JUARA Tour de France (TDF) empat kali Chris Froome adalah nama terbaru yang menyertai kumpulan pelumba basikal penuh bintang di Kriterium TDF Prudential Singapura pada 29 hingga 30 Oktober, kata penganjur kelmarin.

Turut menyertai pelumba basikal dari pasukan Israel-Premier Tech itu di Singapura ialah Vincenzo Nibali dari Italy dan Alejandro Valverde dari Sepanyol, yang masing-masing memenangi Tour de France 2014 dan Kejohanan Dunia Jalan Raya Union Cycliste Internationale (UCI) 2018.

Froome dan Nibali hanyalah dua daripada tujuh pelumba basikal yang telah memenangi tiga Grand Tour berbasikal (Tour de France, Giro d'Italia, dan Vuelta a Espana).

Kumpulan 32 yang menyertai itu juga termasuk pelumba basikal Denmark, Jonas Vingegaard, juara Tour de France 2022, dan pemenang pingat perak Olimpik Mark Cavendish, yang sebelum ini mengesahkan penyertaan mereka dalam acara itu.

Froome, 37, berkata: "Ia adalah musim yang sibuk bagi saya, setelah melakukan kedua-dua Tour de France dan Vuelta a Espana tahun ini tetapi selepas tempoh pemulihan yang baik, saya tidak sabar untuk pergi ke Singapura bagi Kriterium Tour de France Prudential Singapura yang sulung.

"Selain unsur-unsur kompetitif, sebahagian daripada keseronokan perlumbaan juga ialah kami dapat mengembara ke tempat baru, menikmati pengalaman baru dan memperkenalkan sukan kami kepada lebih ramai peminat dari seluruh dunia. Saya telah mendengar perkara hebat tentang Singapura dan melihat gambar-gambar sungguh indah bandar itu, jadi saya tidak sabar untuk berlumba di litar ini".

Pelumba Britain itu tidak kembali menunjukkan prestasinya sejak kemalangan latihan serius pada 2019 menyebabkan beliau mengalami beberapa patah tulang, termasuk pelvis, femur dan empat rusuknya.

Pencapaian Grand Tournya yang paling ketara selepas kemalangan itu ialah tempat ketiga di pentas Alpe d'Huez Tour de France 2022.

Perlumbaan kriterium profesional pada 30 Oktober juga akan menampilkan tiga pasukan benua UCI iaitu Terengganu Polygon Cycling Team dari Malaysia, Thailand Continental Cycling Team dan LX Cycling Team dari Korea, serta satu pasukan dari Singapura.

Penganjur juga mengumumkan bahawa akan ada Terbuka Wanita ditambah kepada Kriterium Amatur TDF Singapura, acara Kelas 2 yang diluluskan Persekutuan Berbasikal Singapura (SCF).

Ahli Akademi Wanita SCF, Angeline Huang, 33 tahun berkata ini adalah langkah penting ke hadapan dalam menggalakkan lebih ramai wanita berbasikal.

"Masyarakat berbasikal wanita di Singapura adalah sebuah masyarakat yang pesat membangun, dan kami telah memerhatikan bagaimana sukan ini secara beransur-ansur menjadi lebih popular di kalangan wanita di sini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Mengadakan perlumbaan wanita di Kriterium Tour de France Prudential Singapura sangat menggembirakan, kerana ia memberi isyarat bahawa terdapat platform untuk penunggang basikal wanita menyertai dan bersaing.

"Menjadi sebahagian daripada acara bersejarah seperti ini meningkatkan keterlihatan berbasikal wanita, dan kami berharap ini menjana lebih minat berbasikal dalam kalangan gadis dan wanita tidak kira umur dan latar belakang mereka," ujar pengurus kanan perkhidmatan kewangan di Prudential Singapura itu.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti