Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indahnya alami semarak Piala Dunia di Qatar

Dec 19, 2022 | 5:30 AM
RASA GETARAN: Encik Samad (kanan) bersama keluarga dan warga Singapura lain menonton perlawanan Jepun menentang Sepanyol di Stadium Khalifa. - Foto-foto ihsan ABDUL SAMAD MAHAMOOD
RASA GETARAN: Encik Samad (kanan) bersama keluarga dan warga Singapura lain menonton perlawanan Jepun menentang Sepanyol di Stadium Khalifa. - Foto-foto ihsan ABDUL SAMAD MAHAMOOD -

MENONTON perlawanan bola sepak di tengah-tengah padang pasir bermandikan cahaya bintang bergemerlapan adalah antara kemuncak percutian kami sekeluarga di Qatar sempena Piala Dunia 2022.

Wisata ke sebuah Tapak Warisan Dunia Unesco di utara Qatar dan Perkampungan Budaya Katara serta menaiki kapal layar tradisional menjadikan percutian pasca-Covid-19 ini pengalaman tiada bandingannya.

GETARAN DI STADIUM

Tidak seperti lazimnya, Piala Dunia pertama di Timur Tengah berlangsung pada musim sejuk, dalam musim cuti sekolah hujung tahun. Ini menyajikan peluang percutian idaman bagi kami sekeluarga, setelah sekian lama tidak melancong.

Menghadiri acara sukan gemilang ini tidak mengecewakan sama sekali. Kami dapat rasakan sorakan dan getaran yang menusuk kalbu di stadium dipenuhi sekitar 45,000 hingga 80,000 penonton.

Penyokong pasukan bertanding mempamerkan semangat jitu dan kebanggaan yang memancar melalui kibaran bendera dan corengan wajah. Sebagai warga benua Asia, kami menyarung jersi Jepun dan Korea bagi dua perlawanan peringkat kumpulan yang kami hadiri.

Kami dihiburkan dengan permainan rancak dan bersemangat pasukan Jepun, yang menewaskan Sepanyol 2-1. Buat julung-julung kalinya, kami menyaksikan secara langsung penggunaan teknologi video penolong pengadil (VAR) di Stadium Khalifa untuk mengesahkan jaringan gol Jepun.

Seperti penyokong Jepun lain, masa dirasakan berdetik perlahan semasa menantikan keputusan. Kami juga menyingsing lengan jersi untuk membersihkan stadium selepas perlawanan.

Perlawanan antara Korea dan Portugal tidak kurang mendebarkan kerana pasukan Korea, yang diketuai kapten Son Heung-min, bangkit daripada kedudukan 1-0 untuk menumpaskan gergasi Eropah itu dengan menjaringkan dua gol di Stadium Education City.

Pesta gol menanti kami dalam dua perlawanan pusingan 16 terakhir, apabila Brazil menang 4-1 ke atas Korea di Stadium 974, manakala Portugal menembusi gawang Switzerland enam kali di Stadium Lusail.

Laungan nama pemain terkemuka Neymar dan Ronaldo yang bergema di stadium menimbulkan rasa meremang.

MENIMBA PENGETAHUAN

Sepanjang 10 hari di Qatar, kami mengambil peluang untuk mengenali budaya dan sejarahnya. Jejak sejarah membawa kami ke kawasan Al Khor, Al Thakira dan Al Shamal di utara Qatar, dan mempelajari tentang perkapalan, perikanan, perdagangan mutiara, pertukangan dan perkampungan masa silam.

Kami juga menziarahi Al Zubarah, yang merupakan Tapak Warisan Dunia Unesco.

Pengetahuan yang kami peroleh daripada wisata ini diperkukuh melalui lawatan ke Muzium Nasional Qatar, yang mempamerkan ribuan artifak dan memberi penerangan lengkap tentang sejarah dan semua aspek kehidupan di Qatar.

MENIKMATI PEMANDANGAN

Ibu negara Doha dipenuhi bangunan pencakar langit dan seni bina megah, setanding kota utama di dunia. Ia juga sebuah syurga beli-belah bagi mereka yang mendambakan barangan berjenama. Namun, kami lebih menggemari tempat melambangkan budaya tempatan, seperti Souq Waqif.

Dibuka hingga lewat malam, Souq Waqif menawarkan aneka pakaian tradisional, rempah ratus, kraf tangan dan cenderahati. Kami turut menjamu selera dalam ruang dan suasana tradisional di sana.

Adanya pasar burung dan kandang unta di Souq Waqif menjadikannya tarikan pelancong. Selain itu, bangunan Pusat Kebudayaan Islam Qatar yang berhampiran turut menarik perhatian pelancong dengan bentuk bangunan lingkar ikonik.

Dari Souq Waqif, kami berjalan ke Doha Corniche dan menyusuri tebing yang dihiasi lampu dan arca istimewa.

Pada musim Piala Dunia ini, persembahan dron dan bunga api mewarnai angkasa malam. Begitu juga bangunan sekitar bandar yang dinyalakan bagi menambahkan kemeriahan suasana.

Keadaan hingar-bingar menandakan Doha menjadi wadah tumpuan peminat bola sepak dari pelbagai pelosok dunia, tanpa menghiraukan perbezaan bangsa, negara dan agama. Yang menarik, kami mendapat dua tawaran untuk menukar jersi Singapura dengan jersi negara lain daripada dua peminat bola sepak.

Kami berpeluang menonton siaran lintas langsung perlawanan bola sepak beberapa kali di skrin gergasi dengan puluhan ribu orang yang berhimpun di Festival Peminat Fifa di Taman Al Bidda.

Banyak acara sampingan dan hiburan turut dianjurkan di sana, termasuk konsert selingan. Pendek kata, ada sahaja aktiviti boleh dilakukan sepanjang malam selagi kami bertenaga.

Perkampungan Budaya Katara terletak kira-kira 30 minit dari penginapan kami melalui pengangkutan awam. Masjid Katara dan sebuah amfiteater berbentuk koloseum Rom tersergam indah di sana. Pada musim ini terdapat juga pameran kapal layar tradisional Qatar, yang dipanggil 'dhow' di perairan Katara.

MENGHAYATI PENGALAMAN INDAH

Lawatan ke rantau Timur Tengah terasa tidak lengkap tanpa menyertai aktiviti safari gurun. Setelah sejam merentas gurun dalam kenderaan pacuan empat roda, kami terpegun dengan pemandangan gurun bersebelahan lautan Arab tempat kami berkhemah semalaman.

Kami menghabiskan masa dengan menunggang unta, meluncur pasir, bermain foosball dan sebagainya.

Setelah menikmati makan malam dalam khemah ala Badwi, kami menonton perlawanan bola sepak di te-ngah-tengah padang pasir dengan bermandikan cahaya bintang bergemerlapan. Sebelum berangkat esoknya, kami menghayati keheningan pagi dengan menyaksikan matahari terbit di ufuk timur.

Pada hari terakhir kami di Qatar, kami menaiki dhow dari kawasan pelabuhan Doha lama secara santai. Kami menikmati hidangan barbeku atas kapal berlatarkan landskap persisiran Doha yang menggamit kenangan.

Inilah pengalaman percutian yang benar-benar terpahat di hati kami.

► Penulis seorang pegawai bank.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg