PASUKAN silat negara pulang dari Melaka dengan empat pingat emas dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia 2022, semalam.
Singapura juga menggondol lima perak and lapan gangsa, membawa jumlah pungutan pingat negara di Malaysia kepada 17, sepanjang lima hari bertanding.
Angka itu namun gagal mengatasi 20 pingat - tujuh emas, enam perak dan tujuh gangsa - yang dimenangi negara dalam pertandingan lalu pada 2018.
Pertandingan pada 2018, yang berlangsung di tanah air, kekal menjadi pencapaian terbaik Singapura dalam sejarah kejohanan dunia.
Bagaimanapun, prestasi tersebut menunjukkan masa depan cerah bagi sukan silat negara.
Dalam aksi akhir acara tanding di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, yang penuh dibanjiri penyokong tempatan semalam, enam daripada tujuh wakil negara berusia 21 tahun dan ke bawah. Seramai 19 daripada kontinjen 30 pesilat Singapura dalam edisi kali ini membuat penampilan sulung mereka di Melaka.
Antaranya ialah Aniq Asri Mohammad Yazid, 17 tahun, yang merangkul emas bagi acara tanding B putera pada percubaan pertamanya.
Beliau menang menerusi tewas teknik apabila menentang Mohammad Khairi Adib Azhar dari Malaysia, meskipun keputusan itu dibantah kuat oleh pasukan dan penyokong tuan rumah.
Kejuaraan Aniq meneruskan legasi keluarganya di pentas dunia. Kakaknya, Nurzuhairah, juga meraih emas dalam seni tunggal puteri pada edisi lalu.
"Saya gembira sebab saya dapat rasa apa yang dia rasakan...menang tempat pertama dan berdiri podium. Perasaannya sukar untuk saya gambarkan," ujar Aniq.
Lima lagi pesilat muda Singapura turut menyerlah dalam arena terbesar silat dan berjaya menyumbang perak untuk negara.
Mereka ialah Dhani Andika Razali, 17 tahun, (bawah 45kg putera); Muhammad Nurshahfareeq Shahrudin, 17 tahun (tanding I putera); Nadhrah Sahrin, 18 tahun (tanding A puteri); Siti Khadijah Mohd Shahrem, 21 tahun (tanding C puteri); dan Abdul Raazaq Abdul Rashid, 21 tahun (tanding E putera).
Dhani, yang mula bergiat dalam silat empat tahun lalu, memberitahu Berita Harian (BH): "Selepas saya menonton Iqbal (Abdul Rahman), (Sheik) Farhan dan Hazim (Yasli) menjadi juara dalam kejohanan dunia di tanah air pada 2018, saya terdorong untuk menjadi seperti mereka.
"Walaupun saya rasa sedikit kecewa tidak menang emas, tapi tetap bangga dengan pencapaian ini sebab ini penampilan pertama."
Pelajar menengah empat di Sekolah Menengah Commonwealth itu kalah 34-44 kepada warga Indonesia, Bayu Lesmana.
Khadijah juga jatuh di tangan pesilat Indonesia, Pipiet Kamelia, tetapi memperbaiki persembahan gangsanya dalam edisi lalu.
"Pipiet adalah antara idola saya...Saya ada simpan hasrat untuk mengalahkannya tapi dia ialah pesilat lebih baik hari ini.
"Kekalahan ini hanya adalah permulaan kepada lebih banyak kejayaan pada masa akan datang," kongsinya.
Lapan gangsa negara dimenangi dalam acara seni regu putera, ganda putera serta tunggal puteri, dan tanding B puteri, F puteri, D putera, C putera serta H putera.