Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BOLA SEPAK EROPAH: JANUARI Paling sepi dalam sejarah

Covid-19, Brexit senyapkan tempoh 'jual beli' pemain

JANUARI Paling sepi dalam sejarah
Feb 01, 2021 | 05:30 AM



SEORANG pemain sayap yang tidak disukai kelabnya, penjaga gawang yang tidak lagi diikat kontrak dan seorang pemain muda yang dianggap berpotensi bagi masa depan.



Dalam tiga minggu pertama tempoh pindahan pemain pada Januari lalu, tiga pemain ini Robert Snodgrass, Andrew Lonergan dan Amad Diallo 'bersatu' sebagai tiga pemain yang bukan dianggap pemain kesebelasan utama tetapi dibeli oleh kelab Liga Perdana England (EPL).



Dalam tempoh yang sama, hanya satu kelab, Aston Villa, membeli pemain bertaraf bintang Morgan Sanson dari Marseille yang turut boleh dianggap sebagai cukup berkaliber menyertai kesebelasan utama kelab tersebut.



Tempoh pindahan pemain bagi EPL berakhir tengah malam nanti dan apa pun berlaku, ia terbukti sebagai tempoh pindahan pemain yang paling senyap dalam sejarah moden.



Kenapa ya?



KURANG FAHAM APA YANG BERLAKU



Buat sekian lama, kelab-kelab bersepakat berkata tempoh pindahan pemain pada Januari adalah antara tempoh paling sukar bagi kelab mendapatkan pemain berkaliber dengan harga yang berpatutan.



Namun, kali ini, faktor luaran - Covid-19 - telah memainkan peranan utama menjadikan tempoh pindahan ini lebih sukar.



Bukan sahaja pandemik koronavirus mengekang perbelanjaan kelab-kelab di England, malah hubungan baru antara Britain dengan Kesatuan Eropah (EU) selepas Brexit (Britain tinggalkan Kesatuan Eropah) bermakna kelab-kelab mengalami lebih banyak kesukaran untuk mendapatkan pemain.



Selepas Brexit, kelab-kelab di England tidak lagi boleh membeli pemain berusia bawah 18 tahun dari EU dan hanya dibenar membeli tiga pemain berusia bawah 21 tahun.



Di luar kumpulan-kumpulan usia itu, kelab-kelab di England hanya boleh membeli pemain yang memenuhi syarat yang ditentukan sistem kiraan mata baru bagi pemain EU.



Sistem itu memadankan mata tertentu dengan pemain berdasarkan pengalaman dan tahap permainan yang pernah disertai.



Hanya pemain yang disifatkan cukup berkaliber dan berpengalaman atau mempunyai sekurang-kurangnya 15 mata dibenar berpindah ke England.



Pemain yang mendapat kurang 10 mata langsung tidak akan diambil kira, sementara pemain yang menerima antara 10 dengan 14 mata akan dinilai oleh panel 'pengecualian' yang ditubuhkan khas.



Bercakap dengan BBC, beberapa ejen pemain berkata faktor-faktor ini, bersama sekatan pergerakan yang dilaksana Britain telah mendatangkan kesan yang tidak diduga, dengan pemain termuda paling teruk terjejas.



"Covid-19 mempunyai kesan yang lebih mendalam terhadap pasaran berbanding Brexit pada masa ini," kata Paul Stretford, yang antara kliennya termasuk bekas pemain England Wayne Rooney.



"Peraturan yang baru ini, adalah semakan peraturan lama yang wujud sebelum Britain menubuhkan EU pada satu masa dahulu dan ia telah diperlukan untuk merangkumi pemain dari Eropah, selain pemain antarabangsa golongan elit dari luar Eropah," ujar Stretford.



"Kelab-kelab di Britain tidak lagi boleh membeli seberapa banyak pemain EU yang dimampui, dan secara sewenang-wenangnya."



Pengarah bola sepak Queens Park Rangers Les Ferdinand berkata bajet yang rendah bermakna kelab tersebut perlu berhati-hati dalam tempoh pindahan Januari.



