Dari Melaka
SEORANG lagi juara dunia Singapura terpaksa meninggalkan gelanggang edisi ke-19 Kejohanan Pencak Silat Dunia awal pada Khamis (28 Julai).
Di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) petang ini, Nurul Suhaila Mohd Saiful tewas di tangan Le Thi Van Anh dari Vietnam 48-49 dalam aksi suku akhir acara tanding C puteri, yang sengit dan dibelenggu keputusan wasit yang diragui.
Dengan baki enam saat perlawanan, Le diberikan empat mata bagi dua tendangannya. Setiap tendangan yang sah diberikan dua mata oleh wasit.
Namun, jurulatih Singapura membantah pemarkahan juri dan mengatakan hanya satu tendangan Le yang dinilai sah.
Meskipun bantahan disemak wasit, tiada ulangan video bagi aksi tersebut dipaparkan pada skrin.
Suhaila sebelumnya mendahului kedudukan 48-45.
Kekalahan itu bermakna Suhaila, pemenang pingat emas dalam Sukan SEA Hanoi Mei lalu, tidak akan mempertahankan kejuaraannya, yang dimenangi dalam edisi lalu di Singapura pada 2018.
Semalam, Sheik Ferdous Sheik Alau’ddin terkandas dalam pusingan saringan acara tanding G putera. Beliau kalah 17-24 kepada warga Indonesia, I Kadek Wahyu RG.
Tiga lagi juara dunia negara, Muhammad Iqbal Abdul Rahman (seni tunggal putera), Sheik Farhan Sheik Alau’ddin (tanding J putera) dan Muhammad Hazim Mohd Yusli (tanding C putera) masih memperjuangkan harapan emas negara.
Iqbal dan Farhan mara ke separuh akhir setelah menang dalam acara masing-masing petang ini, manakala Hazim sudah melayakkan diri ke suku akhir.