LONDON: Jalan raya di pusat-pusat bandar Italy dipenuhi warga Italy yang bersorak dan mengibarkan bendera negara itu sejurus selepas pasukan negara itu menewaskan England 3-2 menerusi tendangan penalti untuk memenangi final Kejohanan Eropah (Euro) 2020 semalam.
Di sebuah zon peminat di Rome, ribuan penyokong Italy melompat-lompat kegirangan, dengan ada yang berpelukan.
Kemenangan yang dikecapi di stadium Wembley itu memberi Italy kejuaraan Eropah pertama sejak 1968.
England pula terkilan sekali lagi, dan terpaksa menanti lebih lama untuk mengakhiri kemarau trofi kejuaraan pertama yang telah berlarutan sejak ia menewaskan Jerman Barat di final Piala Dunia 1966.
"Saya terlampau gembira! Kami adalah juara Euro dan saya akan meraikan kemenangan ini semalaman," kata Beatrice Mattioli, yang ditemui Reuters di Rome.
Seorang lagi warga Italy, Stefano Gucci, berkata: "Kemenangan ini begitu menakjubkan... saya tiada kata-kata untuk menggambarkannya."
Kemenangan kali ini bagi Italy juga lebih manis, selepas negara itu mengharungi pandemik yang tahun lalu menjadikan Italy antara negara paling teruk terjejas di Eropah.
Ia juga dikecapi dengan pengaruh dan kepimpinan Roberto Mancini, yang berjaya menyemarakkan semangat pasukan nasional - dari saat kekecewaan gagal melayakkan diri ke peringkat akhir Piala Dunia yang lalu, kepada saat ini - sebagai johan Eropah dan rekod 34 perlawanan tanpa kalah.
Mancini, yang dianggap sebagai seorang pemimpin yang mengutamakan sikap berdisiplin dalam kalangan pemainnya, juga telah menunjukkan kecekapan menyusun taktik dan mengubah strategi mengikut kekuatan lawan, sepanjang perlawanan ini.
Sebagai contoh, meskipun Mancini menyusun pasukan supaya menyerang sepanjang pertandingan ini, beliau mengubah strategi untuk melakukan serangan balas dalam perlawanan kalah mati dengan Sepanyol di peringkat separuh akhir.
Dalam perlawanan dengan England semalam, Italy bangkit selepas separuh masa pertama yang hambar, dan berjaya menguasai separuh masa kedua dan menjaringkan gol penyamaan, walaupun tertinggal dari minit kedua.
Bercakap kepada BBC selepas perlawanan itu, Mancini, yang gagal memenangi sebarang trofi utama semasa mewakili Italy sebagai pemain, berkata:
"Memang saya telah menanti lama bagi kemenangan ini dan layak menikmatinya.
"Namun, meskipun saya bertuah dipilih mewakili pasukan yang hebat di Piala Dunia 1990 dan sebelum itu, dalam pasukan bawah 21 pada 1988, kami tidak memenangi sebarang kejohanan... tetapi tewas di final melalui tendangan penalti.''
Mancini, yang dilihat menangis selepas pasukannnya menjadi juara, berkata air matanya adalah bagi seluruh Italy.
"Inilah emosi yang selama ini terpendam dan kini dikeluarkan selepas kami mengecapi kemenangan yang begitu menakjubkan... amat menakjubkan.
"Kami bukan sahaja menang, malah telah membentuk sebuah keluarga dalam tempoh 50 hari yang lalu... itulah sumber kekuatan kami pada hari ini dan bagi masa depan," ujar Mancini.
Kapten Italy, pemain veteran Giorgio Chiellini, berkata beliau sedar akan 'kuasa' yang membimbing mereka dari permulaan pertandingan sehingga wisel penamat di final semalam.
"Tidak hairanlah air mata kami mengalir... . pada usia ini, kami tahu makna sebenar memenangi trofi yang amat berharga itu," kata Chiellini yang berusia 36 tahun. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg