Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kane perlu buat keputusan

Harus timbangkan untuk tinggalkan Spurs sekiranya mahu penuhi cita-cita julang piala, kata pengamat
Apr 5, 2021 | 5:30 AM
PENJARING UTAMA: Harry Kane (tengah) bersama Phil Foden (kanan) dan Raheem Sterling (kiri) selepas menjaringkan gol sewaktu kelayakan Piala Dunia 2022 antara England dan Poland pada 31 Mac lalu. - Foto AFP
PENJARING UTAMA: Harry Kane (tengah) bersama Phil Foden (kanan) dan Raheem Sterling (kiri) selepas menjaringkan gol sewaktu kelayakan Piala Dunia 2022 antara England dan Poland pada 31 Mac lalu. - Foto AFP -

260 GOL.

Itulah rekod jaringan yang dipegang bekas kapten Newcastle United dan England, Alan Shearer, dalam Liga Perdana England.

Pada satu ketika dahulu, ramai yang menganggap rekod tersebut sukar diatasi.

Namun, itu sebelum kebangkitan penyerang Tottenham Hotspurs - Harry Kane.

Sebelum liga berehat untuk perlawanan antarabangsa, Kane, menjaringkan golnya yang ke 160 dalam 237 penampilan EPL.

Kane diketahui sebagai antara penyerang terbaik dunia namun pada usia 27 tahun, pemain itu, yang hanya pernah mewakili Spurs dalam kerjayanya setelah 'lulus' dari akademi bola sepak kelab London itu, belum pernah memenangi sebarang piala utama.

"Ini satu hakikat yang menyedihkan. Adalah satu tragedi jika Kane mengakhiri kerjayanya tanpa piala," ujar bekas penyerang Spurs dan England, Peter Crouch.

"Kane memiliki segalanya sebagai seorang penyerang, antara yang terbaik di dunia. Beliau juga merupakan kapten Spurs dan pernah menjadi kapten England. Beliau kini perlu memperkukuh legasinya dengan memenangi piala pula," tambah Crouch, yang menyarung jersi Spurs dari 2009 hingga 2011.

Crouch berkata, beliau menghormati pemain seperti Kane yang 'setia' kepada kelab yang telah mengasah bakatnya dan memberinya peluang menyerlah di peringkat tertinggi bola sepak.

"Spurs justeru perlu menyamai cita-cita pemain utama mereka seperti Kane. Mereka hampir kini, menjadi antara kelab yang dapat menyaingi kelab-kelab utama England dan Eropah...dan mereka perlu berani mengambil satu langkah lagi untuk mencapai kedudukan tersebut," kata Crouch lagi.

Bagaimanapun, bekas kapten Manchester United yang kini bertugas sebagai pengamat bola sepak bersama saluran Sky Sports, berkata satu-satunya cara untuk Kane memenuhi impiannya itu ialah dengan meninggalkan Spurs.

"Spurs mungkin berupaya memenangi piala - Piala FA, Piala Liga, mungkin Piala Europa. Itu masalahnya, piala-piala, walaupun berprestij, tidak sama seperti kejuaraan Liga atau Liga Juara-Juara dan memburukkan keadaan ialah keupayaan Spurs memenangi piala tersebut adalah hanya satu 'kemungkinan'," tegas Roy Keane.

Menurut Keane, meskipun beliau akur Spurs berpotensi menjadi kelab yang lebih baik, namun ia akan mengambil masa untuk kelab itu membangunkan satu mentaliti pemenang.

Mentaliti ini menurut Keane harus menyelinap di seluruh kelab tersebut, dari prasarananya, kepada kakitangan yang mengendalikan kelab, pihak pengurusan, pasukan jurulatih dan pemain.

"Spurs malangnya belum ada mentaliti ini," ujar beliau.

Keane, yang memenangi 19 piala utama sepanjang kerjaya dua dekadnya, termasuk 17 piala sepanjang 12 tahun bersama Manchester United, berkata musim panas ini adalah jendela yang sesuai untuk Kane 'memasarkan' dirinya kepada kelab-kelab utama dunia.

"Kita lihat Real Madrid, Karim Benzema sudah berada di situ agak lama, adakah mereka sedang melihat untuk memberi suntikan kesegaran? Keadaan Messi di Barcelona juga masih belum pasti, adakah mereka juga sedang memantau pemain sesuai untuk menjadi tunggak pembangunan semula pasukan itu?

"Kemudian kita ada pasukan di England. Kontrak (Sergio) Aguero di Manchester City tidak akan disambung, Manchester United juga memerlukan penyerang. Liverpool setelah musim yang sungguh memalukan, adakah mereka juga mahu memberi kesegaran kepada skuad?

"Pokoknya, banyak kelab-kelab yang mempunyai mentaliti pemenang atau sekurang-kurangnya mempunyai kesungguhan yang lebih dari Spurs untuk memenangi piala dan ke mana sahaja Kane pergi, kelab tersebut akan serta merta menjadi 50 peratus lebih baik," tambah Keane.

Kane sendiri enggan mengulas spekulasi bahawa beliau sedang memikirkan untuk meninggalkan Spurs.

Penyerang itu berkata - semasa menjawab pertanyaan media dalam sidang media bersama pasukan negara, England, - menekankan masih banyak lagi permainan dan matlamat untuk dicapai di Spurs untuk musim ini.

"Dan bermain dengan baik untuk Spurs, membantu pasukan mencapai matlamat mereka musim ini, itu menjadi tumpuan saya. Selain menunjukkan persembahan baik untuk England," tegas beliau.

Dalam pada itu, legenda England, David Platt, berkata masa mungkin tidak menyebelahi Kane.

Pemain itu, menurut beliau, telah sampai ke persimpangan yang penting dalam kerjayanya.

"Selepas musim ini, beliau akan berusia 28 tahun, hampir 29 tahun.

"Realitinya ialah, nilai beliau kepada kelab-kelab utama dunia akan merosot. Justeru, Kane perlu membuat pertimbangan serius dan membuat keputusan wajar," kata Platt, yang pernah menyarung jersi Arsenal dan kelab Italy, Sampdoria.

Platt menambah meskipun Kane telah membuktikan keupayaannya di Spurs, namun ia tidak semestinya dapat diteruskan di kelab lain.

"Bola sepak adalah sukan yang menarik. Anda boleh menjaringkan gol yang banyak di satu kelab, tapi di satu kelab yang lagi pula anda tidak boleh menghidu gawang gol pun. Kita telah melihat ini berlaku banyak kali kepada penyerang-penyerang utama dunia.

"Justeru, ini satu lagi pertimbangan bagi Kane. Beliau boleh kekal di Spurs dan menjadi pemain utama kelab itu, kapten dan disanjungi penyokong atau beliau boleh mengambil risiko dan membuktikan keupayaannya di kelab lain, dan pada masa yang sama memenangi piala.

"Ini persoalan yang hanya boleh dijawab oleh Harry Kane," ujarnya. - Agensi berita.

"Ini satu hakikat yang menyedihkan. Adalah satu tragedi jika Kane mengakhiri kerjayanya tanpa piala. Kane memiliki segalanya sebagai seorang penyerang, antara yang terbaik di dunia. Beliau juga merupakan kapten Spurs dan pernah menjadi kapten England. Beliau kini perlu memperkukuh legasinya dengan memenangi piala pula." - bekas penyerang Spurs dan England, Peter Crouch.

"Spurs mungkin berupaya memenangi piala - Piala FA, Piala Liga, mungkin Piala Europa. Itu masalahnya, piala-piala, walaupun berprestij, tidak sama seperti kejuaraan Liga atau Liga Juara-Juara dan memburukkan keadaan ialah keupayaan Spurs memenangi piala tersebut adalah hanya satu 'kemungkinan." - bekas kapten Manchester United, Roy Keane.

"Pemain itu, menurut beliau, telah sampai ke persimpangan yang penting dalam kerjayanya. "Selepas musim ini, beliau akan berusia 28 tahun, hampir 29 tahun. Realitinya ialah, nilai beliau kepada kelab-kelab utama dunia akan merosot. Justeru, Kane perlu membuat pertimbangan serius dan membuat keputusan wajar." - legenda England, David Platt.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg