RUSSIA 2018 merupakan kali pertama sejak 1950 - ketika mereka tidak menyertai kejohanan - Jerman gagal melepasi pusingan pertama.
Itu adalah kekecewaan besar pada rekod luar biasa mereka dalam sejarah kejohanan bola sepak terbesar ini, setelah berjaya mara ke sekurang-kurangnya separuh akhir dalam setiap edisi Piala Dunia yang lain.
Pasukan bergelar Die Mannschaft bangkit bertindak balas dalam kelayakan menjadi pasukan pertama untuk menempah tempat dalam kejohanan utama di Qatar selepas mereka menang sembilan daripada 10 perlawanan.
Bagaimanapun, Sepanyol dijangka menjadi pesaing utama Jerman untuk menjuarai kumpulan. Kempen 2018 pasukan La Roja juga senasib Jerman, dengan jurulatih Julen Lopetegui dipecat sehari sebelum kejohanan bermula.
Namun dengan pelantikan bos baru, Luis Enrique, mereka memiliki seorang jurulatih yang berjaya mewujudkan semula jenama bola sepak yang ramai harapkan daripada skuad berbakat yang dimilikinya.
Mereka mempunyai purata 76 peratus penguasaan bola di samping memiliki antara benteng pertahanan paling mantap sepanjang kelayakan Eropah.
Wakil Asia, Jepun, perlu mencatatkan 'keajaiban' jika tidak mahu pulang awal dan jika Samurai Blue berjaya ke pusingan kalah mati untuk dua Piala Dunia berturut-turut, ia tentu sekali satu kejutan besar.
Begitu juga Costa Rica, yang akan merasakan sedikit tekanan. Mereka membuat kejutan pada Piala Dunia 2014 tetapi mereka melayakkan diri ke edisi kali ini tanpa kemenangan dalam enam perlawanan Piala Dunia.
Pasukan Los Ticos hanya layak melalui play-off antara konfederasi selepas mengatasi New Zealand.
SEKILAS KUMPULAN E
SEPANYOL Persembahan lalu: Pasukan 16 terbaik Persembahan terbaik: Juara (2010) Ranking dunia: 6 Jurulatih: Luis Enrique Pemain bintang: Gavi
COSTA RICA Persembahan lalu: Pusingan kumpulan Persembahan terbaik: Suku akhir (2014) Ranking dunia: 34 Jurulatih: Luis Fernando Suarez Pemain bintang: Joel Campbell
JERMAN Persembahan lalu: Pusingan kumpulan Persembahan terbaik: Juara (1954, 1974, 1990, 2014) Ranking dunia: 11 Jurulatih: Hansi Flick Pemain bintang: Thomas Muller
JEPUN Persembahan lalu: Pusingan 16 pasukan terbaik Persembahan terbaik: Pusingan 16 pasukan terbaik (2002, 2010, 2018) Ranking dunia: 24 Jurulatih: Hajime Moriyasu Pemain bintang: Takehiro Tomiyasu
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg