PARIS: Ia merupakan satu transformasi yang luar biasa.
Hanya tiga tahun lalu, Lille diambang penyingkiran dari Ligue 1 Perancis dan hanya mampu bertahan setelah memenangi tiga daripada empat perlawanan terakhir.
Musim ini, kelab itu berjaya mengatasi pasukan gergasi Perancis, Paris Saint Germain (PSG), untuk dinobat juara liga.
Berbanding PSG, Lille, yang berada di tengah-tengah ketidaktentuan pengambilalihan pada pertengahan musim, tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk pasukan mereka.
Ini semua tidak mungkin dapat dilakukan tanpa pengurus mereka yang pintar dan kurang diberi tumpuan sebelum ini, Christophe Galtier.
Beliaulah yang membawa masuk beberapa pemain penting - termasuk beberapa pemain muda PSG yang dipinggirkan.
Sementara Lille meraikan kejayaan mereka, PSG pula terpaksa merenung kesilapan mereka sepanjang musim, sehingga menyebabkan takhta Ligue 1 dirampas dari genggaman mereka.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Lille tidak mungkin dapat menandingi kekuatan kewangan yang dimiliki PSG.
Apakan tidak, nilai sebenar pasukan mereka hanya £126.5 juta ($237 juta), sementara PSG pula mempunyai nilai yang mencecah £551 juta.
Justeru, kejayaan Lille merupakan satu kejayaan yang menakjubkan.
Lille mengambil kesempatan terhadap keputusan PSG untuk melepaskan beberapa pemain muda dari akademi mereka.
Empat bekas pemain PSG memainkan peranan penting dalam skuad Lille - penjaga gawang Mike Maignan, pemain tengah Boubakary Soumare dan penyerang Jonathan Ikone dan Timothy Weah.
Di antara mereka, Maignan merupakan pemain yang paling menonjol dengan persembahannya yang cemerlang sepanjang musim.
Gandingan bekas pemain bek tengah Southampton, Crystal Palace dan West Ham, Jose Fonte, yang kini berusia 37 tahun, dan pemain muda Sven Botman, 21 tahun, memastikan benteng pertahanan Lille sukar untuk diceroboh.
Di bahagian serangan, dua pemain mereka juga menunjukkan gandingan yang berkesan.
Burak Yilmaz, penyerang Turkey yang berusia 35 tahun, sebelum ini tidak pernah beraksi untuk kelab Eropah lain sebelum menyertai Lille pada musim panas lalu sebagai pengganti Loic Remy.
Berkat kepercayaan yang diberikan terhadap dirinya, Yilmaz berjaya menjaringkan 18 gol dalam 33 penampilan untuk juara baru itu.
Dengan pengalamannya yang luas, Yilmaz juga diberi tanggungjawab membimbing pemain muda berusia 21 tahun, Jonathan David.
Penyerang Canada yang ditandatangani dari kelab Belgium, Gent, sebelum musim bermula, dibawa masuk untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Victor Osimhen setelah pemain itu berpindah ke Napoli.
Bakat David tidak dapat diragui dan 13 jaringan liganya penting dalam memastikan kejayaan Lille.
Lille hanya menampilkan sebanyak 21 pemain dalam usaha mereka merebut kejuaraan utama mereka yang kelima.
Mereka juga berjaya menunjukkan persembahan yang cemerlang dengan melangkah ke pusingan kalah mati Liga Europa.
Oleh itu, sebagai pengurus pasukan, Galtier wajar mendapat pujian terhadap cara beliau mengendalikan pasukannya, yang sebelum ini dianggap sebagai pasukan underdog - sedang segala tumpuan diberikan kepada PSG.
Perjalanan kerjaya Galtier sebagai pengurus bermula dengannya diberi tanggungjawab sebagai pembantu jurulatih, bekerja di samping Alain Perrin di Portsmouth, Lyon dan Saint-Etienne, antara lain.
Apabila Saint-Etienne memecat Perrin pada 2009, Galtier mendapat peluangnya - membuktikan dirinya sebagai pengurus yang berbakat.
Selepas membantu menggilap bakat pemain seperti Pierre-Emerick Aubameyang untuk menjadi penyerang bertaraf dunia serta meraih kejayaan meskipun berdepan dengan cabaran kewangan yang dihadapi kelab itu, Galtier mengambil keputusan untuk menyahut cabaran baru.
Pada Disember 2017, beliau mengambil alih tempat Marcelo Bielsa sebagai pengurus Lille, yang ketika itu berdepan dengan masalah disingkirkan dari liga utama Perancis.
Galtier berjaya membantu mereka kekal dalam Ligue 1 pada musim itu sebelum membawa Lille ke kedudukan kedua dan keempat dalam dua musim berikutnya.
Kali ini, di tengah-tengah pergolakan pengambilalihan kelab tersebut yang muncul di pertengahan musim, pengurus itu menjadi dalang terhadap salah satu kemenangan kejuaraan bola sepak yang ramai tidak jangkakan.
Baru-baru ini, Galtier sekali lagi telah dinobat sebagai pengurus terbaik Ligue 1, untuk kali ketiga dalam kerjayanya.
Beliau dijangka akan meninggalkan Lille pada musim panas ini - dengan pasukan Ligue 1 lain, Lyon dan Nice dilihat sebagai pasukan kegemaran untuk mendapatkan khidmatnya.
Namun begitu, nama Galtier tidak pernah disebut-sebut sebagai pengurus yang mampu mengendalikan pasukan di luar liga Perancis.
Dengan apa yang telah dikecapinya, mustahil kelab utama dunia tidak mengenali Christophe Galtier.
Pastinya, Galtier akan menjadi rebutan ramai pasukan Eropah di masa hadapan. - Agensi berita.