MANCHESTER: Gol dalam masa kecederaan yang dijaringkan oleh Simon Kjaer mencuri kemenangan daripada genggaman Manchester United dan membenarkan AC Milan meraih keputusan seri 1-1 dalam perlawanan pertama pusingan kalah mati Liga Europa di Old Trafford semalam.

Pemain berusia 18 tahun, Amad Diallo memecah kebuntuan pada minit ke-50 dan anak didik Ole Gunnar Solskjaer kelihatan akan membawa bekal kelebihan satu gol bagi perlawanan kedua, tetapi benteng United gagal mengadang gol penyamaan Kjaer itu.

Keputusan seri itu menebus kekecewaan yang dirasakan Milan, yang menjaringkan dua gol yang dibatalkan pengadil sebelum itu, dengan pemain-pemainnya mampu menceroboh benteng United dengan mudah.

Jaringan Rafael Leao pada minit kelima dianggap dilakukan dari posisi ofsaid, sementara jaringan Franck Kessie dibatalkan sistem penolong pengadil maya (VAR).

United boleh membuka tirai jaringan lebih awal, tetapi Harry Maguire gagal menemui sasaran dari jarak dekat meskipun gawang terngaga luas.

Dalam pada itu, kapten Harry Kane mencerah peluang Tottenham Hotspur melangkah ke suku akhir selepas beliau menjaringkan dua gol untuk membantu pasukannya menang 2-0 ke atas Dinamo Zagreb.

Ini adalah kemenangan kelima berturut-turut bagi anak didik Jose Mourinho.

Bercakap kepada wartawan selepas perlawanan, Mourinho berkata sumbangan Kane kepada pasukan sukar ditandingi pemain lain.

"Beliau berada di mana-mana. Beliau boleh menjaringkan gol... membantu pasukan semasa kami bertahan dan juga merintis peluang gol bagi pasukan.

"Apabila Kane dalam pasukan, kami mempunyai peluang bertambah untuk menang," ujar Mourinho.

Namun, perlawanan berkesudahan lebih awal bagi Kane, yang terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan lutut.

Bagaimanapun, Mourinho berkata kecederaan itu ringan dan beliau menjangka Kane dapat kembali cergas untuk menyertai pasukan yang akan berentap dengan Arsenal dalam derby London pada Ahad ini.

"Tiada masalah. Saya tahu Kane, dan beliau akan kembali cergas bagi perlawanan itu," kata Mourinho.

Dalam pada itu, Arsenal juga mencerah peluang melangkah ke pusingan selanjutnya selepas menewaskan Olympiakos 3-1. - Agensi berita.