Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kate Douglass pecah rekod 200m kuak dada wanita

Nov 1, 2024 | 4:35 PM
Perenang Amerika, Kate Douglass, meraikan kejayaannya memecah rekod dunia renang 200 meter kuak dada wanita di Pusat Akuatik OCBC pada 31 Oktober.
Perenang Amerika, Kate Douglass, meraikan kejayaannya memecah rekod dunia renang 200 meter kuak dada wanita di Pusat Akuatik OCBC pada 31 Oktober. - Foto ST

Perenang Amerika Syarikat Kate Douglass mempamerkan aksi hebat pada malam pertama daripada tiga malam persaingan renang bertatah bintang di Pusat Akuatik OCBC.

Perenang berusia 22 tahun itu memecahkan rekod dunia 200 meter kuak dada wanita dan mencatat rekod peribadi dalam acara 100 meter rampaian perseorangan wanita di kejuaraan jarak pendek Piala Dunia Renang Akuatik Dunia, lapor The Straits Times.

Douglass juga dianugerahkan dua tiara bagi pencapaian tiga mahkota, atau triple crown, beliau, iaitu memenangi tiga acara yang sama di kesemua tiga tempat Piala Dunia Renang Akuatik Dunia – Shanghai, Incheon dan Singapura – dalam satu musim.

Perenang yang memenangi tiga mahkota boleh mendapat bonus sebanyak AS$10,000 ($13,200). Sebanyak AS$10,000 pula diberi bagi setiap rekod dunia yang dicipta. Ini bermakna Douglass memperoleh AS$30,000 dalam masa 30 minit sahaja pada 31 Oktober.

Douglass tidak dapat ditandingi dalam perlumbaan akhir kuak dada apabila beliau memenanginya dalam masa menakjubkan 2 minit 12.72 saat.

Ia hampir 1.5 saat lebih cepat daripada masa terakhirnya – 2 minit 14.16 saat – yang diciptanya di Korea Selatan pada 24 Oktober.

Sebagai perbandingan, perenang Belarus di tempat kedua, Alina Zmushka, ketinggalan lebih enam saat dengan masa 2:18.79, manakala Tara Kinder dari Australia di tempat ketiga dengan masa 2:19.08.

Douglass memecahkan rekod Rebecca Soni – 2 minit 14.57 saat – yang kekal sebagai masa terpantas dunia sejak 2009.

Setengah jam kemudian, Douglass kembali menghantui lawannya dalam acara 100m rampaian.

Beliau bangkit daripada tempat keenam selepas pusingan kuak kupu-kupu dan kuak lentang untuk mengejar dan meninggalkan mereka dalam pusingan kuak dada dan kekal di depan dalam pusingan gaya bebas untuk menang dengan masa 56.57 saat.

Perenang China Yu Yiting di tempat kedua dengan masa 57.44 saat, sementara seorang lagi perenang Amerika, Beata Nelson, di tempat ketiga dengan masa 57.53 saat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg