Topik diikuti
Pergi ke BHkuKejohanan Pencak Silat Asia Tenggara: S'pura bolot 11 pingat emas
Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara: S'pura bolot 11 pingat emas
SINGAPURA mengakhiri Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara 2022 pada Ahad (27 Februari) dengan 11 pingat emas, sekali gus memaparkan prestasi persembahan memberangsangkan kurang 80 hari sebelum Sukan SEA pada Mei nanti.
Jumlah pingat emas itu menobatkan Singapura sebagai juara keseluruhan kejohanan, diikuti Vietnam (9 pingat emas), Indonesia (3), Malaysia (2) dan Thailand (0).
Kejohanan selama tiga hari itu secara tradisi dilihat sebagai pertandingan persiapan menjelang Sukan SEA, yang akan berlangsung di Hanoi, Vietnam pada 12 hingga 23 Mei ini.
Ia juga adalah kejohanan antarabangsa silat yang pertama diadakan sejak Covid-19 melanda sekitar dua tahun lalu.
Seramai 91 atlet dari lima negara bersaing dalam 25 acara yang dipertandingkan di kejohanan ini.
Di Dewan Satu OCBC Arena petang Ahad, pesilat negara Muhammad Iqbal Abdul Rahman membuka gelanggang hari terakhir kejohanan dengan kemenangan buat Singapura.
Persembahan penuh bertenaga Iqbal, 29 tahun, mengumpul 9.945 mata, cukup untuk mengalahkan pesilat Indonesia Asep Yuldan Sani (9.900 mata) dalam final acara seni tunggal putera senior.
"Saya tidak meletakkan sebarang jangkaan pada hasil keputusan perlawanan. Saya hanya fokus untuk melakukan yang terbaik dan memperbaiki persembahan saya sebelumnya (pada separuh akhir Jumaat lalu). Jadi, saya rasa sangat gembira.
"Kemenangan ini pastinya memberi saya rangsangan kepada semangat dan motivasi saya menjelang Sukan SEA. Saya akan terus memperbaiki persembahan dalam pertandingan seterusnya," kata juara dunia pada 2018 dan empat kali juara Asia itu.
Pasukan seni ganda puteri Singapura, yang dianggotai Nur Azlyana Ismail dan Sharifah Shazza Shamsuri, turut meraih pingat emas dalam final.
Pasangan itu, yang satu-satunya pasukan bertanding dalam acara tersebut, mencatat 9.730 mata bagi persembahan final mereka.
Pesilat negara Muhammad Syahiran Jeffrey kemudian meriuhkan suasana di dewan selepas muncul juara dalam pertempuran final acara tanding putera I (85-90 kilogram) senior yang mendebarkan.
Remaja berusia 19 tahun itu menumpaskan Hendra Wakhyu Hidayat dari Indonesia 21-20, namun memerlukan sorokan penyokong tempatan yang hadir, termasuk ibu bapanya, untuk menggenggam kemenangan tersebut.
Ditemui selepas perlawanan sengit itu, Syahiran berkata: "Suasananya luar biasa. Semua orang menyokong saya hingga ke akhir perlawanan dan saya menunjukkan kepada mereka yang saya di sini untuk menang dan bukan untuk membuang masa. Saya fikir persembahan saya mungkin boleh diperbaiki tapi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong saya.
"Pekikan daripada ibu bapa saya, yang menyorak nama saya, mendorong saya untuk terus melawan habis-habisan."
Singapura memungut tiga lagi pingat emas hari ini menerusi Nurul Suhaila Mohd Saiful, Nadhrah Sahrin dan juara dunia tiga kali Sheik Farhan Sheik Alau'ddin.
Nurul Suhaila, 27 tahun, menjuarai acara tanding puteri D (60-65 kilogram) tanpa perlu berlawan selepas kategori itu tidak disaingi mana-mana pasukan negara.
Nadhrah, 17 tahun, menewaskan Nor Farah Mazlan dari Malaysia 21-10 dalam final acara tanding puteri A (45-50 kilogram) senior, manakala Farhan, 24 tahun, dinobat juara acara tanding putera J (90-95 kilogram) senior selepas merakam kemenangan 20-17 ke atas pesilat Vietnam Nguyen Van Tri.
Secara keseluruhan, Singapura membolot 25 pingat - 11 pingat emas, 9 pingat perak dan 5 pingat gangsa - di edisi kelapan Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara.
Persembahan positif Singapura di kejohanan ini juga meningkatkan lagi kedudukan Persekutuan Silat Singapura (Persisi) untuk menghantar lebih ramai atletnya bertanding di Sukan SEA.
Dalam senarai atlet pilihan Jawatankuasa Olimpik Nasional Singapura (SNOC) untuk mewakili Singapura bagi temasya sukan dwitahunan itu, hanya tiga pesilat yang disertakan.
Mereka adalah Iqbal, yang juga pemenang pingat perak Sukan SEA 2019, pemenang pingat gangsa Kejohanan Pencak Silat Asia 2019 Abdul Raaziq Abdul Rashid dan Farhan, yang memenangi pingat emas Sukan SEA pada 2017.
Senarai itu diterbitkan pada 16 Februari lalu. Ketua pegawai eksekutif Persisi, Sheik Alau'ddin Yacoob Marican di satu sidang media pada Rabu lalu berkata menyusuli kejohanan hujung minggu ini, beliau akan mengemukakan senarai muktamad pesilat untuk dipertimbangkan bagi Sukan SEA kepada SNOC.
Jawatankuasa permohonan SNOC bakal bertemu awal bulan depan.