Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Juara negara kerja sambilan biaya kos bertanding luar negara

Sanggup cuci pinggan mangkuk atau jadi pelayan di restoran demi kumpul wang
May 15, 2024 | 2:52 PM
lawan pedang
Juara lawan pedang Singapura, Puah Zee Cher, yang terbang ke Perancis pada 14 Mei untuk menyertai pertandingan antarabangsa seterusnya, menyasarkan untuk meraih pingat emas Sukan SEA. - Foto ST

Juara lawan pedang Singapura, Puah Zee Cher, bukanlah seorang yang membiarkan dugaan dan rintangan menghalang cita-citanya.

Berbekalkan semangat gigih, atlet lawan pedang epee berusia 23 tahun itu berjaya mengalahkan pesaingnya untuk mencapai kedudukan terkini.

Ini walaupun beliau tidak layak menerima pembiayaan pertandingan daripada pihak berkuasa kerana rankingnya yang rendah sebelum ini.

Namun, Puah mampu mengharungi pelbagai kesukaran.

Mahasiswa sains komputer di Institut Pengurusan Singapura (SIM) itu tidak keberatan membahagikan masa untuk belajar, berlatih dan melakukan pelbagai kerja, seperti mencuci pinggan mangkuk atau menjadi pelayan di restoran untuk mengumpul wang demi membiayai perbelanjaannya bagi pertandingan di luar negara.

Puah ingin bertanding di litar Piala Dunia 2023, dan berharap dapat menaikkan kedudukannya dengan berdepan saingan lawan pedang terbaik dunia.

Namun, disebabkan beliau berada di kedudukan nombor 28 di Singapura ketika itu, beliau tidak memenuhi syarat yang diperlukan.

Hanya 12 atlet terbaik berpeluang menyertai pertandingan antarabangsa, lapor The Straits Times (ST).

Namun, beliau telah memaklumkan badan pentadbir nasional bagi sukan tersebut, Lawan Pedang Singapura (FS), mengenai minatnya mengisi slot kosong, seandainya ada atlet terpaksa menarik diri daripada pertandingan tersebut.

Walaupun begitu, Puah masih menghadapi satu lagi cabaran, iaitu kekurangan wang.

Selepas ibu bapanya menanggung separuh daripada perbelanjaan bagi pertandingan Piala Dunia pertamanya di Bern, Switzerland pada November 2023, Puah turut membiayai perbelanjaan pertandingannya dengan wang sendiri, yang berjumlah antara $2,000 dengan $4,000 setiap perjalanan.

Beliau pernah bekerja sebagai jurulatih sukan itu secara sambilan, tetapi wang yang terkumpul tidak mencukupi.

Oleh itu, beliau melakukan kerja rencam di restoran makanan segera melalui aplikasi telefon bimbit, dengan gaji $12 hingga $18 sejam, atau sekitar $40 hingga $150 setiap syif.

“Saya banyak membasuh pinggan mangkuk dan bekerja sebagai pelayan (di restoran),” kata Puah, yang juga pernah bekerja sebagai pembantu klinik.

Puah memilih melakukan kerja rencam kerana ia lebih fleksibel berbanding memberi tuisyen yang memerlukan lebih komitmen.

Dengan pendapatan tambahan itu, beliau dapat melakukan dua lagi perjalanan bagi menyertai Grand Prix di Doha pada Januari, dan Piala Dunia Heidenheim di Jerman pada Februari.

Semasa bersaing dalam acara berpasukan bersama atlet sukan itu, Si To Jian Tong dan Simon Lee di Jerman, beliau tewas dalam dua perlawanan tetapi berjaya mengalahkan juara Olimpik Perancis, Romain Cannone.

Didorong pencapaian itu, beliau kemudian menjuarai kejohanan nasional di Singapura pada Mac, meningkatkan kedudukannya sebagai naib juara pada 2023.

“Saya meraih sedikit pengalaman bertemu dengan pemain lawan pedang terhebat dunia,” katanya.

Sejak itu, kedudukan beliau di Singapura telah naik kepada nombor tiga, di belakang Si To dan Lee.

Beliau berharap dapat mengekalkan prestasi yang baik agar dapat dinobatkan sebagai atlet negara semasa tempoh pemilihan Sukan SEA dari September 2024 hingga Mei 2025.

Puah, yang terbang ke Perancis pada 14 Mei untuk pertandingan antarabangsa seterusnya, menyasar meraih pingat emas Sukan SEA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg