Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ikhsan dijangka jadi harapan Singa lagi apabila menentang Filipina

Dec 8, 2021 | 5:30 AM
TUNGGAK: Safuwan Baharudin (gambar atas, jersi nombor 21) meraikan kejayaannya menjaringkan gol pertama Singapura semasa menentang Myanmar Ahad lalu. Apabila bertemu Filipina malam ini, pasukan Singa dijangka bergantung lagi pada Ikhsan Fandi, yang menunjukkan kehandalan di depan gol apabila menyumbatkan dua gol terhadap Myanmar. - Foto fail BH
TUNGGAK: Safuwan Baharudin (gambar atas, jersi nombor 21) meraikan kejayaannya menjaringkan gol pertama Singapura semasa menentang Myanmar Ahad lalu. Apabila bertemu Filipina malam ini, pasukan Singa dijangka bergantung lagi pada Ikhsan Fandi, yang menunjukkan kehandalan di depan gol apabila menyumbatkan dua gol terhadap Myanmar. - Foto fail BH -

BERBEKALKAN kemenangan memberangsangkan dalam perlawanan pertama, anak didik Tatsuma Yoshida melangkah ke Stadium Negara malam ini dengan penuh keyakinan, walaupun berdepan ujian lebih genting.

Lawan mereka dalam perlawanan kedua Kumpulan A kejuaraan Piala Suzuki AFF ialah Filipina, pasukan bergelar The Azkals yang kebanyakannya dibentuk pemain berpangkalan di Eropah.

Tidak hairanlah Yoshida enggan berkongsi terlalu banyak tentang strategi pasukannya semasa sidang media semalam.

Namun, raut wajahnya penuh dengan keyakinan selepas Singapura menewaskan Myanmar 3-0 pada perlawanan pertama. Beliau juga memuji cara pasukannya berjuang dalam perlawanan itu.

"Saya bangga dengan cara permainan pemain dan bagaimana kami meraih semua tiga mata. Semangat juang dalam pasukan hebat sekali," ujar beliau.

Singapura akan berada di kedudukan baik untuk melangkah ke pusingan kalah mati daripada Kumpulan A jika ia berjaya mengutip tiga mata daripada perlawanan dengan Filipina malam ini.

Malah, jika Singapura mengatasi Filipina dan selanjutnya Timor Leste dalam perlawanan ketiga, anak didik Yoshida akan melangkah ke perlawanan keempat - menentang juara lima kali Thailand - berbekal sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan.

Bagi mendapatkan keputusan idaman itu, Singapura perlu sekali lagi bergantung pada penyerang muda Ikhsan Fandi, yang menunjukkan kehandalan di depan gol apabila menjaringkan dua gol semasa menentang Myanmar Ahad lalu.

Ikhsan, yang kini bermain secara profesional di Norway, menjaringkan dua gol itu dengan cara berbeza, menggunakan kaki kanan untuk merembat bola deras ke sudut kiri gawang dan dengan kepalanya, menanduk tepat bola hasil umpanan Shahdan Sulaiman ke dalam gawang.

Namun, Yoshida pastinya telah bertungkus lumus memperbaiki kelemahan yang ditunjukkan benteng Singapura semasa perlawanan menentang Myanmar.

Beberapa kali dalam perlawanan itu, pemain Myanmar berjaya menembusi benteng di bahagian sayap Singapura dengan gerakan bijak dan pantas antara dua pemain.

Selang sejam dalam perlawanan itu, beberapa pemain nasional kelihatan menunjukkan kesan 'karat', mungkin kjerana tidak beraksi bersama secara kerap sejak pandemik Covid-19 melanda.

Beberapa hantaran tidak menemui sasaran dan meletakkan pasukan dalam bahaya, seperti hantaran oleh Shakir Hamzah kepada kapten Hariss Harun pada separuh masa kedua, yang terlalu lemah.

Bak jatuh ditimpa tangga, Hariss dilayangkan kad kuning apabila cuba merampas bola dari lawan yang mencuri hantaran kurang tepat itu.

Apabila berdepan Filipina, yang mempunyai pemain lebih cekap daripada Myanmar dan berbekal pengalaman beraksi di Eropah, Singapura perlu memperketat benteng dan mengurangkan kesilapan individu.

Jika berupaya melakukan itu, harapan Singapura mara ke pusingan selanjutnya kian cerah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg