Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SUKAN PARA ASEAN (APG) SOLO

Jangan pandang tiada mata... goalball sasar pingat pertama

Jul 31, 2022 | 05:30 AM



SETELAH tujuh tahun menanti peluang kembali beraksi dalam Sukan Para Asean (APG), pasukan goalball wanita Singapura tidak sabar menunjukkan kemajuan mereka di Indonesia bulan ini, kata seorang pemainnya, Norliana Mohamed Ajam.



Temasya sukan serantau bagi golongan kurang upaya itu kembali bagi edisi ke-11 di Solo dari semalam hingga 6 Ogos.



APG kesembilan di Kuala Lumpur pada 2017 adalah edisi terakhir acara dwitahunan itu. Ia dibatalkan dua kali berturut-turut, pada 2020 (Filipina) dan 2021 (Vietnam), gara-gara pandemik Covid-19.



Penampilan pertama dan satu-satunya skuad goalball Singapura ialah dalam edisi 2015 di negara ini.



Sukan itu juga dipertandingkan pada edisi Kuala Lumpur, tetapi Singapura tidak menurunkan pasukan akibat kekurangan pemain.



Goalball ialah sukan bagi golongan cacat penglihatan dan dimainkan pasukan seramai tiga pemain. Mata didapatkan dengan mengguling atau menggolekkan bola ke dalam gawang lawan.



Ditemui Berita Harian selepas satu latihan di Sekolah Menengah Deyi baru-baru ini, Norliana, 39 tahun, berkata:



"Saya ghairah untuk beraksi dalam gelanggang dan melihat kemajuan kami selama ini.



"Jika saya imbas kembali APG 2015, kami semua masih baru dalam goalball. Jadi, dalam edisi kali ini, saya ingin melihat sampai ke tahap mana kami berjaya capai."



Pada edisi itu, Singapura terlepas memungut pingat selepas hanya mampu menduduki tempat terakhir daripada empat pasukan yang bersaing.



Skuad goalball Singapura pada APG kali ini turut dianggotai Joan Hung; kakaknya, Inez Hung; Christina Aw; dan Nurul Natasya Idrus.



Joan, 26 tahun, dan Natasya, 24 tahun, sebahagian daripada pasukan yang bersaing pada edisi 2015, manakala Inez, 30 tahun, dan Aw, 32 tahun, wajah baru dalam pasukan ini.



Norliana, yang mata kirinya buta dan mata kanan kabur setelah menghidapi uveitis (radang pada uvea, atau lapisan tengah mata), semasa berusia 18 tahun, menambah bahawa pasukan itu tidak berhenti berlatih, termasuk ketika sekatan ketat Covid-19, apabila latihan diadakan secara maya.



Sebagai persiapan bagi APG, mereka juga berlatih dan mengadakan perlawanan dengan pasukan seperti Australia dan Malaysia di sini sejak Mac lalu.



Pengalaman menentang pasukan antarabangsa itu penting memandangkan pertandingan terakhir mereka ialah pada September 2019 dalam Kejohanan Goalball Undangan Asia Pasifik di Thailand.



Selain menyasar pingat pertama goalball Singapura dalam APG, Norliana ingin menyebarkan kesedaran awam mengenai golongan kurang upaya dan sukan.



"Walaupun kami cacat penglihatan, ia tidak bermakna kami tidak boleh bersukan. Daripada bermain goalball, kami belajar kemahiran hidup seperti memperoleh keyakinan dalam diri," tambahnya, yang sebelum ini bergiat dalam sukan boling.



Kontinjen Singapura ke Solo akan dipimpin chef de mission Low See Lien, bendahari kehormat Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura.



Seramai 37 atlet akan mewakili Singapura dalam sembilan cabang sukan. Daripada jumlah itu, 17 atlet akan beraksi buat julung kalinya dalam APG.



Pada edisi terakhir di Kuala Lumpur, Singapura menghantar kontinjen luar negara terbesarnya seramai 90 atlet.



Skuad itu membawa pulang 50 pingat - sembilan emas, 17 perak dan 24 gangsa - iaitu pungutan pingat APG terbanyak Singapura dalam edisi luar negara temasya sukan itu. - ZULAIQAH ABDUL RAHIM




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >