Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kelab Eropah diramal hilang pendapatan $14b angkara Covid-19

Kelab elit paling teruk terjejas, Uefa longgarkan aturan Permainan Adil dari segi Kewangan
May 22, 2021 | 5:30 AM
TIADA PENONTON, KURANG PENDAPATAN: Sebahagian besar perlawanan liga domestik dan pertandingan kelab Uefa seperti Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa dijalankan tanpa penonton sejak pandemik itu melanda Eropah pada awal 2020, seperti perlawanan Piala Europa antara Arsenal dan Villarreal di Stadium Emirates ini pada 6 Mei lalu. - Foto AFP
TIADA PENONTON, KURANG PENDAPATAN: Sebahagian besar perlawanan liga domestik dan pertandingan kelab Uefa seperti Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa dijalankan tanpa penonton sejak pandemik itu melanda Eropah pada awal 2020, seperti perlawanan Piala Europa antara Arsenal dan Villarreal di Stadium Emirates ini pada 6 Mei lalu. - Foto AFP -

LONDON: Kelab bola sepak Eropah diramalkan kehilangan pendapatan sebanyak 8.7 bilion euro ($14.2 bilion) sedang mereka bergelut menangani kesan pandemik Covid-19 ke atas kewangan masing-masing, menurut satu laporan yang disiapkan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa).

Tinjauan tahunan Landskap Bola Sepak Kelab Eropah itu berkata ramalan terkini menunjukkan pendapatan yang hilang pada musim 2019/2020 dan 2020/2021 ialah 7.2 bilion euro bagi kelab elit dan 1.5 bilion bagi kelab lain.

Presiden Uefa Aleksander Ceferin berkata: "Dalam laporan tahun lalu, saya berkata bola sepak Eropah kukuh, bersatu dan tangkas menghadapi cabaran baru.

"Namun tiada sesiapa boleh meramalkan kita akan berdepan dengan cabaran terbesar ke atas bola sepak, sukan dan masyarakat dalam era moden ini."

Sebahagian besar perlawanan liga domestik dan pertandingan kelab Uefa seperti Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa dijalankan tanpa penonton sejak pandemik itu melanda Eropah pada awal 2020.

"Bola sepak profesional, di setiap peringkat dan di mana-mana, terjejas teruk," kata laporan Uefa itu.

"Kelab yang amat bergantung pada kehadiran penonton di stadium juga merupakan kelab paling teruk terjejas semasa pandemik ini."

Menyusuli bajet kelab dikurangkan akibat pandemik, perbelanjaan kelab di Eropah bagi pembelian pemain dalam tempoh pemindahan pemain musim panas lalu berkurangan 39 peratus.

Aliran pendapatan yang berkurangan itu juga mendorong Uefa melonggarkan peraturan Permainan Adil dari segi Kewangan (FFP), yang bertujuan memastikan kelab tidak berbelanja melebihi pendapatan mereka. Namun, Ceferin akur perubahan lebih berkekalan terus diperlukan bagi FFP.

Manchester City menterbalikkan penggantungan daripada membeli pemain baru yang dikenakan Uefa ke atasnya selama dua musim kerana melanggar peraturan FFP, apabila kes itu didengarkan di Mahkamah Timbang Tara bagi Sukan tahun lalu.

Namun musim ini, yang sepatutnya musim pertama penggantungan itu berkuat kuasa, menyaksikan City melangkah ke final Liga Juara-Juara menentang Chelsea pada 29 Mei,.

"Laporan ini menunjukkan dengan jelas kita sedang menjalankan operasi dalam realiti kewangan baru. Adalah jelas juga bahawa peraturan FFP yang ada sekarang harus dikemas kini dan disesuaikan," kata Ceferin.

"Kewangan mampan kekal sebagai matlamat kami dan bola sepak Uefa dan Eropah akan bekerjasama sebagai sebuah pasukan untuk melengkapi sukan kini ini dengan peraturan baru bagi membina masa depan cerah."

Tinjauan itu juga menjalankan analisis terhadap ribuan perlawanan dan mendapati bilangan pasukan yang menang perlawanan di padang sendiri berkurangan daripada 45 peratus sebelum Covid-19 kepada 42 peratus sekarang.

Ia juga mendapati bilangan kad kuning dan kad merah yang dilayangkan kepada pasukan bukan tuan rumah berkurangan. - AFP.

Bola sepak profesional, di setiap peringkat dan di mana-mana, terjejas teruk. Kelab yang amat bergantung pada kehadiran penonton di stadium juga merupakan kelab paling teruk terjejas semasa pandemik ini. - Laporan Landskap Bola Sepak Kelab Eropah Persekutuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg