Topik diikuti
Pergi ke BHkuJurulatih bawa pengalaman Austria demi bola sepak wanita S’pura
Jurulatih bawa pengalaman Austria demi bola sepak wanita S’pura
Mengutamakan komunikasi dua hala dan pembangunan pemain, salah satu jurulatih terpilih untuk program Penempatan Jurulatih di Luar Negara(COA) di bawah inisiatif Unleash The Roar! (UTR!), Ernie Sulastri Sontaril tekad terus tingkatkan standard bola sepak wanita.
Jurulatih bawa pengalaman Austria demi bola sepak wanita S’pura
Setiap bulan, Ernie Sulastri Sontaril akan menghimpunkan para pemainnya dalam satu bulatan dan menggalakkan mereka berkongsi pandangan secara terbuka tentang sesi latihan serta aspek yang boleh diperbaiki.
Perbincangan itu bukan sekadar tentang keputusan perlawanan atau prestasi pasukan.
Sebaliknya, bekas kapten skuad bola sepak wanita kebangsaan Singapura itu mahu memahami para pemainnya dengan lebih mendalam.
Beliau percaya bahawa dengan mendengar sendiri pandangan dan pengalaman mereka, beliau mampu menjadi seorang jurulatih yang lebih baik.
Bagi jurulatih berusia 37 tahun itu, memahami keperluan setiap pemain bukan sahaja membantu mereka berkembang sebagai individu, malah turut menyumbang kepada peningkatan standard bola sepak wanita di Singapura.
Pegangan itu telah menjadi tunjang kepada perjalanan beliau sepanjang lebih dua dekad sebagai pemain dan jurulatih.
Selain menjadi ketua jurulatih untuk Pasukan Wanita Sekolah Menengah Woodlands dan Akademi Bola Sepak Sekolah (SFA) bagi Pasukan Gabungan Perempuan Bawah 14 Tahun beliau juga masih beraksi sebagai pemain untuk Selangor FC di Malaysia.
Malah, ia turut mencipta sejarah apabila Ernie menjadi jurulatih wanita pertama yang dipilih menyertai program Penempatan Jurulatih di Luar Negara (COA) di bawah inisiatif Unleash The Roar! (UTR!).
Ernie merupakan antara lapan jurulatih yang menerima pengiktirafan pada Majlis Penghargaan dan Laluan Pembangunan UTR!, yang berlangsung di Muzium Tamadun Asia (ACM) pada 26 Julai.
Beliau menjalani program penempatan selama enam bulan bersama kelab Austria, SKN St. Pölten, bagi mempelajari metodologi latihan, pembangunan pemain dan struktur kejurulatihan dalam persekitaran bola sepak profesional Eropah.
Walaupun pengalaman di Austria membuka matanya kepada pelbagai pendekatan baharu, Ernie berkata perkara paling besar yang dipelajarinya bukanlah mengenai elemen taktikal atau latihan yang lebih kompleks.
Sebaliknya, ia mengukuhkan lagi kepercayaannya bahawa hubungan antara jurulatih dengan pemain perlu dibina melalui komunikasi dua hala.
“Bagi saya, komunikasi perlu berlaku dua hala. Saya juga mahu mendengar mereka,” katanya.
“Daripada situ, saya lebih memahami pemain-pemain saya dan pada masa yang sama saya juga boleh memperbaiki diri sebagai jurulatih.”
Pengalaman di Austria turut mengajarnya kepentingan mewujudkan latihan yang benar-benar menyerupai situasi perlawanan, sekali gus menggalakkan pemain berfikir, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah sendiri di atas padang.
“Pengalaman itu mengukuhkan lagi kepentingan mewujudkan latihan yang realistik kepada situasi permainan, di mana pemain digalakkan untuk berfikir, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah sendiri.
“Banyak prinsip itu sebenarnya sudah diamalkan di UTR!, tetapi pengalaman ini membuatkan saya terus menilai dan memperbaiki pendekatan kejurulatihan saya.”
Ernie berkata beliau juga tertarik dengan penekanan yang diberikan terhadap pembangunan setiap pemain secara individu, tanpa mengabaikan matlamat pasukan.
“Mereka bukan sahaja mahu membentuk pasukan yang baik, tetapi memastikan setiap pemain berkembang mengikut keperluan masing-masing.
“Itu sesuatu yang saya mahu terus terapkan apabila kembali ke Singapura.”
Bagi Ernie, pengiktirafan sebagai jurulatih wanita pertama menyertai COA bukan sekadar pencapaian peribadi.
Sebaliknya, beliau berharap ia membuka lebih banyak ruang kepada wanita untuk menceburi bidang kejurulatihan bola sepak.
“Saya bersyukur diberi peluang ini, tetapi saya harap ia juga menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk percaya bahawa mereka juga mampu menjadi jurulatih di peringkat tertinggi.”
Selepas lebih 20 tahun berkecimpung dalam bola sepak wanita di Singapura, Jepun dan Malaysia sebagai pemain serta jurulatih, Ernie berkata proses pembelajaran tidak pernah berakhir.
“Setiap tahun bola sepak berubah.Kalau saya hanya berpegang kepada satu falsafah sahaja, pemain saya juga akan ketinggalan,” ujarnya.
“Sebab itu saya sentiasa mencari ilmu baharu supaya saya boleh terus membantu pemain-pemain saya berkembang.”