Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

PIALA AFF SUZUKI

'Hidup atau mati' bagi Singa untuk layak ke final

Jurulatih nasional Yoshida harap dapat beri penyokong setempat 'hadiah' Hari Natal; kemenangan akan bawa Singa ke final buat kali pertama dalam 9 tahun
Dec 25, 2021 | 05:30 AM



JURULATIH skuad bola sepak nasional, Tatsuma Yoshida, ingin memberi penyokong setempat 'hadiah' Hari Natal malam ini, sedang pasukan Singa sasar kemenangan dalam perlawanan kedua separuh akhir Piala AFF Suzuki untuk menempah tempat ke final.



Singapura terikat 1-1 dengan Indonesia dalam aksi pertama Rabu lalu yang menjadikan pertarungan di Stadium Negara mulai 8.30 malam ini sebagai 'hidup atau mati' - kemenangan bagi Singa akan menyaksikan pasukan pimpinan Yoshida mara ke final kejohanan berprestij Asia Tenggara ini buat pertama kali dalam sembilan tahun, manakala Indonesia sejak 2016.



Sekiranya seri di akhir 90 minit perlawanan, perlawanan akan diputuskan melalui sepakan penalti.



Namun, sepakan penalti tiada dalam rencana Yoshida, yang berharap menyaksikan anak didiknya memenangi perlawanan dalam 90 minit permainan.



"Saya tidak merancang untuk perlawanan ini ditentukan sepakan penalti. Saya berharap kami dapat menyelesaikan pertarungan di akhir 90 minit perlawanan," kata warga Jepun itu, di sidang media praperlawanan semalam.



"Ia akan menjadi perlawanan yang sukar kerana kedua-dua pasukan memiliki tahap kualiti yang sama tapi saya yakin dengan pemain saya... Saya mahu menang dan beri hadiah Hari Natal kepada peminat bola sepak Singapura."



Pemain pertahanan Singapura Irfan Fandi pula mengatakan persefahaman baik di kalangan pemain serta semangat juang tinggi menjadi kunci dalam usaha Singa memburu kemenangan malam ini.



"Saya rasa dalam perlawanan pertama kami tidak begitu teratur dan sebab itu gawang kami dibolosi gol. Jadi untuk aksi kedua ini, kami harus bersikap lebih berdisiplin.



"Pasukan kami bukan yang paling berbakat secara individu tapi saya tahu sebagai sebuah sepasukan, kami sangat kuat, bersemangat tinggi dan tidak pernah putus asa," tambah Irfan, 24 tahun.



Bagaimanapun, Irfan dan rakannya lain di benteng pasukan Singa perlu berhati-hati dengan serangan pasukan Garuda yang diterajui oleh bintang penyerangnya, Egy Maulana.



Egy, 21 tahun, yang kembali menyertai skuad Indonesia selepas mewakili kelabnya dalam liga Slovakia, FK Senica, dijangka diturunkan dalam aksi malam ini.



Sementara itu, jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong, bersetuju dengan rakan senegara dari Korea Selatan Park Hang-seo, pengendali pasukan Vietnam, supaya kejohanan ini memperkenalkan teknologi penolong pengadil maya (VAR) bagi membantu pengadil membuat keputusan yang tepat di padang.



"Saya percaya teknologi diperlukan dalam bola sepak hari ini. Manusia tidak sempurna 100 peratus dan kerap buat kesilapan," katanya.



Park menggesa VAR digunakan dalam kejohanan Piala Suzuki akan datang setelah mempersoal beberapa keputusan pengadil semasa kekalahan pasukannya 0-2 di tangan Thailand malam kelmarin.



Shin dan pasukannya turut mempertikaikan beberapa keputusan pengadil dalam pertemuan pertama termasuk insiden diberi sepakan percuma sedangkan mereka mendakwa kekasaran berlaku di dalam kotak penalti.



"Singapura selaku tuan rumah punya kelebihan dalam banyak aspek. Tapi, pengadil memainkan peranan penting untuk bersikap adil dalam perlawanan. Jika tidak, satu keputusan teruk oleh pengadil dapat memusnahkan perlawanan," tambah Shin.



Pemain sayap Indonesia, Ramai Rumakiek, yang terlepas beraksi dalam perlawanan pertama akibat penggantungan kad kuning, pula menepis kritikan keletihan pemain yang dilihat dalam babak kedua aksi sebelumnya.



"Kami kini tidak rasa penat langsung... jurulatih (Shin) telah mengatur pelan permainan yang baik dan kami bersedia untuk menang esok (malam ini)," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >