Topik diikuti
Pergi ke BHkuJurulatih puji skuad wanita SG walau tewas beberapa kali
Jurulatih puji skuad wanita SG walau tewas beberapa kali
Jurulatih puji skuad wanita SG walau tewas beberapa kali
WALAUPUN pasukannya mengalami beberapa kekalahan besar kepada pasukan yang berada di ranking lebih tinggi, ketua jurulatih bola sepak nasional Stephen Ng berkata beraksi dalam Kejohanan Wanita AFF tetap satu pengalaman yang baik bagi anak didiknya.
Ng berkata demikian selepas Singapura, yang menduduki ranking ke-132 di dunia, melabuh tirai kempen di kejohanan bola sepak serantau itu dengan kemenangan 2-0 ke atas Indonesia - kemenangan pertama dalam pertandingan itu sejak 2004.
Indonesia berada di tangga ke-95.
Sebelum perlawanan itu, Singapura telah tewas dua kali dan seri sekali.
Ia berjaya mengikat seri seteru tradisi, Malaysia, dalam perlawanan pembukaan sebelum tewas 0-7 kepada pasukan tuan rumah, Filipina; 0-3 kepada juara empat kali, Thailand; dan 1-4 kepada juara edisi 2008, Australia.
Ini bermakna Singapura menamatkan kempen dalam Kumpulan A di tangga keempat antara enam pasukan dan dengan empat mata.
Hanya dua pasukan terbaik kumpulan mara ke pusingan separuh akhir.
Namun, Ng berkata pengalaman yang diraih tetap positif.
Ng berkata:
"Kami meraih banyak manfaat bermain dalam Kejohanan Wanita AFF. Ia sangat baik untuk pembangunan bola sepak kami, terutamanya permainan wanita di Singapura.
"Malangnya, kami tidak berjaya mara ke pusingan seterusnya tapi ia adalah satu pengalaman yang sangat baik. Hari ini, kami ingin sekali menang untuk penutup kami ini dan kami berusaha gigih untuk mendapatkan kemenangan. Jadi, pujian harus diberikan kepada pemain atas usaha mereka."
Dalam perlawanan dengan Indonesia, Singapura membuka tirai jaringan menerusi Izzati Rosni pada minit ke-48, selepas penjaga gawangnya, Fani, kurang kemas mempertahankan sepakan sudut.
Pemain gantian, Syazwani Ruzi, pula melengkapkan jaringan dalam masa tambahan apabila menjaringkan gol hasil tendangan lambung cantik.
Ng mengatur formasi permainan yang berbeza, 4-4-2, berbanding 3-5-2, yang digunakan dalam empat perlawanan sebelumnya.
Noor Kusmawati diturunkan dalam gawang malam ini, manakala kapten Ernie Sulastri, Umairah Hamdan, Dhaniyah Qasimah dan Nurhidayu Naszri membentuk pertahanan Singapura.
Midfield tengah negara diisi Dorcas Chu dan Venetia Lim. Farhanah Ruhaizat dan Putri Nur Syaliza pula beraksi di bahagian sayap, dengan penyerang Danelle Tan dan Izzati Rosni memimpin serangan pasukan
Pemain terbaik Perlawanan Danelle Tan berkata:
"Setelah menyaksikan tahap permainan pasukan lain dari rantau ini, kami tahu apa yang perlu kami lakukan untuk mencapai tahap di mana kami juga boleh bersaing dengan mereka.
"Persembahan kami dalam pertandingan ini bukanlah yang terbaik boleh kami capai dan masih mampu mempertingkat permainan dan terus maju.
"Kami akan bersaing lagi dalam edisi AFF seterusnya sebagai pasukan yang lebih baik."
