KELUARGA ikon bola sepak Brazil Pelé telah berkumpul di hospital São Paulo dalam keadaan bimbang mengenai kesihatan legenda berusia 82 tahun itu yang semakin merosot.

Dua anak perempuannya berada di sisinya di hospital Albert Einstein hampir sepanjang minggu ini dan mereka disertai seorang lagi anaknya Edinho, yang datang dari Londrina, (540 kilometer jauh daripada hospital berkenaan), di mana beliau melatih pasukan divisyen dua Brazil.

Salah seorang anak perempuannya, Kely Nascimento, memuatnaikkan gambarnya di Instagram lewat Jumaat lalu (23 Disember), lapor laman Guardian.

Foto itu menunjukkannya memeluk bapanya di katil hospital dengan kapsyen: "Kami masih di sini, berjuang dan berbekal iman. Satu malam lagi bersama."

Kakaknya Flavia Arantes do Nascimento juga menyiarkan gambar itu, yang menunjukkan beliau tidur di atas sofa.

Edinho turut berkongsi gambar beliau memegang tangan bapanya.

"Ayah ... kekuatan saya adalah milik anda," tulisnya.

Pelé berada di hospital sejak 29 November dengan komplikasi yang berkaitan dengan barah usus yang kali pertama dikesan pada September 2021.

Beliau telah menjalani kemoterapi sejak itu tetapi doktor tidak memberikan butiran lanjut tentang keadaannya.

Beliau juga dijangkiti Covid-19 awal bulan ini dan doktor berkata pada Rabu, barah itu telah merebak dan [Pelé] memerlukan lebih banyak penjagaan yang berkaitan dengan fungsi buah pinggang dan jantung yang terjejas.

Pelé telah berkahwin tiga kali dan mempunyai anak lain dan tidak jelas bilangannya yang berada di hospital itu.

Bagaimanapun, berita anak-anaknya akan berkumpul menimbulkan kebimbangan beliau menemui penghujung hayatnya.

Pihak hospital tidak mengulas keadaan Pelé. Peminat dari seluruh dunia bertukar-tukar kenangan tentang pemain itu dalam talian pada Sabtu dan membincangkan kedudukannya sebagai ikon bola sepak.

Untuk sebahagian besar kerjayanya, Pelé secara meluas dianggap sebagai pemain terhebat sepanjang zaman, satu status yang dipertikai hangat dengan kedatangan pemain Argentina Diego Maradona pada 1980-an.

Prestasi terkini Lionel Messi dari Argentina, terutamanya dalam memastikan dirinya dapat membawa pulang gelaran juara Piala Dunia pertamanya hujung minggu lalu, juga telah menaikkan statusnya.

Peminat Pelé, bagaimanapun, merujuk pada tiga pingat juara Piala Dunia yang dijulangnya pada 1958, 1962 dan 1970.

Yang pertama dimenanginya ketika berusia 17 tahun dengan menjaringkan enam gol pada peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir.

Beliau kemudiannya menjadikan Santos, kelab dari Brazil sebagai salah satu pasukan terhebat yang pernah disertainya dengan memenangi setiap perlawanan yang disertai seberapa boleh.

Pele bersara pada 1974 tetapi kembali bermain untuk New York Cosmos dalam liga bola sepak Amerika Utara yang baru bermula ketika itu.

Beliau mencatat rekod 1,281 gol dalam 1,363 perlawanan - pencapaian yang masih sukar ditandingi. - Agensi Berita