Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SUKAN SEA KEMBOJA 2023

Kecemerlangan atlet muda di Sukan SEA petunjuk positif bagi edisi 2029 di S'pura

May 18, 2023 | 05:30 AM



DARI PHNOM PENH, KEMBOJA: PERSEMBAHAN 51 pingat emas atlet Team Singapore dalam Sukan SEA Kemboja membentuk asas yang baik menjelang edisi 2029 di tanah air, kata ketua Institut Sukan Singapura, Dr Su Chun Wei.



Singapura menamatkan kempen selama 18 hari bertanding dalam Sukan SEA 2023 dengan buah tangan sebanyak 51 emas, 43 perak dan 63 gangsa dari Kemboja.



Persembahan itu meletakkan Singapura keenam pada tangga keseluruhan pingat, manakala Vietnam muncul di tempat pertama daripada 11 negara.



57 daripada 158 pungutan pingat keseluruhan negara adalah hasil sumbangan pendatang baru dalam temasya sukan dwitahunan itu.



Dr Su, dalam satu sidang media bagi merumuskan prestasi Sukan SEA 2023 atlet Singapura pada malam Selasa, berkongsi mengenai trend positif dalam kalangan atlet muda negara yang mampu cemerlang di pentas berprestij temasya sukan Asia Tenggara.



"Tunggak kekuatan kita, yang mana kami terus perhatikan adalah bahawa terdapat lebih ramai atlet muda Team Singapore yang kekal menyumbang pingat," ujar beliau.



Purata usia atlet Singapura di Kemboja adalah kira-kira 24 tahun, dan bilangan atlet muda ini merangkumi lebih separuh - iaitu 259 atlet - daripada rombongan keseluruhan negara, menurut Dr Su.



Singapura diwakili oleh 554 atlet merentasi 30 cabang sukan dalam edisi ke-32 Sukan SEA.



"Kami berharap kohort atlet muda ini akan terus menjadi tulang belakang dan generasi mendatang untuk beberapa kempen Sukan SEA selanjutnya dan kekal mengharumkan nama negara," tambah beliau.



Edisi temasya sukan itu pada 2025 seterusnya akan diadakan Thailand, sebelum dibawa ke Malaysia dua tahun kemudian. Singapura akan menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2029.



Di edisi 2023, atlet Team Singapore beraksi mantap untuk juga memecah lapan rekod Sukan SEA, 17 rekod kebangsaan dan mencatat 40 persembahan terbaik peribadi.



Singapura turut meraih pencapaian istimewa di Kemboja apabila menggondol pingat emasnya yang ke-1000 dalam Sukan SEA.



Dalam edisi Sukan SEA yang lalu pada 2022, Singapura membawa pulang 47 emas, 46 perak dan 71 gangsa dari Hanoi, Vietnam.



Persembahan terbaik Singapura dalam Sukan SEA yang diadakan luar negara kekal menjadi di Kuala Lumpur, Malaysia pada 2017. Atlet Singapura meraih 57 emas, 58 perak dan 73 gangsa.



Renang, olahraga dan lawan pedang adalah sukan yang telah beraksi cemerlang untuk Singapura di Kemboja, kata Dr Su.



Perenang negara mencatat kutipan pingat terbaik mereka dalam Sukan dengan meraih 47 pingat - 22 emas, 15 perak dan 10 gangsa.



Olahraga juga memaparkan persembahan terbaik Singapura dalam Sukan SEA yang diadakan di luar negara.



Mereka merangkul tiga emas - termasuk emas ganda bersejarah Shanti Pereira dalam larian pecut 100 meter dan 200 meter wanita serta kemenangan pertama negara dalam 56 tahun bagi lompat pagar 100 meter lelaki menerusi Ang Chen Xiang - dua perak dan lima gangsa.



Pelawan pedang Singapura pula memperbaiki persembahan mereka dari Sukan SEA Hanoi pada 2022 apabila berjaya memenangi tujuh emas, lima perak dan lima gangsa kali ini.



E-sukan, catur xiangqi, floorball, gusti, kapal layar, kriket, silat, tenis meja dan wushu merupakan sukan lain yang telah menyumbang emas kepada pungutan pingat negara di Kemboja.



Setiausaha Agung Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), Encik Chris Chan, berkata:



"Terdapat beberapa persembahan yang menonjol daripada Team Singapore di Sukan SEA Kemboja 2023 yang merupakan petunjuk positif kemajuan atlet kita dan persiapan untuk Sukan Asia dan Sukan Olimpik akan datang.



"Ada juga yang kurang menyerlah, dan kami menggesa sukan yang tidak mencapai sasaran dan jangkaan mereka untuk mengkaji semula prestasi dan menggandakan usaha dalam pembangunan sukannya."



Bola sepak lelaki, bola keranjang berbasikal dan golf dikenal pasti sebagai sukan yang tidak memaparkan prestasi hambar di Kemboja.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >