MANCHESTER: Jersi nombor tujuh Cristiano Ronaldo menjadi rebutan peminat Manchester United sejak beliau diumumkan akan kembali menyarungnya.
Ronaldo, 36 tahun, dijangka membuat penampilan sulungnya bersama Manchester United musim ini menentang Newcastle pada Sabtu ini.
Old Trafford semalam diserbu peminat yang mahu mendapatkan jersi legenda United itu selepas beliau kembali ke kelab berkenaan dari Juventus.
Dalam masa hanya empat jam selepas Ronaldo diumumkan akan memakai nombor keramat itu, jualan dalam talian mencatat jumlah tertinggi dalam sehari bagi mana-mana barangan sukan di luar Amerika Utara.
Menurut laman LovetheSales.com, dalam jangka masa 12 jam selepas jersi Ronaldo dikeluarkan, peminat telah membelanja hampir £32.5 juta ($60 juta) bagi mendapatkan jersi tersebut sekali gus menjadikannya satu rekod Liga Perdana England (EPL).
Jualan dalam talian kelab itu dikendali oleh Fanatics, yang turut bekerjasama dengan lebih 300 kelab sukan di seluruh dunia.
Dalam rangkaian Fanatics, Ronaldo kini menjadi pemain paling laris dalam tempoh 24 jam sejak kepulangannya ke kelab England itu.
Beliau juga mengatasi pemindahan Lionel Messi dari Barcelona ke Paris Saint-Germain, Bryce Harper ke Philadelphia Phillies, Tom Brady menyertai Tampa Bay Buccaneers dan LeBron James ke LA Lakers. - Agensi berita.