Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

IKHSAN FANDI: Perjuangan saya baru bermula

Masih banyak yang mahu dicapai di pentas bola sepak Eropah, kata pemain berbakat ini yang akui beliau hanya 'belia biasa'
Jan 10, 2021 | 05:30 AM



"



MESKIPUN kehidupan hariannya bagaikan "makan, tidur, main bola", sekali gus merealisasikan impian setiap pemain muda bola sepak Asia Tenggara untuk beraksi secara profesional di Eropah, penyerang nombor satu Singapura Ikhsan Fandi mengatakan beliau tidaklah "kemaruk dengan bola sepak".



Pemain berusia 21 tahun itu menganggap dirinya hanya belia biasa, yang "melakukan perkara yang sama seperti anak muda berusia 21 tahun yang lain."



Beliau suka berjemur di tepi pantai, bermain boling dan keluar bersantai bersama rakan-rakan hingga larut malam pada waktu lapang atau luar musim.



Ikhsan, yang menyarung jersi kelab Norway FK Jerv, kini berada di Singapura untuk bercuti bersama keluarga selama beberapa minggu setelah Liga Divisyen Satu Norway menutup tirai musimnya pada 13 Disember lalu.



"Sebenarnya, mereka yang rapat dengan saya tahu bahawa bola sepak tidak menguasai setiap detik hidup saya... tapi, saya tahu bila saya perlu berikan bola sepak keutamaan. Pendek kata, saya bukan gila (bola)," ujar beliau.



Beliau menambah: "Saya gemar berkawan, keluar bersantai bersama mereka sampai malam, tetapi hanya apabila saya tidak ada latihan keesokan harinya," kongsi Ikhsan dengan Berita Minggu semasa bersembang dengan wartawan mengenai musim 2020 beliau di Eropah.



KEMUNCAK MUSIM 2020



Ikhsan mengakhiri musim keduanya dalam Liga Divisyen Satu Norway dengan cemerlang apabila menjaringkan gol, yang mungkin terpenting dalam kerjayanya, pada minit ke-90 ketika menentang pasukan Stjordals-Blink.



Gol Ikhsan, pada minit terakhir dalam perlawanan terakhir liga, berjaya membantu Jerv seri 1-1, sekali gus memastikan status kelab itu dalam liga utama Norway.



Jerv menamatkan musim dengan meraih tempat ke-11 daripada 16 pasukan, mengumpul 35 mata dalam 30 perlawanan.



Detik itu, menurut Ikhsan, adalah kemuncak tahun 2020 beliau. Ini memandangkan beliau tidak memiliki permulaan musim yang baik dengan kekurangan peluang untuk beraksi di padang ketika bersama satu lagi kelab Norway, Raufoss IL.



Ikhsan, yang digelar 'Singapore Airlines', berpindah ke Jerv pada 5 Oktober lalu.



Tuahnya di depan gawang lebih menyerlah di Jerv apabila menjaringkan lima gol dalam 14 perlawanan untuk pasukan itu setakat ini.



Ini berbanding hanya enam gol dalam 37 perlawanan buat Raufoss sejak menyertai kelab itu pada Januari 2019.



Di tengah-tengah kesibukannya beraksi di Eropah, Ikhsan juga menerima berita baik dari tanah air - beliau dinobat sebagai Jauhari Harapan oleh akhbar ini.



Anugerah Jauhari Harapan disampaikan kepada individu yang berusia 30 tahun dan ke bawah yang telah mempamerkan pencapaian dan potensi dalam bidang tersendiri.



Adik beliau, Iman Fandi, telah menerima anugerah tersebut bagi pihak Ikhsan dalam satu majlis November lalu yang dihadiri tetamu terhormat, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.



Mengimbas musim lalu, Ikhsan, yang sudah setahun tidak dapat pulang ke tanah air akibat sekatan perjalanan Covid-19, berkata:



"Ia musim yang sangat, sangat sibuk untuk saya - berpindah kelab dan cuba menyesuaikan diri dengan pasukan baru. Dan sudah tentu, bersaing hingga ke perlawanan terakhir, yang juga menentukan kedudukan pasukan... secara keseluruhannya, ia memang 'gila'," kata Ikhsan sambil tertawa besar.



"Tetapi, pengalaman seperti ini amat berharga. Anda dapat belajar bagaimana menangani dan menyesuaikan diri dengan situasi sukar dan tertekan."



SASAR LEBIH BANYAK GOL



Musim 2020 mungkin baru sahaja berlalu, namun Ikhsan sudah pun meletakkan sasaran bagi musim akan datang iaitu menjaringkan sekurang-kurangnya 10 gol dalam Liga Divisyen Satu Norway.



Dengan itu, Ikhsan akan mengatasi rekod 11 jaringan di Eropah yang dicatat bapanya, Fandi Ahmad.



Legenda bola sepak Singapura itu beraksi dengan pasukan Belanda FC Groningen dari 1983 hingga 1985.



Ikhsan kini satu-satunya pemain Singapura yang beraksi di Eropah, dengan pemain Singapura lain seperti abangnya, Irfan Fandi, beraksi di liga Thailand, dan kapten pasukan Singa Hariss Harun bersama kelab Malaysia, Johor Darul Ta'zim.



Ditanya mengapa tidak mengikut jejak langkah mereka bermain di liga rantau ini yang menawarkan kontrak yang lebih lumayan, Ikhsan berkata beliau lebih terpanggil dengan pengalaman bola sepak Eropah yang lebih mencabar.



"Orang selalu kata kepada saya, 'Ikhsan, kenapa tidak pergi sahaja bermain di Thailand, Malaysia, Indonesia, Jepun atau negara berdekatan di mana kontraknya lebih baik'.



"Tetapi, saya masih muda dan saya perlu bangunkan diri saya.



"Saya rasa Eropah adalah tempat baik untuk saya bangunkan diri - budaya yang berbeza, gaya bola sepak yang berbeza, lebih mencabar, lebih fizikal," ujarnya.



PENGORBANAN



Ikhsan sedar perjalanannya di Eropah belum pasti menemui kejayaan.



Namun, beliau bersedia berkorban dan meneruskan perjuangan mengharumkan nama Singapura di arena bola sepak Eropah.



Matlamatnya jauh daripada mencapai garisan penamat, dengan pemain itu belum lagi puas menjadikan padang di sana pentas untuk menyerlahkan bakatnya.



Katanya: "Dalam beberapa tahun akan datang, orang ramai akan lihat Ikhsan yang berbeza.



"Tapi buat masa ini, perjalanan saya baru bermula."




BUKAN GILA BOLA



Sebenarnya, mereka yang rapat dengan saya tahu bahawa bola sepak tidak menguasai setiap detik hidup saya... tapi, saya tahu bila saya perlu berikan bola sepak keutamaan. Pendek kata, saya bukan gila (bola)...



Saya gemar berkawan, keluar bersantai bersama mereka sampai malam, tetapi hanya apabila saya tidak ada latihan keesokan harinya.




KENAPA TIDAK MAIN DI RANTAU INI



Orang selalu kata kepada saya, 'Ikhsan, kenapa tidak pergi sahaja bermain di Thailand, Malaysia, Indonesia, Jepun atau negara berdekatan di mana kontraknya lebih baik'.



Tetapi, saya masih muda dan saya perlu bangunkan diri saya.



Saya rasa Eropah adalah tempat baik untuk saya bangunkan diri - budaya yang berbeza, gaya bola.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >