Topic followed successfully
Go to BHkuHati penari Breakdance Australia luluh selepas teruk dikecam
Hati penari Breakdance Australia luluh selepas teruk dikecam
Hati penari Breakdance Australia luluh selepas teruk dikecam
PARIS: Penari Breakdance Australia, Rachael Gunn, berkata reaksi yang diterima sejak beliau bertanding di Sukan Olimpik Paris telah meluluhkan hati dan menjejas semangatnya.
Beliau merayu diberi privasi bagi keluarga dan rakan-rakannya.
“Saya sangat menghargai ucapan positif yang diberikan, dan saya gembira kerana dapat memberikan sedikit kegembiraan dalam hidup anda. Itulah yang saya harapkan,” kata Gunn, yang dikenali sebagai b-girl Raygun, dalam hantaran di Instagram pada 15 Ogos.
“Saya tidak sedar bahawa ini juga akan membuka pintu kepada begitu banyak kebencian yang, secara jujur, sangat meluluhkan hati,” tambah beliau.
Gunn dikecam teruk dalam talian dan ia menjadi tular selepas beliau tewas dalam pertandingan dalam format pusingan robin atau ‘round-robin’ di Paris.
Pusingan robin dalam pertandingan menetapkan bahawa setiap pemain perlu bermain dengan semua pemain lain yang mengambil bahagian, mengikut giliran yang ditetapkan oleh penganjur.
Acara sukan ‘breaking’ membuat penampilan sulung di Olimpik.
Gunn bukan sahaja tewas, malah mendapat markah kosong dalam pusingannya.
“Saya ke sana (Olimpik) dan saya seronok, tetapi dengan amat serius.
“Saya berusaha keras untuk membuat persiapan bagi Sukan Olimpik dan memberi yang terbaik,” kata Gunn.
Jawatankuasa Olimpik Australia (AOC) pada 15 Ogos mengecam petisyen dalam talian yang menggesa siasatan terhadap pemilihan Gunn ke Sukan Olimpik Paris, mengatakan bahawa ia mengandungi kepalsuan yang bertujuan mencetuskan kebencian terhadap Gunn.
Ketua Eksekutif AOC, Matt Carroll, berkata petisyen tersebut “menimbulkan kebencian awam tanpa berasaskan fakta”.
Beliau menambah bahawa ia “mendatangkan kebimbangan, mengelirukan dan (bersifat) membuli”.
Dalam kenyataan itu, Carroll turut berkata bahawa Gunn, 36 tahun, “dipilih melalui peringkat kelayakan dan proses pencalonan yang telus dan bebas”.
Gunn mendapat tempat ke Sukan Olimpik setelah menang acara Kelayakan Oceania di Sydney pada Oktober 2023.
AOC mengesahkan bahawa acara itu dijalankan di bawah sistem kelayakan Olimpik yang ditentukan oleh badan induk antarabangsa, Persekutuan Sukan Tarian Dunia (WDSF) seperti yang diluluskan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Mereka menyatakan bahawa panel penilai untuk acara itu dipilih oleh WDSF dan terdiri daripada sembilan juri antarabangsa bebas yang dibawa ke Australia secara khusus untuk menilai dan memberi “pengadilan yang adil, (daripada) pakar dan telus”.
Rakan sepasukannya, Jeff Dunne, turut mempertahankan Gunn.
“Apa yang saya tahu adalah beliau telah berusaha beraksi dengan tekun dan beliau telah menjadi peneraju utama di Australia bagi wanita dan saya menghormatinya 100 peratus,” kata Dunne.
Gunn juga meminta privasi daripada orang ramai dan media.
“Saya benar-benar ingin meminta pihak media berhenti mengganggu keluarga saya, rakan-rakan saya, komuniti penari Breakdance Australia dan komuniti penari secara umum,” kata Gunn.
Gunn menambah, beliau akan mengambil cuti selama beberapa minggu – yang memang telah dirancang sebelum ini – untuk ke Eropah dan akan menjawab sebarang soalan sekembalinya ke Australia.
Petisyen change.org meminta Gunn memohon maaf telah mengumpulkan lebih 54,000 tandatangan.
AOC telah membuat aduan kepada organisasi tersebut, meminta petisyen itu dikeluarkan.
‘Breaking’ kini tiada dalam program sukan bagi Sukan Olimpik Los Angeles 2028. – Agensi berita.

