SIAPAKAH pengganti Ikhsan Fandi?
Perhatian peminat bola sepak setempat kini tertumpu pada persaingan bagi mengisi tempat kosong di barisan depan pasukan nasional, selepas pilihan utama, Ikhsan, mengalami kecederaan teruk menjelang perlawanan pembukaan Kejohanan AFF Mitsubishi Electric pada Sabtu ini.
Pemain berusia 23 tahun itu, bersama pemain midfield kreatif, Adam Swandi, 26 tahun, kededuanya mengalami kecederaan lutut dalam perlawanan persahabatan dengan Maldives pada hujung minggu lalu dan tidak akan menyarung jersi nasional di kejohanan tersebut.
Selain Ikhsan, ketua jurulatih nasional Takayuki Nishigaya telah menamakan enam lagi pemain barisan depan - Faris Ramli, Hazzuwan Halim, Ilhan Fandi, Shawal Anuar, Amy Recha dan Taufik Suparno - dalam skuad 29 pemain yang menjalani kem latihan di Chiba, Jepun, awal bulan ini.
Tempat Faris Ramli dan Ilhan Fandi dalam skuad Kejohanan AFF agak terjamin, yang bermakna Nishigaya perlu memilih salah satu daripada Hazzuwan, Shawal dan Taufik sebagai pengganti.
Shawal pula tidak mengecewakan semasa dimasukkan dalam perlawanan dengan Maldives, menjaringkan dua gol untuk membantu Singapura menang 3-1.
Kehilangan Adam - yang telah menjadi antara pemain tunggak midfiled di bawah pimpinan Nishigaya - akan dirasai, tetapi dijangka tidak seketara kehilangan Ikhsan.
Ikhsan, yang menyarung jersi BG Pathum dalam liga utama Thailand, telah menjaringkan 17 gol dalam 33 perlawanan antarabangsa. Ini berbanding 15 gol dalam 114 perlawanan yang dijaringkan pemain barisan depan lain.
Nishigaya dijangka menamakan skuad muktamad 23 pemain hari ini.
Mengulas tentang pemilihan skuad itu, Nishigaya berkata beliau sedang menilai pilihan yang ada.
"Saya yakin sepenuhnya dalam keupayaan pemain lain dalam skuad yang boleh menggantikan dua pemain ini. Kecederaan adalah lumrah dalam bola sepak dan saya yakin semangat pasukan dalam skuad akan membolehkan kami mengatasi sebarang cabaran dan terus menumpukan perhatian pada tugas beraksi dengan baik dalam pertandingan," ujar Nishigaya.
Namun, beliau akur apa yang berlaku kepada Ikhsan dan Adam amat malang.
"Bersama rakan sepasukan yang lain, mereka telah berusaha gigih semasa kami membuat persiapan dan saya amat memahami apa yang dirasai mereka pada masa ini
"Tapi, kededua pemain ini mempunyai kekuatan mental dan komitmen yang saya yakin mereka akan kembali beraksi dengan lebih kuat lagi," ujar Nishigaya.
Ikhsan Fandi mengalami kecederaannya pada minit ke-38, selepas memain peranan mencipta peluang gol bagi adiknya, Ilhan, menjaringkan gol pembukaan negara.
Dalam separuh masa kedua pula, Adam, yang mewakili Lion City Sailors dalam Liga Perdana Singapura (SPL) rebah dan tidak bangun lagi selepas diterkam oleh pemain pertahanan Maldives, Ahmed Numaan.
Difahami, kededua Ikhsan dan Adam tidak mengalami kecederaan ligamen atau (ACL) yang boleh menyebabkan mereka tidak dapat bermain bagi jangka panjang.
Namun, mereka tetap perlu menjalani pembedahan bagi merawat kecederaan masing-masing.
Mengulas mengenai kecederaannya, Ikhsan berkata:
"Saya tidak boleh mengubah ata yang telah tertulis, tetapi dengan sokongan rakan sepasukan dan staf yang lain, saya akan kembali dengan lebih kuat. Buat masa ini, saya hanya mampu memberi sokongan sebagai penonton sahaja."
Singapura membuka tirai kejohanan dengan menentang Myanmar di Stadium Jalan Besar pada Sabtu ini.
Singapura, juara empat kali, berada dalam Kumpulan B bersama Laos, Malaysia, Myanmar dan Vietnam.
Kumpulan A diisi oleh juara bertahan, Thailand, Filipina, Indonesia, Kemboja dan Brunei.
"Saya tidak boleh mengubah apa yang telah tertulis, tetapi dengan sokongan rakan sepasukan dan staf yang lain, saya akan kembali dengan lebih kuat. Buat masa ini, saya hanya mampu memberi sokongan sebagai penonton sahaja." - Ikhsan Fandi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg