Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jaringan Adeyemi kejutkan Chelsea di Dortmund

Feb 17, 2023 | 5:30 AM
GOL KEMENANGAN: Penyerang Borussia Dortmund, Karim Adeyemi, menjaringkan gol solo hebat yang menewaskan Chelsea. - Foto EPA-EFE
GOL KEMENANGAN: Penyerang Borussia Dortmund, Karim Adeyemi, menjaringkan gol solo hebat yang menewaskan Chelsea. - Foto EPA-EFE -

DORTMUND: Borussia Dortmund menewaskan Chelsea 1-0 dalam pusingan pertama aksi 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara pada Rabu melalui jaringan penyerangnya, Karim Adeyemi.

Ini setelah beliau mengatur serangan kilat dari belakang dan berjaya memporak-perandakan pertahanan dan penjaga gawang Chelsea sebelum menyepak bola ke dalam gawang pada minit ke-63.

Chelsea mempunyai banyak peluang, menurut laporan BBC, tetapi gagal disempurnakan - pada separuh masa pertama, sepakan Joao Felix terkena palang gol.

Pasukan Liga Perdana England kendalian Graham Potter itu cuba memperhebatkan asakan selepas ketinggalan 0-1 dan hampir menyamakan kedudukan dalam masa kecederaan, tetapi penjaga gawang Dortmund, Gregor Kobel, menyelamatkan percubaan sepakan jarak jauh Enzo Fernandez.

Chelsea kini perlu menang perlawanan pusingan kedua di padang sendiri pada 7 Mac untuk mara ke peringkat seterusnya.

Daripada perlawanan ini juga, ia jelas bahawa Chelsea masih perlu mempertajamkan barisan penyerang mereka.

Ini sungguhpun mereka telah membeli lapan pemain baru dalam tempoh pemindahan musim sejuk baru-baru ini.

Pemain berprofil tinggi seperti Mykhailo Mudryk, Fernandez dan Felix diturunkan dalam kesebelasan utama Chelsea dalam perlawanan ini tetapi sengatan mereka tidak begitu berbisa.

Prestasi Felix dalam babak pertama amat hebat dan beliau kelihatan pasti untuk menjaringkan gol, namun beliau gagal berbuat demikian.

Peminat Chelsea yang membuat perjalanan ke padang lawan di Signal Iduna pulang dengan rasa kecewa.

Ini setelah Chelsea dikatakan pasukan yang lebih baik menentang Dortmund, yang telah memenangi enam perlawanan mereka sebelum ini.

Chelsea belum pernah menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan sejak awal November, lantas menggariskan tugas besar yang perlu dipikul mereka dalam perlawanan timbal balik di Stamford Bridge kelak. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg