Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Huru-hara di bawah pemilik baru Chelsea

Pemecatan pengurus Graham Potter - selepas nasib serupa menimpa Thomas Tuchel - menunjukkan kelab itu tiada rancangan, arah atau struktur jelas
Apr 8, 2023 | 5:30 AM
GRAHAM POTTER: Bekerja dengan pemilik yang jelas mahu kejayaan dengan tergesa-gesa. - Foto REUTERS
GRAHAM POTTER: Bekerja dengan pemilik yang jelas mahu kejayaan dengan tergesa-gesa. - Foto REUTERS -

LONDON: Pemecatan pengurus Chelsea, Graham Potter, adalah satu lagi saga yang berlaku dalam tempoh pendek dan huru-hara di bawah pemilik baru pasukan itu, Todd Boehly.

Boehly memikat Potter daripada persekitaran stabil di Brighton - kelab yang boleh dianggap selesa buat pengurus itu dan dibangunkannya dengan kesabaran, dan secara perlahan-lahan serta stabil hingga menjadi sebuah kelab yang agak kukuh - pada September 2022 untuk menyertai sebuah kelab yang tiada tiga ciri itu.

Sebelum itu Boehly, seorang warga Amerika, memberi pengurus yang memberi Chelsea mahkota Liga Juara-Juara, Thomas Tuchel, 100 hari sebelum membuang beliau.

Dan keputusan memberi layanan serupa kepada Potter, yang berumur 47 tahun, selepas hanya 31 perlawanan mengesahkan bahawa sesiapa yang menyangka Boehly akan menggunakan sentuhan lebih ringan dan lebih bersimpati terhadap pengurusnya berbanding pemilik lama yang kejam, Roman Abramovich, sangat tersilap.

Jika cara tidak teratur Boehly berbelanja besar sebanyak £600 juta ($994,450) untuk mendapatkan pemain baru menimbulkan ketidakstabilan dalam pasukan Chelsea, tindakannya memecat seorang lagi pengurus dengan cepat menunjukkan kelab itu tidak mempunyai rancangan, arah atau struktur jelas.

Pihak pengurusan kelab itu memberi Potter kontrak lima tahun dengan jaminan beliau akan mendapat sokongan dan mereka akan bersabar - kata-kata dan pendirian berani yang mereka tidak dapat tunaikan.

Malah kenyataan yang mengumumkan pemergiannya agak pelik: "Graham telah bersetuju untuk bekerjasama dengan kelab ini bagi memudahkan peralihan yang lancar."

Bagaimana? Dengan meninggalkan kelab itu?

Kekalahan 0-2 kepada Aston Villa di padang sendiri - kekalahan ke-11 Potter dalam 31 perlawanan - mengisyaratkan tempohnya sudah berakhir, dengan Chelsea tercorot di tangga ke-11 dalam Liga Perdana England (EPL), 12 mata di belakang empat tempat teratas, iaitu syarat minimum kelab itu baginya.

Kemuncak tempoh singkat Potter di Chelsea ialah membawa Chelsea ke suku akhir Liga Juara-Juara, di mana mereka akan berhadapan Real Madrid.

Siapa bakal memimpin kelab itu menentang juara bertahan itu masih diketahui, dengan bekas jurulatih Bayern Munich Julian Nagelsmann dan bekas pengurus Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino sedia ada.

Buat masa ini, jurulatih sementara Bruno Saltor akan memainkan peranan itu apabila Chelsea menentang Liverpool di Stamford Bridge.

Pemecatan Potter berlaku selepas beliau menjadi sasaran peminat yang marah pada akhir perlawanan menentang Aston Villa itu.

Ramai peminat Chelsea, yang sudah biasa dengan nama-nama besar selaku pengurus mereka, tidak biasa dengan pengurus yang membawa Brighton ke tangga kesembilan musim lalu itu, yang disebut-sebut dalam sembarang perbincangan mengenai rancangan penggantian Gareth Southgate sebagai pengurus England.

Dapat difahami bahawa beliau tidak dapat menolak tarikan Chelsea, sebuah kelab dengan kedudukan, sejarah dan kuasa belanja, tetapi Potter pun tidak dapat membayangkan lubuk pusar besar yang beliau sedang memasuki.

Beliau mungkin tidak mengakuinya tetapi pasti ada masanya beliau mendambakan ketenangan di Brighton daripada ribut yang akhirnya melandanya di Stamford Bridge.

Boehly menyerang pasaran pemain dengan dana yang kelihatan tidak terbatas, pemain datang pada harga tinggi melambung, dan terlalu kerap, hingga menimbulkan persoalan apakah Potter yang meminta mereka dibeli dan bagaimana beliau akan meletak mereka dalam pasukannya.

Kelab itu membelanjakan £107 juta bagi mendapatkan khidmat pemain midfield Argentina Enzo Fernandez dan penyerang Shaktar Donetsk dari Ukraine, Mykhailo Mudryk, pada harga £89 juta.

Kededua pemain ini merupakan tunggak utama Chelsea yang diperoleh semasa tempoh pemindahan Januari lalu. Ketibaan para pemain 'mahal' ini meningkatkan jangkaan dan permintaan untuk pasukan itu maju.

Malangnya, Chelsea seolah-olah terus mundur dan Potter tidak mampu "bernafas lebih lama".

Potter nampaknya kehilangan sentuhan pasti bagi sistem dan ketajaman taktikal yang dimilikinya di Brighton sedang beliau mengatur bekalan pemainnya yang ramai.

Selepas kekalahan 1-0 di padang sendiri kepada kelab tercorot Southampton pada Februari, Potter berkata:

"Anda menerima kritikan. Itu harus datang. Itu adil. Suasana di sini sentiasa positif dan penuh hormat. Itu bukan bermakna ia mudah sama sekali. Kehidupan keluarga anda menderita, kesihatan mental anda menderita, keperibadian anda - ia adalah sukar."

Dan beliau bekerja dengan pemilik yang jelas mahu kejayaan dengan tergesa-gesa.

Kepada orang luar, Boehly nampaknya seperti tiada rancangan jelas, sanggup belanjakan bagi pemain tanpa idea kukuh apakah mereka sesuai.

Kini beliau tertekan untuk membuktikan beliau tahu cara membawa kejayaan bagi sebuah kelab bola sepak dalam EPL.

Boehly memang berani membuat keputusan berat seperti dalam pemecatan dua pengurusnya, tetapi beliau juga perlu buktikan bahawa beliau berupaya mendapatkan pengurus sesuai. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg