Kebangkitan semula Max Verstappen bakal berdepan ujian getir dalam Grand Prix (GP) Singapura hujung minggu ini, yang terletak sekitar 300 kilometer ke selatan dari lokasi perlumbaan sebelum ini di Sepang. 

Pemandu Red Bull itu dijangka perlu berdepan faktor cuaca mencabar serta rekod peribadi beliau yang kurang memuaskan di Litar Marina Bay.

Verstappen tampil cemerlang apabila meraih petak pertamanya bagi musim 2026 di Litar Antarabangsa Sepang semasa GP Bahrain di Malaysia pada 4 Oktober.

Namun, perlumbaan itu terpaksa ditangguhkan selama sejam setengah selepas pusingan formasi bertukar huru-hara apabila beberapa kereta – termasuk milik Verstappen – terhenti akibat gangguan perisian atau software bug yang mengawal penggunaan kuasa elektrik enjin ketika dalam keadaan basah.

“Ia sangat tidak masuk akal,” kata Verstappen. 

“Pada satu ketika, terdapat lima kenderaan bergerak sebelah-menyebelah dalam satu barisan kerana kami semua tidak faham apa yang sedang berlaku... Saya lihat lapan kereta masih merangkak dan Lewis (Hamilton) juga terhenti... Ini bukan sesuatu yang kita mahu lihat dalam sukan ini.”

Hujan dijangka sekali lagi menjadi cabaran bagi pelumba yang menyertai GP Singapura, dengan ribut petir diramalkan menjejas perlumbaan sprint dan kelayakan pada 10 Oktober, serta perlumbaan malam pada 11 Oktober.

Verstappen belum pernah mencatatkan kemenangan di Litar Marina Bay yang berliku-liku. 

Faktor cuaca panas dan lembap menjadikannya perlumbaan paling mencabar dari segi fizikal sepanjang musim, di samping kesukaran untuk memotong kenderaan lain di litar tersebut.

Pemandu boleh kehilangan berat badan sehingga tiga kilogram sepanjang perlumbaan terpanjang dalam kalendar F1 ini, di mana aksi melengkapkan 62 pusingan dalam keadaan panas terik itu kerap mengambil masa maksimum yang dibenarkan iaitu dua jam.

Penaiktarafan pada lantai kenderaan serta keupayaan Verstappen memanfaatkan potensi kenderaan generasi baharu itu mendorong beliau menyifatkan hasil keputusan di Sepang sebagai sesuatu yang “luar biasa”.

Kimi Antonelli, yang kini mendahului kedudukan dalam carta mata Formula Satu (F1) musim 2026, menduduki tempat kedua untuk pasukan Mercedes dalam GP Bahrain dan dijangka terus menjadi pencabar utama bagi memburu kemenangan di Litar Marina Bay.

Pelumba itu memanfaatkan nasib malang yang sekali lagi menimpa rakan sepasukan merangkap pencabar utamanya, George Russell yang “amat kecewa” selepas mengalami kegagalan unit kuasa ketika berada di kedudukan ketiga dengan baki lima pusingan di Sepang.

“Saya rasa seperti mahu ketawa... kerana sudah terlalu kerap perkara ini berlaku musim ini,” kata Russell yang gagal menamatkan perlumbaan sebanyak tiga kali daripada 16 GP dalam musim ini.

Hamilton, yang pernah menjuarai GP Singapura sebanyak empat kali sebelum ini, mendapat suntikan semangat susulan pemanduan cemerlang di Sepang. 

Beliau berjaya memotong ramai pelumba untuk bangkit menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, meskipun bermula dengan tayar kering yang tidak sesuai hingga tercicir ke kedudukan terbelakang.

“Kejayaan menamatkan perlumbaan di podium selepas apa yang berlaku di awal perlumbaan adalah sesuatu yang amat memuaskan,” kata Hamilton.

“Ia adalah hasil kerja keras, kesungguhan dan ketahanan yang ditunjukkan oleh semua pihak hari ini.”

Russell menjuarai GP Singapura pada 2025 selepas menewaskan Verstappen dan juara dunia bertahan, Lando Norris daripada pasukan McLaren. – AFP.