IKHSAN dan Irfan Fandi, yang berpangkalan di luar negeri, telah disertakan dalam skuad bawah 22 nasional yang mengambil bahagian dalam Piala Merlion di Singapura bulan ini.
Pasangan adik-beradik itu antara 22 pemain yang dipilih ketua jurulatih Fandi Ahmad.
Kebanyakan pemain yang dipilih beraksi bagi Young Lions dalam Liga Perdana Singapura (SPL) dan telah mewakili negara di peringkat kelayakan Kejohanan Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) bawah 23 tahun awal tahun ini.
Fandi juga telah mengundang enam pemain dari kelab SPL lain, termasuk Daniel Goh (Balestier Khalsa), Ryhan Stewart (Warriors) serta Danish Irfan dan Zikos Chua (Geylang International); dan Hami Syahin dan Amiruldin Asraf (Home United).
Ikhsan, 20 tahun, dan abangnya Irfan , 21 tahun, masing-masing beraksi di Norway dan Thailand. Ikhsan, mewakili pasukan Raufoss IL dan Irfan menyarung jersi BG Pathum United. Kededua kelab itu bersaing dalam divisyen bola sepak kedua di negara masing-masing.
Ikhsan, seorang penyerang, telah menjaringkan tiga gol dalam lapan perlawanan setakat ini, kesemuanya tanpa memulakan permainan.
Irfan, yang beraksi di bahagian pertahanan BG Pathun United, pula berjaya menjaringkan empat gol dalam 13 perlawanan setakat ini.
Singapura membuka tirai perlawanan Piala Merlion dengan menentang Filipina pada 7 Jun di Stadium Jalan Besar. Pemenang perlawanan ini mara ke final pada 9 Jun, di mana mereka akan menentang Thailand atau Indonesia.
Piala Merlion kali ini dianggap sebagai persiapan Sukan SEA yang berlangsung dari 30 November hingga 11 Disember.
Ia kali terakhir diadakan pada 2009, apabila Singapura bertemu pasukan Liga Perdana England Liverpool dan tumpas 0-5.
Sebelum itu, Piala Merlion - yang dianggap pertandingan undangan terunggul di sini - diadakan secara tahunan dari 1982 hingga 1986, dan sekali pada 1992.
Ia pernah menampilkan pasukan nasional dari Belanda, Australia, Iraq, China dan Korea Selatan selain pasukan peringkat kelab seperti Inter Milan dan Lokomotiv Moscow.