Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harapan 'ikon' skuad nasional Syazni dalam penampilan terakhir

Nov 20, 2021 | 5:30 AM
HARAPAN SEBELUM BERSARA: Penyerang veteran Muhd Syazni berharap pasukan lelaki nasional, yang berlatih dengan gigih sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan Floorball Dunia Ke-13 di Helsinki, Finland Disember ini (gambar atas), dapat memperbaiki ranking ke-16 dunia - kalau boleh ke-12 - dan melayakkan diri sebagai pasukan terbaik dari Asia dalam Sukan Dunia 2022. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
HARAPAN SEBELUM BERSARA: Penyerang veteran Muhd Syazni berharap pasukan lelaki nasional, yang berlatih dengan gigih sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan Floorball Dunia Ke-13 di Helsinki, Finland Disember ini (gambar atas), dapat memperbaiki ranking ke-16 dunia - kalau boleh ke-12 - dan melayakkan diri sebagai pasukan terbaik dari Asia dalam Sukan Dunia 2022. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

MEMPERBAIKI ranking Singapura dalam arena antarabangsa.

Itulah harapan penyerang veteran pasukan floorball nasional, Muhd Syazni Ramlee, yang akan membuat penampilan terakhir untuk negara dalam Kejuaraan Floorball Dunia Ke-13 di Helsinki, Finland, bulan depan.

"Diam tak diam saya sudah 13 tahun mewakili negara dalam floorball sejak saya tampil untuk pasukan nasional buat pertama kali dalam Kejuaraan Asia-Pasifik 2008 di Australia.

"Kami muncul juara dalam pertandingan itu yang kemudian diubah namanya menjadi Kelayakan Kejuaraan Dunia.

"Kini, selepas membantu pasukan nasional melayakkan diri dan saya sendiri tampil dalam empat kejuaraan dunia sejak 2010, yang menyaksikan kami menduduki ranking ke-16 sebanyak empat kali, saya ingin mengakhiri kerjaya saya sebagai pemain nasional dengan membantu negara mencapai kedudukan lebih baik," jelas Muhd Syazni, 30 tahun, yang disifatkan oleh kakitangan jurulatih dan pemain sebagai 'ikon floorball pasukan negara'.

Mula bermain floorball pada usia 13 tahun, jurulatih floorball sepenuh masa di sekolah-sekolah itu berkata beliau menyaksikan sukan itu berkembang dengan pesat sejak ia mula diperkenalkan di sini pada 1994.

"Ia sejenis sukan yang mudah dimainkan. Anda hanya perlu sebatang kayu pemukul, sepasang kasut, sebutir bola plastik dan gelanggang. Permainannya serupa hoki ais.

"Ini menyebabkan ia popular di sekolah-sekolah sebagai satu kegiatan kokurikulum (CCA) sebelum ia berkembang ke peringkat kelab.

"Seingat saya, Dewan Sukan Tampines dulu dikenali sebagai 'tempat kelahiran floorball SG' selain ia turut dimainkan di Institut Outram lama," terang bapa seorang anak lelaki berusia 15 bulan itu.

Menurut Muhd Syazni, yang jatuh cinta pada floorball kerana sekolahnya tidak menawarkan sukan bola sepak dan hoki, secara peribadi beliau menyasarkan ranking 12 pasukan teratas dunia dalam penampilan terakhirnya bersama pasukan nasional.

"Saya melihat pemain nasional berlatih dengan begitu gigih meskipun pada mulanya kami terpaksa menjalani pelbagai sekatan dan langkah keselamatan akibat Covid-19.

"Walaupun terdapat banyak dugaan, saya rasa kami telah menunjukkan peningkatkan dari aspek teknikal.

"Yang perlu sekarang adalah bagi kami membuat persiapan beralih dari tahap latihan ke tahap pertandingan kerana suasananya berbeza," tambah Muhd Syazni, yang pernah membantu pasukan nasional memenangi pingat emas acara floorball dalam Sukan SEA 2015 Singapura.

Singapura, bagaimanapun, tewas kepada Thailand dan meraih pingat perak dalam Sukan SEA 2019 Filipina.

Floorball belum lagi menjadi acara pertandingan tetap dalam Sukan SEA.

"Harapan saya, saya ingin melihat pemain yang sedia ada meningkatkan kemampuan untuk menggantikan pemain senior seperti saya untuk membawa floorball negara ke tahap lebih tinggi," ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg