu ketika mereka mewakili China di Berlin 1936. Selain itu, Ng Liang Chiang (lompat pagar 400 meter), Chia Boon Leong, Chu Chee Seng (bola sepak) dan Wee Tian Siak (bola keranjang) menyertai skuad China di London.



54



Saiz kontinjen Sukan Olimpik terbesar Team Singapura adalah di Melbourne 1956, ketika mereka bertanding dalam enam sukan, termasuk sukan berpasukan seperti bola keranjang, hoki dan polo air.



5



Atlet angkat berat Tan Howe Liang adalah pemenang pingat sukan Olimpik Singapura apabila beliau menang pingat perak di Rome 1960. Beliau juga adalah salah seorang daripada sekurang-kurangnya lima atlet yang bertanding untuk Singapura dan negara lain di Sukan Olimpik yang berbeza. Pemain bola keranjang Wee Tian Sak juga bermain untuk Republik China sementara Tan dan rakan sepasukan angkat berat Chua Phung Kim, pelari pecut C.Kunalan dan penembak Kok Kum Woh mewakili Malaysia di Tokyo 1964.



3



Pemain tenis meja Feng Tianwei menjadi warga Singapura ketiga untuk mengambil bahagian dalam empat Sukan Olimpik di Tokyo 2020. Atlet Sukan Olimpik empat kali lain adalah pemain tenis meja Li Jiawei (2000, 2004, 2008, 2012) dan perenang Joscelin Yeo (1992,1996, 2000, 2004).



8



Pasangan adik-beradik di Sukan Olimpik - Tan Eng Bock & Eng Liang (1956); Alexander & Wiebe Wolters (1956); Bernard (1964), Patricia & Roy Chan (1972); Oon Jin Teik (1984) & Jin Gee (1984, 1998); Desmond (1988, 1992, 1996) & Gerald Koh (1996), Terence & Koh Seng Leong (2008); Quah Ting Wen (2008, 2016) & Zheng Wen (2012, 2016, 2020); Lo Man Yi (2008) & Ryan Lo (2020).



INFOGRAFIK: SUKAN OLIMPIK TOKYO 2020: TEAM SINGAPORE




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >