Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hassan Sunny sedia sertai Singa bagi Piala Asia 2027

Nov 24, 2025 | 1:13 PM
bola sepak, Hassan Sunny, Singa, Piala Singapura
Penjaga gol Albirex Niigata, Hassan Sunny, beraksi dalam perlawanan Piala Singapura menentang Tanjong Pagar United di Stadium Jurong East pada 23 November. - Foto ST

Bekas penjaga gol skuad nasional, Hassan Sunny, mengesahkan beliau terbuka untuk dipanggil semula menyertai pasukan Singa, dengan hasrat mendapat tempat dalam pasukan yang mewakili Singapura ke Piala Asia 2027.

Penjaga gol berusia 41 tahun itu mengumumkan persaraan antarabangsanya pada Ogos 2024, selepas muncul sebagai benteng Singa paling kerap dengan rekod 115 penampilan sepanjang lebih 20 tahun.

Bercakap kepada The Straits Times (ST) pada 23 November di Stadium Jurong East, Hassan mengesahkan beliau bersedia dipanggil semula menyertai skuad nasional. 

Hassan ditemui selepas sekali lagi mempamerkan aksi hebat ketika Albirex Niigata menewaskan Tanjong Pagar United 1-0 dalam aksi kumpulan Piala Singapura.

Hassan, yang berjaya menjaga gawang daripada dibolosi dalam dua daripada tiga perlawanan Piala Singapura, berkata:

“Apabila saya bersara, saya kata ia adalah untuk memberi peluang kepada penjaga gol muda tampil ke depan dan mendapat lebih banyak peluang untuk bermain.

“Tetapi jika tiada penjaga gol muda yang tampil, saya sentiasa bersedia membantu pasukan nasional dalam apa jua cara. Selagi saya masih bermain, saya terbuka untuk kembali bersama skuad nasional.

“Meskipun saya mungkin pilihan keempat, saya tetap boleh memberi sumbangan. Saya sempat bergurau dengan (jurulatih sementara) Gavin (Lee), bahawa jika beliau perlukan pilihan keempat, saya sedia membantu.”

Tiga penjaga gol yang beraksi dalam perlawanan baru-baru ini ialah Izwan Mahbud, 35 tahun, Syazwan Buhari, 33 tahun, dan Rudy Khairullah, 31 tahun, lapor ST.

Hassan, yang mengucapkan tahniah kepada pasukan Singa atas kejayaan layak ke Piala Asia, berkata adalah impian setiap pemain untuk bermain menentang pasukan bertaraf dunia – sesuatu yang menanti skuad tersebut di Arab Saudi pada 2027.

“Ia adalah pengalaman berharga bagi sesiapa yang akan berada dalam pasukan Piala Asia,” kata Hassan, yang membuat penampilan sulung antarabangsanya pada 2004.

“Saya sentiasa bersemangat untuk main dalam pertandingan bertaraf dunia. Tetapi semuanya terpulang kepada Gavin dan barisan jurulatih. Jika mereka perlukan saya, saya ada di sini,” tambahnya.

Perlawanan terakhirnya bersama Singa ialah pada Jun 2024, apabila beliau menampilkan aksi cemerlang meskipun Singapura tewas 1-3 kepada Thailand dalam kelayakan Piala Dunia.

Meskipun usianya sudah melepasi 40 tahun, Hassan terkenal sebagai seorang pemain profesional yang menjaga pemakanan dan pemulihan selepas perlawanan, sekali gus mengekalkan prestasi terbaik dalam kejohanan tempatan.

Bagi orang ramai, beliau kekal sebagai salah seorang penjaga gol terbaik tempatan.

Penjaga gol nombor satu Singa buat masa ini, Izwan, menghadapi cabaran untuk mendapat peluang beraksi bersama kelab teratas liga, Lion City Sailors.

Beliau hanya membuat penampilan pembukaan dalam dua daripada lima perlawanan liga, serta tidak dapat peluang beraksi dalam empat perlawanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Liga Juara-Juara Asia 2 musim ini, dengan penjaga gol Croatia, Ivan Susak, menjadi pilihan utama.

Namun, Izwan memainkan peranan penting dalam kelayakan Singapura ke Piala Asia, yang disahkan pada 18 November melalui kemenangan 2-1 di tempat lawan menentang Hong Kong.

Selain prestasi baik Hassan di padang, kepimpinan dan pengalaman luas beliau menjadikannya aset berharga bagi skuad Singa.

Penolong jurulatih Albirex, Jaswinder Singh, berkata pasukannya telah “menempatkan diri dalam posisi terbaik” bagi separuh akhir Piala Singapura setelah menang dalam semua tiga perlawanan.

Beliau turut menggambarkan penjaga gol mereka sebagai ‘unicorn’ – merujuk kepada seorang yang luar biasa dan jarang ditemui.

Jaswinder berkata: “Tidak ramai (pemain) seperti beliau di Asia Tenggara, malah mungkin di Asia.

“Beliau seorang pemain profesional contoh, membawa pengalaman luas kepada pasukan, penjaga gol yang boleh dipercayai, dan seorang pemimpin.”

“Saya tidak rasa ada satu hari pun di mana seseorang boleh menganggap bahawa Hassan tidak mampu menyumbang kepada pasukan nasional,” ujar Jaswinder.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg