ENGLAND: Penyerang Manchester United Edinson Cavani "tidak rasa selesa" dan mungkin akan pulang ke negara asalnya, Amerika Selatan, menurut bapanya.
Pemain Uruguay berusia 34 tahun itu menyertai United secara percuma Oktober lalu dalam perjanjian asal selama setahun setelah meninggalkan Paris St-Germain.
Beliau menjaringkan tujuh gol dalam 25 penampilan musim ini.
"Ada 60 peratus peluang bahawa Edinson akan ke Amerika Selatan," kata Luis Cavani kepada saluran TyC Sports.
Namun, malam kelmarin, Cavani memuatnaik foto di akaun Instagramnya menunjukkan beliau bermain untuk United dengan kapsyen "bangga memakai baju ini".
Dalam wawancara bersama TyC Sports, Luis Cavani berkata:
"Kami sangat risau. Kami sentiasa menziarahinya, dia telah ke tempat-tempat yang sangat cantik di mana orang menerimanya dengan sangat baik.
"Dia telah membuat dirinya disayangi, dia telah membuat ramai kawan, tetapi hari ini dia tidak rasa selesa di mana dia berada.
"Dia sudah berfikir untuk lebih dua tahun bahawa dia mahu berada lebih dekat dengan keluarganya dan itulah sebab mengapa saya rasa Edi akan akhirnya bermain untuk pasukan dari sini di Amerika Selatan."
Bapa Cavani mengatakan bahawa beliau kemungkinan akan berpindah ke Boca Juniors di Argentina.
"Saya tahu dia akan suka bermain dan berada dekat dengan negaranya, supaya kami akan boleh berada lebih dekat dengannya," tambah Luis Cavani. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg