KECIL-KECIL cili padi.
Di luar, srikandi gusti ini kelihatan seperti remaja biasa yang lain.
Namun, di dalam gelanggang, awas, beliau ligat menindas lawan.
Hanya berusia 13 tahun, Heba Lutfina mengukir nama dalam sukan gusti setempat baru-baru ini setelah muncul juara dalam kategori gusti gaya bebas wanita bawah 53 kilogram di Terbuka Nasional dan Percubaan Pasukan Gusti Singapura 2021 Mac lalu.
Heba, yang mewakili Antlers Wrestling Club, memenangi kesemua tiga perlawanan dalam kejohanan itu, menewaskan tiga lawan lain - Natasha Kang (NYSI Singapore), Pamela Lim (Meerkats Wrestling Club) dan Roxanne Liew (Jagsport).
Heba juga merupakan pesaing termuda yang bertanding dalam kategori terbuka itu.
"Saya tak jangka saya akan dapat meraih pingat emas. Ia sangat sukar untuk bersaing dengan lawan yang lebih besar dan tua daripada saya. Oleh itu, saya harus berikan segala yang saya ada," ujar Heba ketika dihubungi Berita Harian.
Kemenangan di Dewan Sukan Toa Payoh itu juga adalah yang pertama buat remaja tersebut, sejak diperkenalkan kepada sukan gusti lima tahun lalu.
Minggu lalu, Heba dipilih Persekutuan Gusti Singapura (SWF) untuk menyertai pasukan pembangunan nasional gusti Singapura bagi tahun ini.
"Apabila saya asyik kerap kalah, saya rasa sedih tetapi pada masa yang sama, saya tidak sabar untuk pertandingan seterusnya. Jadi, saya hanya berlatih dan terus berlatih sehingga saya berjaya mencapai matlamat saya," kata pelajar tahun pertama di Sekolah Sukan Singapura (SSP) itu.
Heba menceritakan bahawa ayahnya, seorang jurugambar, yang mendedahkannya kepada sukan gusti di usia lapan tahun.
Heba terpanggil untuk mempelajari selok-belok gusti dan menyertai Meerkats Wrestling Club pada 2016, sebelum berhenti buat seketika dari sukan itu dan kemudian berlatih bersama Antlers Wrestling Club.
Heba kini sudah tiga tahun bersama kelab tersebut.
Ditanya apa yang membuat dia jatuh hati pada gusti, Heba yang pernah mencuba satu lagi sukan kombat, jiujitsu, berkata:
"Saya rasa gusti berbeza (berbanding sukan lain). Ia seronok. Ia membantu saya dalam banyak perkara lain seperti membuat saya lebih kuat dan berfikir pantas sebab anda perlu banyak berfikir dalam perlawanan."
Minat mendalam Heba terhadap sukan ini terbukti apabila dia menjadi atlet gusti pertama mengikuti program SSP.
Pengurus operasi dan pembangun jurulatih di SWF, Gabriel Huang, mengatakan bahawa ini menunjukkan kemajuan sukan gusti di Singapura.
"Kami sebelumnya berfikiran bahawa SSP tidak melihat pada sukan kombat. Oleh itu, mempunyai pelajar dari sukan seperti gusti di SSP, ia sesuatu yang besar untuk kami. Kita dapat lihat SSP juga menyokong atlet dari pelbagai latar belakang," katanya.
Heba menambah program SSP membantunya mengimbangi pelajaran dan latihan sekerap lima kali seminggu - yang dijalankan sebelum sekatan terbaru Covid-19 berkuat kuasa minggu lalu.
Ini merupakan cabaran yang dihadapinya semasa di sekolah rendah.
Bekas pelajar Sekolah Rendah Yumin itu harus menghadiri latihan gusti di luar waktu sekolah, kerana sekolahnya tidak menawarkan sukan tersebut.
"Di sekolah rendah, mereka tidak faham sekiranya anda menceburi sukan sendiri. Di SSP, mereka faham dan bantu kami apabila sekiranya kami mengalami kecederaan, sebagai contoh," jelasnya.
Walaupun masih baru dalam sukan gusti, Heba menyasarkan matlamat untuk bersaing di Sukan Olimpik kelak.
"Anda harus berlatih dengan gigih. Anda tidak boleh ada matlamat tetapi tidak berlatih dengan gigih. Sekiranya anda tidak berlatih dengan gigih untuk mencapai matlamat itu, anda tidak akan berjaya mengecapinya," pesan Heba kepada atlet muda lain.
"Saya tak jangka saya akan dapat meraih pingat emas. Ia sangat sukar untuk bersaing dengan lawan yang lebih besar dan tua daripada saya. Oleh itu, saya harus berikan segala yang saya ada... Anda harus berlatih dengan gigih. Anda tidak boleh ada matlamat tetapi tidak berlatih dengan gigih. Sekiranya anda tidak berlatih dengan gigih untuk mencapai matlamat itu, anda tidak akan berjaya mengecapinya.'' - Heba Lutfina
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg