Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SUKAN SEA KEMBOJA 2023

Hujan pingat bagi kontinjen S'pura di Sukan SEA

Raih pingat dalam acara lawan pedang, renang, taekwondo, wushu
May 13, 2023 | 05:30 AM



DARI PHNOM PENH, KEMBOJA: HUJAN pingat bagi kontinjen Team Singapore di Sukan SEA Kemboja pada Jumaat, dalam hari jarang berlaku yang mana awan mendung meredakan bahang cuaca panas di Phnom Penh sejak pagi.



Pelawan pedang Maxine Wong menyumbang emas kepada pungutan pingat negara apabila menjuarai acara foil individu wanita di Dewan B Pusat Konvensyen Chroy Changvar.



Kemenangan itu diraih setelah lawannya menarik diri.



Lawannya dalam perlawanan akhir, juara bertahan Samantha Catantan dari Filipina, jatuh dengan kekok semasa aksi separuh akhir menentang rakan sepasukan Wong, Cheung Kemei.



Catantan, yang mendahului 13-5, akhirnya bangkit untuk menamatkan pertarungan.



Beliau memenangi dua mata seterusnya sebelum rebah sekali lagi dan terpaksa diusung keluar.



Terpincang-pincang dan dengan kaki kirinya menggunakan topang, beliau kembali bersaing dalam pusingan akhir tetapi mengaku kalah dalam pertarungan untuk memberikan Wong kemenangan.



Wong telah tewas kepada Catantan pada perlawanan akhir Sukan Hanoi 2022 dan kepada rakan senegara Singapura, Amita Berthier pada edisi 2019 di Filipina.



Ini adalah pingat emas individu pertama Wong di Sukan SEA.



Atlet taekwondo Diyanah Aqidah Dian Khudhairi pula beraksi mantap di Dewan F dalam pusat konvensyen yang sama.



Beliau memenangi pingat perak dalam final individu 'recognised poomsae' wanita setelah mengumpul markah 7.260 daripada empat pesaing.



Ia merupakan hari istimewa buat Diyanah, 24 tahun, apabila beliau kemudian menang gangsa bersama bagi acara pasangan 'recognised poomsae' campuran bersama Ranen Fong.



Mereka mencatat markah 7.460 untuk menduduki tempat keempat dalam saingan disertai tujuh negara.



Dua pingat ini merupakan yang pertama untuk Diyanah dalam Sukan SEA.



Di Dewan A, dua pingat perak dimenangi menerusi wushu.



Jowen Lim mencatat 9.67 mata untuk muncul sebagai naib johan acara changquan lelaki, manakala Tay Yu Xuan terpaksa berpuas hati dengan perak dalam acara gabungan taijiquan dan taijijian lelaki selepas persembahannya dinilai 19.119 mata.



Pasukan floorball Singapura juga terus cemerlang di Kemboja.



Di Dewan Taman Dinosaur pada Jumaat, juara bertahan pasukan wanita membaham Malaysia 13-0, sebelum pasukan lelaki - yang meraih perak di edisi yang lalu - menang 6-0 ke atas lawan dari negara sama.



Kededua pasukan lelaki dan wanita Singapura akan bertemu Filipina pada 14 Mei.



Dalam pada itu, perenang Singapura menutup kempen Sukan SEA 2023 mereka dengan penuh gaya pada Khamis, selepas merangkul tiga lagi pingat emas untuk untuk menjadikan jumlah keseluruhan mereka kepada 22.



Pungutan emas itu adalah lebih satu berbanding yang mereka miliki pada edisi lalu Sukan SEA - iaitu 21 emas - dan kurang satu untuk menandingi rekod terbaik mereka, 23 emas, yang diraih pada 2015 dan 2019.



Singapura juga membawa pulang 15 perak dan 10 gangsa dari Kemboja kali ini.



Selepas dua kali nyaris menjuarai dalam acara gaya kupu-kupu 50 meter wanita dan kuak dada 50 meter lelaki, Gan Ching Hwee menghasilkan emas ke-20 negara dalam 800 meter gaya bebas wanita yang dimenanginya dalam masa 8 minit 41.05 saat, di hadapan rakan sepasukan Ashley Lim (8:48.88) dan Vo Thi My Tien dari Vietnam (8:56.07).



Ong Jung Yi kemudian memenangi emas pertamanya dalam gaya kupu-kupu 200 meter lelaki.



Perenang berusia 22 tahun itu mencatat masa 1:59.44, cukup mengatasi warga Thailand Navaphat Wongcharoen (1:59.64) dan Nguyen Duy Khoa Ho dari Vietnam (2:00.60).



Pasukan berganti-ganti campuran 4x100 meter wanita - yang terdiri daripada Faith Khoo, Letitia Sim, Quah Jing Wen dan Quah Ting Wen - menyempurnakan malam Singapura pada hari terakhir persaingan renang menggondol emas dan sekali gus memecah rekod temasya sukan dengan catatan masa 4:06.97.



Ini adalah edisi ke-10 berturut-turut Singapura mengungguli kutipan pingat dalam renang di Sukan SEA.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >