Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kehadiran LIV Golf tajaan Saudi bawa perubahan positif kepada Jelajah PGA: McIlroy

Mar 9, 2023 | 5:30 AM
RORY MCILROY: Kemunculan LIV atau adanya pesaing kepada Tour PGA telah memberi manfaat kepada semua pemain yang bermain golf secara profesional. - Foto EPA-EFE
RORY MCILROY: Kemunculan LIV atau adanya pesaing kepada Tour PGA telah memberi manfaat kepada semua pemain yang bermain golf secara profesional. - Foto EPA-EFE -

MIAMI: Beberapa pemain terbaik Tour PGA meraih manfaat daripada kemunculan dan populariti LIV Golf yang semakin meningkat.

Demikian diakui pemain profesional PGA, Rory McIlroy, pada Selasa dalam satu kenyataan media bagi pertandingan Players Championship di TPC Sawgrass.

LIV Golf adalah pusingan kejohanan profesional golf yang dibiayai oleh Public Investment Fund, dana kekayaan Arab Saudi.

McIlroy berkata: "Saya rasa kemunculan LIV atau adanya pesaing kepada Tour PGA telah memberi manfaat kepada semua pemain yang bermain golf secara profesional.

"Saya rasa apabila anda merupakan pertandingan golf paling besar, dalam pasaran terbesar di dunia selama 60 tahun, tiada insentif untuk melakar inovasi."

Beliau menambah, dengan kemunculan LIV Golf, pelbagai inovasi dibuat kepada Tour PGA, yang merombak cara lama bagi mencerminkan kedudukan Tour PGA dalam dunia abad ke-21 dengan landskap media kini.

"Tour PGA bukan sekadar bersaing dengan LIV Golf atau sukan lain. Ia bersaing dengan Instagram, TikTok... yang cuba menarik perhatian daripada Tour PGA.

"LIV Golf semakin popular, ia pasti memberi impak besar kepada sukan ini, tetapi saya rasa setiap pemain golf profesional akan mendapat manfaat daripadanya pada masa hadapan," tambah beliau.

Pemain nombor satu dunia, Jon Rahm, juga berkongsi pendapat serupa.

Beliau bersetuju bahawa rentak perubahan Tour PGA telah didorong oleh kemunculan LIV Golf.

"Tanpa LIV Golf, (perubahan) ini tidak akan berlaku.

"Sedikit sebanyak, kami patut berterima kasih kerana persaingan ini membuat Tour PGA mengubah keadaan," tambah Rahm.

LIV Golf julung-julung kalinya melancarkan musim pada 2022 dan berjaya menarik minat daripada pemain Tour PGA dan pemenang kejohanan utama golf dengan bonus tandatangan yang besar dan kejohanan 54-lubang yang menawarkan hadiah wang tunai lumayan.

Ia berdepan dengan kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia yang menyatakan LIV Golf adalah salah satu usaha anjakan oleh Arab Saudi bagi meningkatkan imej kerajaan tersebut di persada antarabangsa. - AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg