CAPE VERDE: Penjaga gol veteran Cape Verde, Vozinha, mencuri perhatian dunia selepas aksi cemerlangnya membantu negaranya mengikat Sepanyol tanpa jaringan.

Beliau bakal menerima suntikan semangat istimewa menjelang pertemuan menentang Uruguay pada 21 Jun (22 Jun waktu Singapura) apabila ibunya bakal hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Selepas dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan dalam aksi menentang Sepanyol pada 15 Jun (16 Jun waktu Singapura), pemain berusia 40 tahun itu mendedahkan bahawa ibunya tidak dapat hadir ke Piala Dunia kerana kos mendapatkan visa Amerika Syarikat terlalu tinggi.

Namun, keadaan itu kini berubah.

Dari kediamannya di Sao Vicente, ibu Vozinha, Ana Candida Evora, mengesahkan bahawa segala urusan telah diselesaikan dan beliau akan berlepas ke Miami untuk bertemu anaknya itu.

“Saya sangat gembira. Semua ini berlaku begitu pantas, tetapi saya bersyukur dan teruja,” katanya.

“Jika diizinkan Tuhan, saya akan dapat menyaksikan anak saya beraksi di Piala Dunia.”

“Saya mahu berada di sana untuk memberi sokongan, semangat dan kekuatan kepadanya. Dan selepas perlawanan, saya mahu memeluknya.”

Ketua Demokrat Dewan Perwakilan Amerika, Hakeem Jeffries, memaklumkan bahawa kos visa untuk ibu Vozinha telah dikecualikan, manakala urusan perjalanan turut diatur bagi membolehkan pertemuan mereka di Miami.

“Tiada seorang ibu pun yang sepatutnya terlepas peluang menyaksikan anaknya mencipta sejarah,” tulis Jeffries di platform X.

Jeffries berkata beliau telah menghubungi Setiausaha Negara Amerika, Marco Rubio, dan meminta Jabatan Negara mengambil segala langkah yang diperlukan bagi memastikan ibu Vozinha dapat hadir menyaksikan perlawanan Cape Verde menentang Uruguay.

“Dengan sukacitanya saya mengumumkan bahawa ibu Vozinha akan memperoleh visa tepat pada masanya untuk hadir perlawanan ini. Semua bayaran berkaitan telah dikecualikan dan urusan perjalanan sedang diatur supaya ibu dan anak ini dapat bertemu semula di Miami.”

Jeffries turut merakamkan penghargaan kepada Rubio, pegawai Jabatan Negara Amerika, pemerintah Cape Verde dan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) atas kerjasama mereka menjayakan usaha tersebut.

Seorang pegawai Jabatan Negara Amerika kemudian mengesahkan bahawa pasukan visa mereka di Praia (ibu kota Cape Verde) sedang berhubung rapat dengan Ana bagi memastikan segala keperluan perjalanan dapat diselesaikan.

Sejak aksi hebatnya menentang Sepanyol, Vozinha muncul sebagai wira rakyat dan fenomena media sosial, dengan jutaan pengikut baru mengikuti perkembangannya.

Beliau telah membuat 91 penampilan antarabangsa bersama Cape Verde dan kini beraksi untuk kelab Chaves dalam liga divisyen kedua Portugal.

Sepanjang kerjayanya, beliau turut pernah bermain di Slovakia, Angola, Moldova dan Cyprus.

Selepas perlawanan menentang Sepanyol, Vozinha mengakui emosinya sukar dibendung.

“Saya menangis kerana saya dibesarkan oleh datuk dan nenek saya. Malangnya mereka sudah tiada. Mereka meninggal dunia beberapa tahun lalu dan mereka sangat bermakna dalam hidup saya,” katanya.

“Saya juga teringat ibu saya. Beliau tidak dapat berada di sini kerana isu visa.

“Kos yang perlu dibayar menyebabkan kami tidak sempat menguruskannya lebih awal. Saya benar-benar berharap beliau dapat berada di sini.” – Agensi berita.