"Kami bukan sahaja kurang wang, tetapi kurang peluang untuk benar-benar melihat pemain yang diingini beraksi di padang latihan atau dalam perlawanan kompetitif.



"Memang betul, Brexit bermakna kita tidak lagi boleh membeli pemain dengan mudah dari sebahagian negara, tetapi kesan Covid-19 terhadap kewangan kelab juga mengekang kelab daripada berbelanja seperti biasa," ujar Ferdinand yang menambah sistem mata bermakna kelab tidak dapat membeli pemain muda, walaupun mereka dianggap berbakat.



Pengarah urusan di syarikat runding cara perniagaan Sprint MG John Print berkata beliau memberitahu kliennya bola sepak England bukan lagi tempat sesuai untuk membangun kerjaya selepas Brexit.



"Bilangan pemain dari Eropah yang kini layak beraksi di England telah berkurangan secara drastik... dan sebahagian besar pemain dari Eropah terpinga-pinga kerana mereka kurang faham," ujar beliau.



'HIKMAH' SEBALIK CABARAN



Sesetengah pemerhati di England berkata keadaan ini membuka lebih banyak peluang bagi pemain setempat, dengan kelab-kelab kurang pilihan mendapatkan pemain asing.



Malah, Persatuan Bola Sepak (FA) England telah berkata ia berharap kelab-kelab domestik menggunakan peluang ini untuk membangun pemain setempat.



Pada masa yang sama, keadaan ini membuka peluang bagi kelab dan ejen bola sepak meneroka pasaran pemain baru, seperti di Brazil, yang dikenali sebagai mempunyai tampungan pemain muda yang berbakat, tetapi jarang menjadi sumber pemain bagi kelab-kelab di England.



CABARAN DIRASAI DI KELAB-KELAB EROPAH LAIN



Dalam pada itu, Stretford berkata kelab-kelab di Eropah yang lain, terutama di Perancis, Portugal dan Belanda adalah yang paling teruk terjejas akibat peraturan baru berkenaan pindahan pemain ke Britain.



Terdapat bilangan besar kelab di negara-negara tersebut menyusun strategi kewangan yang berpusat pada keupayaan membangun pemain dan menjualnya pada harga yang tinggi kepada kelab-kelab di Britain.



"Sesetengah pasaran bergantung pada sistem pindahan pemain untuk membiayai operasi kelab," kata Stretford.



"Ini termasuk kelab-kelab di Perancis, Portugal, sebahagian kelab-kelab di Sepanyol dan bagi pemain yang dianggap 'lapisan kedua', kelab-kelab dari Belanda dan Belgium.



"Bagi kelab-kelab dari negara-negara ini, strategi utama mereka adalah untuk menjual pemain kepada kelab-kelab di Britain dan keadaan pada masa ini telah menghimpit teruk mata pencarian mereka," ujar Stretford lagi.



Kelab-kelab 'kerdil' di Britain, seperti Brentford dan Norwich City - yang mempuyai strategi membeli pemain EU dari divisyen-divisyen lebih rendah - tidak lagi akan dapat berbuat demikian, kata Print, memberi contoh pemain Norwich Teemu Pukki yang tidak dikenali sebelum berpindah ke England pada musim 2018-19.



Beliau tidak akan layak memasuki England mengikut sistem kiraan mata yang diperkenalkan.



"Kelab-kelab yang sebelum ini bersikap kreatif untuk membeli pemain akan mengalami kesukaran untuk meneruskan kreativiti mereka itu," ujar Print. - Agensi berita.




KESAN PANDEMIK, BREXIT



Pandemik koronavirus mengekang perbelanjaan seperti biasa kelab-kelab di England, kurang peluang lihat peman beraksi di padang latihan, atau dalam perlawanan kompetitif.



Selepas Brexit, kelab-kelab di England tidak lagi boleh membeli pemain berusia bawah 18 tahun dari EU dan hanya dibenar membeli tiga pemain berusia bawah 21 tahun. Di luar kumpulan-kumpulan usia itu, kelab-kelab di England hanya boleh membeli pemain yang memenuhi syarat yang ditentukan sistem kiraan mata baru bagi pemain EU.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >