Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

KELAYAKAN OLIMPIK: BOLA SEPAK WANITA

Kehadiran Rosnani perkukuh skuad bola sepak nasional

Apr 01, 2023 | 05:30 AM



SELEPAS tiga tahun menyerantau ke Australia dan Jepun, pemain pertahanan Singapura, Rosnani Azman pulang ke tanah air berbekalkan pengalaman luas untuk membantu dalam meningkatkan taraf bola sepak wanita tempatan.



Rosnani, 25 tahun, kembali ke Singapura pada Disember 2022 setelah beraksi dua tahun di Jepun.



Beliau menghabiskan semusim pada 2021, untuk bermain secara profesional dengan International Athletic Club (INAC) Kobe Leonessa dalam Liga Women Empowerment (WE) - liga bola sepak wanita profesional pertama negara itu.



Menyusuli itu, beliau dipinjamkan kepada Kibi International dan beraksi dalam Divisyen Liga Nadeshiko dari hujung 2021 hingga 2022.



Sebelum ke Jepun, Rosnani, pada 2020, telah beraksi 31 kali bagi kelab Liga Perdana Nasional Wanita Australia, South West Queensland Thunder.



Beliau kini menyarung jersi kelab Hougang United, di Singapura, yang beraksi dalam Liga Perdana Wanita.



"Pastinya saya berasa seronok dapat kembali ke sini dan bermain bersama wajah-wajah yang saya kenali... Melihat ibu bapa saya turun untuk menyaksikan perlawanan saya bersama Hougang United juga meningkatkan semangat saya," kata Rosnani, yang telah 31 kali menyarung jersi pasukan Singa wanita.



Beliau berpeluang menambah penampilannya untuk negara, apabila menjadi antara 22 pemain yang terpilih untuk mewakili Singapura ke Kelayakan Sukan Olimpik Wanita Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) 2024 di Thailand.



Rosnani berharap pengalaman yang ditimbanya di luar negara dapat diterapkan dalam skuad Singapura. Ini termasuk meningkatkan tahap intensiti permainan dan memupuk budaya saling memuji antara pemain.



"Tahap intensiti bola sepak di luar negara lebih tinggi berbanding di Singapura. Jadi, apabila bermain di di sini, terpulang pada individu itu sendiri untuk menaikkan tahap intensitinya. Untuk saya, saya sentiasa masuk padang untuk memberikan usaha 100 peratus, supaya pemain lain juga terdorong untuk ikut sama," kata beliau.



"Ketika bermain di Australia atau Jepun, saya perhatikan pemain akan memuji satu sama lain apabila mereka berjaya membuat hantaran atau mempertahankan benteng dengan baik... Perkara sekecil ini penting dalam membawa kita melangkah ke hadapan."



Selain Rosnani, skuad Singapura juga boleh bergantung pada pengalaman dua pemain berpangkalan luar negara, pemain midfield Putri Syaliza dan penyerang Danelle Tan.



Kelayakan Sukan Olimpik Wanita itu adalah ujian pertama bagi jurulatih pasukan Singa wanita Karim Bencherifa yang dilantik pada 1 Mac.



Warga Maghribi berusia 55 tahun itu, dalam satu kenyataan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), berkata:



"Thailand dan Mongolia adalah saingan kuat, dan pemain akan memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri pada permintaan dan gaya permainan saya.



"Meskipun itu, apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak, dan saya mempersiapkan pemain semampu boleh, dan saya percaya bahawa mereka akan dapat menunjukkan persembahan yang meyakinkan dalam perlawanan kelayakan ini."



Pasukan Singapura menduduki tangga ke-134 di dunia, akan berdepan pasukan tuan rumah iaitu Thailand, yang menduduki tangga ke-44 dunia, pada 1 April.



Tiga hari kemudian, pasukan Singa wanita akan menentang Mongolia, pasukan yang menduduki tangga ke-128 terbaik dunia.



Perlawanan kelayakan ini turut dilihat sebagai persiapan bagi Sukan SEA 2023 di Kemboja pada Mei.




KELAYAKAN SUKAN OLIMPIK WANITA



Singapura lwn Thailand

1 Apr (Sabtu), 6 ptg



Mongolia lwn Singapura

4 Apr (Selasa), 6 ptg



(Semua perlawanan bakal berlangsung di Stadium Chonburi, Thailand.)



Wakil Skuad Singapura



- Penjaga gol: Noor Kusumawati dan Beatrice Tan (Lion City Sailors); serta Erlinawaty Jaffar (Hougang United).



- Pemain pertahanan: Ernie Sulastri, Fatin Ridzwan, Syazwani Ruzi dan Umairah Hamdan (Sailors); Rosnani Azman (Hougang); serta Nurerwadah Erwan (Balestier Khalsa).



- Pemain midfield: Dhaniyah Qasimah (Tanjong Pagar United); Khairunnisa Anwar dan Venetia Lim (Sailors); Farhanah Ruhaizat dan Stephanie Gigette (Tampines Rovers); Rochelle Chan (Hougang); Putri Syaliza (Oakland University); serta Sitianiwati Rosielin (Police Sports Association).



- Penyerang: Danelle Tan (London Bees); Farah Nurzahirah (Tanjong Pagar); Lila Tan dan Izzati Rosni (Sailors); serta Raudhah Kamis (Hougang).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >