Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

7 pemain M’sia digantung kemuka dokumen palsu: Fifa kekalkan hukuman

Nov 18, 2025 | 7:30 PM
fifa, malaysia, bola sepak, FAM, pemain, palsu dokumen, hukuman
Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengekalkan tindakan tatatertib dan arah siasatan mendalam selepas pendedahan skandal dokumen palsu pemain warisan Malaysia. - Foto THE STAR

PETALING JAYA: Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengekalkan semua hukuman yang dikenakan ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain yang terlibat dalam penggunaan dokumen palsu bagi melayakkan diri ke skuad kebangsaan, sambil menyifatkan kesalahan itu sebagai ancaman asas terhadap kewibawaan bola sepak antarabangsa.

Dalam keputusan yang dikeluarkan pada pagi 18 November, jawatankuasa itu berkata percubaan memalsukan dokumen untuk memperdaya badan pengelola “menggugat asas integriti sukan bola sepak” dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dalam apa jua keadaan.

Mereka menegaskan peraturan kelayakan adalah penting bagi mengekalkan keadilan, kewibawaan dan kepercayaan sedunia terhadap sukan tersebut.

Jawatankuasa itu mengesahkan tiada asas untuk membatalkan keputusan terdahulu oleh jawatankuasa tatatertib Fifa yang dikeluarkan pada 25 September.

Semua rayuan yang dikemukakan oleh para pemain dan FAM ditolak sepenuhnya, dan setiap perayu mesti menanggung bahagian mereka daripada kos prosiding sebanyak 8,000 franc Swiss atau RM41,693 ($13,073).

Selain mengekalkan hukuman termasuk denda 350,000 franc Swiss atau RM1.8 juta terhadap FAM, jawatankuasa itu berkata bukti yang dikemukakan memberikan ‘sebab kukuh’ untuk membuka siasatan lanjut di bawah Kod Tatatertib Fifa.

Mereka mengarahkan sekretariat Fifa memulakan siasatan rasmi terhadap operasi dalaman FAM untuk mengenal pasti pihak yang memalsukan dokumen dan menilai tadbir urus persatuan itu.

Siasatan itu akan meneliti secara khusus peranan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, dan dua ejen berlesen Fifa yang dinamakan dalam prosiding, Nicolás Puppo dan Frederico Moraes.

Satu siasatan berasingan juga akan dilancarkan berkaitan penggunaan pemain tidak layak dalam tiga perlawanan persahabatan yang disebut dalam kes tersebut.

Memandangkan pemalsuan dokumen merupakan kesalahan jenayah, jawatankuasa itu turut mengarahkan sekretariat memaklumkan pihak berkuasa berkaitan di Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol dan Malaysia supaya prosiding jenayah yang berpotensi dapat dijalankan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg