Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Impian kembang sayap ke Eropah jadi nyata, kata penyerang baru KMSK Deinze Ilhan Fandi

Dec 13, 2022 | 06:15 PM



IMPIAN sejak kecil untuk beraksi di Eropah menjadi nyata, kata penyerang Singapura Ilhan Fandi. 



Setelah menjaringkan 20 gol dalam 27 perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) dan Piala Singapura untuk Albirex Niigata pada musim 2022, Ilhan, 20 tahun, bakal menyahut cabaran baru apabila menyertai KMSK Deinze Januari ini. 



Beliau telah menandatangani kontrak bersama kelab divisyen kedua Belgium itu sehingga Jun 2024, dengan pilihan untuk melanjutkan tempohnya di sana untuk setahun lagi. 



“Sejak kecil lagi, saya bermimpi untuk bermain di Eropah. Dan sekarang peluang itu diberikan kepada saya, saya berasa sangat bersyukur dan akan memanfaatkannya dengan sebaik mungkin…Saya tekad untuk membuat yang terbaik untuk Deinze dan juga Singapura,” kata Pemain Muda Terbaik SPL 2022 itu dalam satu sidang akhbar di Stadium Jalan Besar pada Selasa (13 Disember).



Albirex,, petang ini, turut menandatangani satu persetujuan perkongsian bersama Deinze selama tiga tahun.



Di bawah persetujuan itu, pemain akademi daripada kedua-dua kelab akan dapat menjalani latihan pertukaran di kelab satu sama lain.



Pemain muda yang berbakat daripada program pembangunan belia elit masing-masing akan dipilih untuk menjalani latihan sambil belajar, yang mana mereka berpeluang mengikuti sesi latihan dan bermain dalam perlawanan persahabatan.



Perkongsian itu juga bertujuan untuk membangunkan rangkaian pasukan mencungkil bakat.



Albirex dan Deinze akan berkongsi data mencungkil bakat, dengan sokongan turut diberikan untuk pemain kedua-dua kelab membuat perjalanan ke Singapura atau Eropah.



Pengerusi Albirex Niigata FC (Singapura), Daisuke Korenaga, berkata:



“Daripada 26 pemain Jepun yang dipilih ke Piala Dunia 2022, 19 pemain aktif bermain di Eropah. Jepun berjaya mara ke pasukan 16 terakhir dengan kemenangan ke atas Jerman dan Sepanyol…Saya percaya pengalaman pemain di Eropah adalah faktor besar kepada kejayaan kita.”



Albirex ialah kelab berasal dari Jepun, yang beraksi dalam liga profesional Singapura.



“Begitu juga, bilangan pemain singapura yang bermain di eropah dijangka meningkat, yang akan meningkatkan tahap pasukan bola sepak nasional Singapura. Saya rasa perkongsian ini akan mempromosikan pertukaran antara Singapura dan Eropah dan menyediakan laluan kerjaya yang baik untuk pemain muda yang akan bermain bola sepak di Singapura pada masa akan datang,” tambahnya.



Ketua pegawai eksekutif ACA Football Partners dan pemilik KMSK Deinze, Hiroyuki Ono, pula berkata: 



“Bola sepak sangat popular di Singapura, dan kami berasa perkongsian ini akan menyediakan peluang untuk pemain Asia menimba pengalaman baru. Kami tidak sabar melihat kejayaan Ilhan dan pembangunan langkah bagi menghubung Eropah dan Asia, termasuk kerjasama antara kedua-dua akademi.”



Deinze telah diambil alih pada Januari tahun ini oleh dana pelaburan yang berpangkalan di Singapura, ACA Football Partners.



Sepanjang 18 bulan di Belgium, Ilhan dijangka berlatih bersama pasukan ‘A’ Deinze dan diturunkan untuk perlawanan bawah 21 tahunnya.



Deinze kini berada di tangga kelapan dalam Liga Challenger Pro dengan baki enam perlawanan dan merupakan satu-satunya kelab divisyen dua yang melayakkan diri ke pusingan kalah mati Piala Belgium.



Selain daripada Deinze, Ilhan juga mendapat tawaran daripada kelab -kelab di Amerika Syarikat, Thailand dan Malaysia.



Namun, Belgium menjadi destinasi pilihan, menjadikan beliau pemain bola sepak Singapura pertama beraksi di sana.



Penyerang muda itu juga mengikut jejak langkah ahli keluarganya yang telah mengembangkan sayap mereka di luar negara.



Bapanya, legenda bola sepak Fandi Ahmad, bermain untuk pasukan Belanda, Groningen dari 1983 hingga 1985, manakala abangnya Irfan dan Ikhsan Fandi kini beraksi untuk BG Pathum di Thailand.



Ikhsan juga pernah menyarung jersi kelab tahap kedua Norway, Raufoss (2019-2020) dan FK Jerv (2020-2021).



Ilhan, yang baru pulang ke tanah air pada Selasa dari Chiba, Jepun untuk menjalani kem latihan bersama pasukan nasional sebagai persediaan menjelang Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) mulai 20 Disember ini hingga 16 Januari tahun depan, menambah beliau akan berlepas ke Belgium selepas tamat kejohanan itu.



Ini walaupun kontraknya bersama Deinze bermula pada 1 Januari 2023.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >