Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Juara Djokovic kini kejar Grand Slam 'emas'

Jun 15, 2021 | 5:30 AM
UNGGUL: Djokovic bangkit selepas ketinggalan dua set untuk menewaskan Stefanos Tsitsipas pada final Terbuka Perancis. - Foto REUTERS
UNGGUL: Djokovic bangkit selepas ketinggalan dua set untuk menewaskan Stefanos Tsitsipas pada final Terbuka Perancis. - Foto REUTERS -

PARIS: Novak Djokovic berkata beliau tidak pernah meragui kebolehan bangkit selepas ketinggalan dua set bagi menewaskan Stefanos Tsitsipas pada final Terbuka Perancis, awal pagi semalam.

Kejayaan itu menyaksikan beliau mencapai gelaran Grand Slam ke-19 dan menjadi pemain pertama dalam 52 tahun memenangi semua gelaran utama itu sebanyak dua kali.

Pemain nombor satu dunia itu bangkit daripada ketinggalan dua set untuk mencatat kemenangan 6-7 (6/8), 2-6, 6-3, 6-2, 6-4, mengatasi pemain Greece berusia 22 tahun itu, yang bermain dalam final Grand Slam sulungnya.

Ini kali kedua Djokovic dipaksa beraksi lebih empat jam, selepas mengambil masa serupa untuk menumbangkan juara 13 kali, Rafael Nadal, pada separuh akhir Sabtu lalu.

"Saya sudah bermain hampir sembilan jam dalam 48 jam menentang dua juara hebat. Ia sangat sukar secara fizikal sejak tiga hari lalu, tetapi saya fokus, percaya akan kemampuan saya dan tahu saya boleh melakukannya.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong saya sepanjang perjalanan ini," katanya, 34 tahun.

Djokovic kini hanya kurang satu kejuaraan major untuk menyamai rekod sepanjang zaman 20 gelaran dipegang bersama Roger Federer dan Nadal.

Ia gelaran Terbuka Perancis kedua buat Djokovic selepas kejayaan pada 2016, sekali gus menambah koleksi kejuaraannya - sembilan juara Terbuka Australia, lima gelaran Wimbledon dan tiga Terbuka Amerika Syarikat.

Beliau pemain lelaki pertama sejak Rod Laver pada 1969 yang memenangi semua gelaran Grand Slam lebih sekali dan yang ketiga dalam sejarah.

Kini Djokovic menetapkan matlamat melengkapkan Grand Slam 'emas' tahun ini, sambil berkata ia bukan perkara mustahil selepas merangkul dua kejohanan major utama - Terbuka Australia dan Perancis.

Beliau akan mempertahankan kejuaraan Wimbledon bulan ini sebelum kejohanan Olimpik dan Terbuka Amerika.

"Saya telah meletak diri saya dalam kedudukan baik bagi mengejar Golden Slam," kata Djokovic.

"Semuanya boleh tercapai." - AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg