MANCHESTER: Jutawan Britain, Jim Ratcliffe, yang juga pemilik syarikat Ineos, dikatakan berminat untuk membeli Manchester United.
Ini menyusuli kenyataan keluarga Glazer, yang merupakan pemilik United kini, yang sedia mendengar tawaran bagi kelab glamor Liga Perdana England (EPL) itu dan Ratcliffe sendiri berminat membuat tawaran.
Ratcliffe, yang merupakan peminat United sejak kecil dan gagal dalam bidaannya sebanyak £4.25 bilion ($6.8 bilion) untuk membeli Chelsea tahun lalu, sudah lama dikaitkan dengan United.
"Kami secara rasmi telah meletakkan diri kami dalam proses itu," kata seorang jurucakap Ineos baru-baru ini.
Ratcliffe gagal mengambil alih Chelsea daripada Roman Abramovich - yang dimenangi oleh Todd Boehly dan konsortiumnya.
Sementara itu, United masih belum memberikan komen terhadap hasrat usahawan berusia 70 tahun itu untuk mengambil alih kelab tersebut.
Dilahirkan di Failsworth, Greater Manchester, Ratcliffe adalah salah seorang jutawan terkaya di Britain dan mungkin dapat diterima dengan lebih baik oleh para peminat berbanding keluarga Glazers dari Amerika Syarikat yang berhadapan dengan banyak bantahan daripada peminat.
Keluarga Glazers, yang menamatkan proses mengambil alih United pada 2005, ternyata tidak popular dalam kalangan peminat akibat persembahan malap pasukan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - Agensi berita.