DOHA: Dua bekas juara dunia, Sepanyol dan Jerman, bertembung awal dalam aksi Kumpulan E yang dijangka sengit awal pagi ini.
Kedua-dua pasukan akan mendambakan kemenangan dalam perlawanan kedua pusingan kumpulan mereka namun untuk sebab yang tersendiri.
Juara dunia empat kali Jerman perlu menang untuk menghidupkan semula peluang mereka dalam Piala Dunia.
Setelah mengalami kekalahan mengejutkan 1-2 kepada Jepun dalam perlawanan pembukaan mereka Rabu lalu, pasukan kendalian Hansi Flick kini di ambang tersingkir awal - di edisi Piala Dunia kedua berturut-turut sejak muncul juara pada 2014.
Jerman mengecewakan di Russia empat tahun lalu dan gagal melepasi pusingan kumpulan.
"Sudah tentu, kami sedar dengan kekalahan ini... tiada mata... kami merasakan tekanannya. Ini sesuatu yang tidak dapat dielak," kata Flick selepas kekecewaan pertarungan pembukaan mereka di Qatar ini.
Ia merupakan kali pertama sejak Jun 1978 Jerman tewas dalam perlawanan selepas mendahului kedudukan pada waktu rehat di Piala Dunia.
"Kami hanya boleh menyalahkan diri sendiri. Kami perlu memastikan kami dapat bangkit dari kekalahan ini dan bersikap berani dan beraksi dengan penuh semangat."
Bekas pengurus dan penyerang Jerman, Juergen Klinsmann, pula memberitahu BBC Sport:
"Untuk Jerman, ini sangat, sangat menjengkelkan. Dan jelas sekali, anda berada dalam kumpulan bersama Sepanyol, yang menjadikannya lebih rumit. Jadi ada risiko untuk (Sepanyol) tidak melepasi pusingan kumpulan. Dan saya hanya fikir ia tidak perlu sampai ke tahap itu.
"Mereka selesa mendahului kedudukan tetapi Jerman tidak mampu mencapai gear yang lebih tinggi, dari sudut tempo (permainan)... dari segi hantaran, ia terlalu perlahan... terlalu lembap dan ia membawa padah dalam separuh masa kedua apabila Jepun meningkatkan tahap agresif, dan ancaman dan semangat mereka, mereka berjaya menemui semula rentak dalam permainan dan wajar menang."
Sejarah mereka menentang juara dunia 2010, Sepanyol, dalam lima pertembungan lalu juga tidak memihak Jerman - mereka hanya menang sekali, seri dua perlawanan dan tumpas dua kali termasuk kekalahan besar 0-6 di tangan Sepanyol dalam Liga Negara-Negara pada November 2020.
Dengan semangat dalam kem Jerman kini suram, Sepanyol pastinya tiada rasa belas kasihan dan akan sasar untuk "mengoyakkan" lagi rakan Eropah mereka.
Anak didik Luis Enrique pastinya mahu meneruskan rentak positif dan rekod baik mereka di Qatar selepas membelasah Costa Rica 7-0 Khamis lalu.
Kemenangan ke atas Jerman pagi ini akan menjamin tempat pasukan La Roja dalam pusingan 16 pasukan terakhir, sekali gus menandingi persembahan lalu pada 2018.
Enrique, dalam sidang media menyusuli persembahan mantap pasukannya Khamis lalu, berkata Sepanyol akan berdepan perlawanan menentang Jerman dengan matlamat yang sama sambil turut menekankan pentingnya kekuatan mental para pemainnya.
"Sudah tentu, tahap mental para pemain perlu mantap. Adalah penting bagi saya untuk bekerjasama dengan pemain supaya mereka tidak ke padang dengan perasaan terlalu teruja," kata beliau.
"Sekarang kami perlu berusaha pada sesuatu yang lain, tetapi saya boleh memberitahu anda bahawa pasukan ini tidak akan berehat. Jerman mampu menewaskan kami kerana mereka adalah pasukan hebat, tetapi kami akan masuk ke padang dan bermain dengan cara yang sama."
JADUAL
HARI INI
Kumpulan E
Jepun lwn Costa Rica (6 ptg)
Kumpulan F
Belgium lwn Maghribi (9 mlm)
ESOK PAGI
Kumpulan F
Croatia lwn Canada (12 mlm)
Kumpulan E
Sepanyol lwn Jerman (3 pagi)
Semua perlawanan disiarkan di Singtel TV Ch141 & StarHub Ch251