Subuh
5:58
Syuruk
7:16
Zuhur
1:20
Asar
4:35
Maghrib
7:21
Isyak
8:31
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

PERSONALITI SUKAN

Ikhsan permata S’pura

Ketajaman penyerang muda negara yang kini beraksi di Liga Thai kian dapat tumpuan; masa depan kian menyinar
Apr 18, 2022 | 05:30 AM



NAMA beliau semakin melekat di bibir penyokong bola sepak tempatan.



Ini kerana penyerang muda Ikhsan Fandi terus menyerlah di depan gawang.



Malah, Ikhsan menunjukkan kehebatannya dengan menjaringkan empat gol bagi kelabnya, BG Pathum United, dalam Liga Thai menentang PT Prachuap FC baru-baru ini.



Lebih menakjubkan lagi, gol-gol itu dijaringkan dalam tempoh 11 minit - antara minit ke-20 dengan minit ke-31 - yang merupakan yang terpantas bagi jaringan empat gol dalam liga itu.



Ini bermakna Ikhsan menjadi pemain kedua terpantas meraih pencapaian itu pada kurun ke-21 ini - hanya di belakang penyerang Poland Robert Lewandowski yang menjaringkan lima gol dalam sembilan minit semasa mewakili Bayern Munich menentang VfL Wolfsburg pada 2015.



Kehebatan peningkatan Ikhsan di padang bukanlah sesuatu yang mengejutkan.



Sebagai anak kedua legenda bola sepak tempatan Fandi Ahmad, ramai menaruh harapan terhadap Ikhsan untuk cemerlang seperti bapanya itu.



Semasa membesar, Ikhsan memang menyerlah di setiap peringkat bola sepak yang dilaluinya.



Peminat pertama kali melihat beliau menyarungi jersi Singapura di Piala Lion City 2015 dan beliau tidak mengecewakan dalam pertandingan itu.



Ikhsan berjaya menjaringkan hatrik untuk menyamakan kedudukan selepas Singapura berada 0-3 di belakang skuad Bawah 15 Tahun Liverpool, yang mempunyai pemain utama sekarang seperti Curtis Jones dan Neco Williams ketika itu.



Meskipun mereka kalah dalam penentuan sepakan penalti 5-3, Ikhsan menunjukkan kebolehan dan mengukir namanya di pertandingan itu.



Pada 2016, beliau membuat penampilan profesional pertama di liga tempatan bersama Home United.



Ikhsan hanya mampu membuat empat penampilan tanpa jaringan gol sebelum dipanggil menjalani Perkhidmatan Negara (NS).



Gol profesional pertama beliau tiba apabila beraksi bersama pasukan muda Young Lions pada 2017. Sepanjang bersama kelab itu, Ikhsan berjaya menjaringkan lapan gol.



Demi ingin menguji bakatnya itu di Eropah, beliau menyertai kelab bola sepak divisyen dua Norway, Raufoss IL, pada 2019.



Ikhsan hanya perlukan dua minit sahaja untuk menjaringkan gol pertamanya bagi kelab itu.



Dalam musim unggul bersama kelab itu, Ikhsan berjaya menjaringkan enam gol dalam 37 penampilan sebelum berpindah ke kelab FK Jerv pada 2020.



Di situ, namanya menjadi sebutan dalam kalangan peminat Jerv pula, selepas gol yang dijaringkannya menyelamatkan kelab itu daripada terpaksa melalui pusingan kalah mati bagi mempertahankan kedudukannya dalam liga.



Ikhsan kemudian menyertai abangnya, Irfan, di BG Pathum United pada musim 2021/22 selepas kelab utama Thai itu difahamkan membayar lebih AS$50,000 ($68,300) untuk mendapatkan khidmat Ikhsan, dengan gaji pemain berusia 22 tahun itu melonjak daripada lima angka kepada enam angka setahun.



Pelaburan itu tampak berbaloi dengan Ikhsan berjaya menjaringkan sembilan gol dalam 13 perlawanan bagi kelab berpangkalan di Bangkok itu sejauh ini.



Selain menyerlah di peringkat kelab, Ikhsan juga turut menjadi permata di kalangan peminat Singapura.



Sejak penampilan pertamanya pada 2017, Ikhsan telah menjaringkan 13 gol dalam 26 perlawanan bagi pasukan Singa.



Ini termasuk dua gol cemerlang semasa menentang musuh ketat Malaysia di siri perlawanan Tiga Negara FAS 2022 bulan lalu.



Bekas pemain pertahanan Singapura, R. Sasikumar, yang membawa Ikhsan dan abangnya Irfan ke kelab di Italy (AC Milan) dan Sepanyol (Valencia dan Hercules) sebelum mereka berusia remaja, berpandangan bahawa asas yang kukuh sejak kecil telah membantu pemain itu menjadi semakin cemerlang.



"Mereka berlatih dan bermain di Eropah dan kemudian di Chile. Memang baik melihat mereka membawa pengalaman itu ke peringkat antarabangsa sekarang. Ikhsan mempunyai ketinggian, fizikal, sentuhan yang baik dan boleh menjaringkan gol dengan kedua-dua kaki dan kepalanya.



"Semua ini merupakan tanda-tanda pemain nombor 9 (penyerang utama) yang baik, dan beliau juga mencipta peluang untuk menjaring gol sendiri.



"Pemain berbahaya seperti beliau bantu meningkatkan pasukan. Kini, rakan sepasukannya mempunyai titik tumpuan dan seseorang yang boleh menjaringkan gol. Kami hanya perlu memastikan beliau mendapat sokongan yang mencukupi," katanya.



Walaupun masih jauh untuk memecahkan rekod bapanya yang menjaringkan 55 gol dalam 101 penampilan, bekas kapten nasional dan jurulatih sementara skuad nasional bagi siri Tiga Negara FAS itu, Nazri Nasir, percaya Ikhsan mampu mempertajamkan lagi taringnya di depan gol.



"Sebelum ini, kita mempunyai penyerang nombor 9 seperti bapanya, Fandi Ahmad, Noh Alam Shah dan Khairul Amri... apa yang saya boleh katakan adalah Ikhsan sesuai dengan nombor (posisi) itu dan kian menyerlah dengan setiap perlawanan," kata Nazri.



Walaupun tidak menghiraukan perbandingan antara beliau dan bapanya, Ikhsan hanya ingin membuat bapanya bangga terhadap pencapaiannya di peringkat nasional.



"Ia sentiasa satu penghormatan untuk mengetuai barisan depan Singapura.



"Pasukan dan jurulatih telah meletakkan tanggungjawab besar kepada saya tetapi saya tidak rasa tertekan. Saya dengan senang hati menjalankan tugas saya sebaik mungkin," katanya dengan senyuman lebar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >