Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

MENJELANG SUKAN OLIMPIK TOKYO 2020

Impian jadi nyata - 3 tahun lebih cepat

Pelawan pedang SG Kiria jaya ke Tokyo walau pernah anggap Olimpik angan-angan kosong
Jul 18, 2021 | 05:30 AM



MATLAMATNYA ialah bersaing di Sukan Olimpik pada 2024.



Namun, pelawan pedang Singapura Kiria Tikanah Abdul Rahman mencapai matlamatnya itu tiga tahun lebih awal.



Beliau berlepas ke Tokyo, Jepun hari ini untuk membuat penampilan sulungnya di Sukan Olimpik.



Begitulah perjalanan mahasiswi jurusan kimia di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu sepanjang 13 tahun berkecimpung dalam sukan lawan pedang - penuh dengan pelbagai kejutan.



"Apabila kami (Kiria dan jurulatih Henry Koh) menetapkan matlamat, kami fikir saya akan berjaya bertanding di Sukan Olimpik hanya pada 2024. Matlamatnya ialah 2024, bukan 2020.



"Jadi, Sukan Olimpik 2020 adalah satu bonus... dan ia muncul sebagai satu kejutan," ujar Kiria kepada Berita Minggu.



Kiria, yang menyambut ulang tahun ke-21 beliau bulan lalu, melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo setelah menewaskan pesaing dari Kazakhstan, Ulyana Balaganskaya, 15-13 dalam final acara epee wanita di Kejohanan Kelayakan Olimpik Asia-Oceania di Tashkent April lalu.



Beliau atlet lawan pedang kedua Singapura yang layak ke temasya itu.



Rakan sepasukannya Amita Berthier akan bertanding dalam acara foil wanita.



Singapura akan diwakili oleh 23 atlet dalam 12 cabang sukan - kontinjen terbesar sejauh ini - di Sukan Olimpik Tokyo, yang bermula Jumaat ini, setelah setahun ditunda disebabkan pandemik Covid-19.



Perjalanan Kiria ke Sukan Olimpik bermula lebih 10 tahun lalu, pada usianya lapan tahun apabila beliau mula bergiat dalam sukan lawan pedang.



Tetapi, beraksi di pentas terbesar sukan di dunia hanyalah satu angan-angan kosong buat Kiria pada waktu itu.



"Datang daripada sebuah negara kecil seperti Singapura, dan menonton Sukan Olimpik di televisyen yang mempunyai pesaing dari Jepun, Korea, China dan Eropah yang bersaiz lebih besar, saya tidak tahu apakah saya akan dapat mencapai standard mereka.



"Saya tahu ia satu perjalanan sukar sekalipun saya dapat menjadikan ia satu kenyataan," ujar Kiria.



Namun, dengan pendedahan kepada pelbagai pertandingan besar dan di luar negara, keyakinan - dan azam - beliau untuk beraksi cemerlang di arena antarabangsa lawan pedang bertambah.



Kebolehannya pula dibuktikan dengan pencapaian hebat sepanjang dua tahun lalu.



Di Sukan SEA 2019 di Filipina, Kiria menang pingat emas dalam acara epee perseorangan wanita walaupun itu kali pertama beliau menyertai temasya sukan tersebut.



Kemenangannya itu adalah pingat emas pertama Singapura dalam acara epee Sukan SEA dalam 20 tahun, iaitu sejak 1989.



Kiria memberitahu wartawan kejayaan di Sukan SEA itu juga "satu bonus" kerana beliau berdepan pelbagai rintangan selepas bergelar atlet nasional dua tahun sebelumnya.



"2017 adalah tahun pertama saya di maktab rendah. Budaya sekolah sangat berbeza dan sukar untuk saya menyesuaikan diri kepada sistem pendidikan maktab rendah. Jadi, saya tidak dapat fokus pada lawan pedang," kata alumni Maktab Rendah Raffles itu.



Setahun kemudian, seminggu sebelum beraksi di Sukan Asia 2018, Kiria mengalami kecederaan buku lali. Beliau terus bertanding namun keputusan itu membawa kemudaratan kerana beliau terpaksa menjalani pembedahan dan terlepas beraksi selama tiga bulan.



Ia menjejas kedudukan rankingnya dan Kiria, yang kini di ranking ke-207 dunia, harus mencari rentaknya semula pada hujung 2019 di Sukan SEA.



Ternyata usahanya berbaloi dan Olimpik Tokyo kini menanti kehadiran beliau.



Akur bahawa Jepun bukan tapak kejohanan bertuah baginya - setelah memaparkan persembahan kurang memuaskan dalam Kejohanan Lawan Pedang Asia di Chiba pada Jun 2019 - Kiria berkata beliau tidak menetapkan sebarang matlamat bagi Sukan Olimpik Tokyo.



"Tetapi, satu perkara yang saya tidak mahu bawa pulang ialah kesesalan.



"Bertanding di Sukan Olimpik adalah satu peluang yang datang sekali dalam seumur hidup. Bertanding di Sukan Olimpik semasa pandemik adalah peluang kedua dalam seumur hidup... Saya tidak mahu mensia-siakan peluang ini," katanya.



Latihan bagi Olimpik Tokyo juga berliku bagi Kiria kerana beliau dikehendaki menjalani kuarantin selama 21 hari selepas pulang dari Tashkent.



Selain itu, beliau hanya dapat bersaing dalam kumpulan kecil pelawan pedang tempatan ketika sekatan Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat) Covid-19 baru-baru ini.



Namun, Kiria berkata cabaran itu berbaloi diharungi bagi peluang beraksi di Olimpik.



Ia juga bukan untuk dirinya sahaja.



Kali terakhir pelawan pedang Singapura layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1992, apabila James Wong dan Ronald Tan bertanding dalam acara foil dan epee di Barcelona.



"Saya harap dengan saya dan Amita ke Sukan Olimpik, ia membuka laluan kepada impian pelawan pedang muda lain agar mereka terus berusaha dan bermimpi lebih besar.



"Ia tidak mustahil," kata Kiria.




ATLET S'PURA DI TOKYO 2020



Atletik: Shanti Pereira (lari pecut 200 meter wanita)



Badminton: Loh Kean Yew (perseorangan lelaki), Yeo Jia Min (perseorangan wanita)



Dayung: Joan Poh ("sculls" perseorangan wanita)



Ekuestrian: Caroline Chew (dressage individu)



Gimnastik: Tan Sze En (individu "all-around" wanita)



Kapal layar: Amanda Ng (RS:X wanita), Kimberly Lim & Cecilia Low (49er FX wanita), Ryan Lo (laser lelaki)



Lawan pedang: Amita Berthier (foil wanita), Kiria Tikanah Abdul Rahman (epee wanita)



Renang: Chantal Liew (luatan terbuka 10 kilometer), Joseph Schooling (kuak kupu-kupu 100 meter & gaya bebas 100 meter lelaki), Quah Ting Wen (gaya bebas 50 meter & 100 meter wanita), Quah Zheng Wen (kuak kupu-kupu 100 meter dan 200 meter, kuak lentang (back) 100 meter lelaki)



Tembak: Adele Tan (refal udara 10 meter wanita)



Tenis meja: Clarence Chew (perseorangan lelaki), Feng Tian Wei (perseorangan & pasukan wanita), Lin Ye (pasukan wanita), Yu Mengyu (perseorangan & pasukan wanita)



Terjun: Freida Lim (platform 10 meter wanita), Jonathan Chan (platform 10 meter lelaki)




Tetapi, satu perkara yang saya tidak mahu bawa pulang ialah kesesalan. Bertanding di Sukan Olimpik adalah satu peluang yang datang sekali dalam seumur hidup. Bertanding di Sukan Olimpik semasa pandemik adalah peluang kedua dalam seumur hidup... Saya tidak mahu mensia-siakan peluang ini.
- Pelawan pedang Singapura Kiria Tikanah Abdul Rahman.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >