LIVERPOOL: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, berang dengan persembahan pasukan kendaliannya yang dibelasah 0-7 oleh Liverpool dalam saingan Liga Perdana England (EPL) di Anfield.
Seminggu selepas menjuarai Piala Liga - trofi pertama United selepas enam tahun - kelab Old Trafford itu dipaksa kembali berpijak di bumi nyata oleh anak buah Jurgen Klopp.
Rembatan Cody Gakpo meletakkan Liverpool di hadapan sebelum rehat dan persembahan United di separuh masa kedua amat mengejutkan apabila gawang mereka dibolosi lagi sebanyak enam kali.
Gakpo, Darwin Nunez dan Mohamed Salah masing-masing menjaringkan dua gol pada perlawanan itu dengan pemain gantian, Roberto Firmino, melengkapkan kemenangan.
"Keputusannya amat jelas. Ia tidak profesional. Tetapi saya rasa perbezaannya cukup besar berbanding di Brentford (pada Ogos).
"Kami ketinggalan 0-4 pada babak pertama, jadi kami memulakan permainan dengan teruk.
"Hari ini, babak pertama, saya rasa kami pasukan lebih baik. Kami mencipta peluang lebih baik dan dua kali berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol, mereka tidak.
"Kemudian sebelum rehat kami melakukan kesilapan dan dibolosi, jadi saya rasa kami masih mampu mengejar.
"Tetapi ia amat mengejutkan selepas rehat kami seakan menyerah kalah. Dua gol pertama, kami melakukan kesilapan.
"Gol ketiga hasil serangan balas, juga kesilapan kami dalam membuat keputusan. Selepas itu kami terus menjadi tidak tentu arah.
"Sebagai satu pasukan anda perlu bersatu dan itu yang kami tidak lakukan, dan ia amat mengejutkan saya.
"Saya tidak pernah melihat pasukan saya sebegini dan saya rasa ia bukan kami. Saya tidak rasa ia Manchester United, jadi ia amat buruk dan menyedihkan," kata Ten Hag.
Kekalahan pertama selepas 22 perlawanan itu merencatkan misi United untuk memburu Arsenal di puncak liga.
United yang meduduki tangga ketiga EPL, ketinggalan 14 mata di belakang Arsenal yang bermain lebih satu perlawanan. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg